PANTANG UNDUR

Salam,

1.    "Sekali Melangkah Pantang Undur". Sekiranya kita masih ingat, itulah ungkapan Hang Tuah lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, tatkala mendaki Gunung Ledang menemui Tok Guru Adiputra dalam filem Hang Tuah. Ungkapan inilah sering menyemarakkan semangat dan menjadi kata-kata perjuangan oleh pasukan keselamatan sebagai bukti kepahlawanan mereka. Untuk mengelakkan tersalah langkah, seharusnya kita menentukan langkah kita itu betul agar ia tidak tersalah langkah sehingga terpaksa membuat pusingan 'U' dan memberi kesan kurang baik dari sudut persepsi.

2.   Namun begitu, tidak semua keadaan mewajarkan ungkapan ini dipatuhi tanpa gagal jika kita sudah jauh tersasar dari matlamat kehidupan ataupun seruan agama. Jika ternyata kita sudah tersilap, kita wajib berundur dan melakukan pembetulan. Ia mengingatkan saya ketika masih bertugas di hutan dahulu dimana ada ketikanya sebagai ketua kita tersilap dalam memutuskan pandu arah walaupun telah dibekalkan peta dan kompas. Apakah kita harus mempertahankan ego untuk menjaga air muka dan membiarkan kesemua anggota di bawah kita sesat jalan atau sebaliknya berundur kepada kedudukan asal untuk merencanakan semula pandu arah menuju destinasi seperti yang diarahkan? Pastinya kita akan berpatah balik demi memenuhi misi operasi pasukan berbanding misi peribadi. Jangan sampai orang bawahan berfikir, "Saya boleh bersabar dengan si bodoh, tetapi bukan dengan berbangga dengan kebodohannya seperti kata Edith Sitwell Penyair wanita Inggeris (1887-1964). Ego adalah musuh sebenar pemimpin dan egojugalah yang banyak mengheret pemimpin terjun ke kolam kebodohan. Renungkan kata-kata Colin Powell Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat dan juga Jeneral dalam tentera negara tersebut, "Elakkan daripada membiarkan ego anda berada terlalu dekat dengan kedudukan anda sehingga apabila anda jatuh daripada kedudukan itu, ego tersebut turut jatuh bersamanya".

3.   Dalam dunia politik dan kehidupan juga begitulah juga layaknya kita bertindak. Kita tidak perlu mempertahankan tindakan atau dasar yang ternyata gagal hanya berpaksikan ego yang tidak berkesudahan. Gagal tetap gagal dan tidak perlu dipertahankan samada pemimpin itu sendiri mahupun pengikut dan penyokong masing-masing. Itulah sikap sebenar pemimpin yang diimpikan rakyat dengan mempertahankan prinsip menjunjung kebenaran dan menggengam keadilan. Cakap seharusnya serupa bikin jika kita benar-benar jujur. Jangan berbelok-belok dengan kata-kata hari ini lain esok pula lain yang diperkatakan hanya untuk memenuhi cita-cita politik peribadi.

4.    Ambil contoh sekiranya konsep Gagasan 1Malaysia itu didapati tidak membawa manfaat kepada seluruh rakyat, tidak salah jika ia diperbetulkan. Gagasan 1Malaysia apa jika menteri kabinet sendiri menyeru boikot peniaga Cina untuk menurunkan harga sedangkan peniaga Melayu dan India juga tidak kalah dalam berlumba menaikkan harga tanpa mengambil kira kesan kepada ekonomi negara serta inflasi yang semakin meruncing. Apakah dengan kata-kata "Apa lagi orang Cina mahu" merupakan tindakan yang selari dengan usaha menyatupadukan seluruh rakyat? Apa yang jelas ia lebih menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat sehingga ada yang tidak keliru juga mengambil kesempatan untuk mempolitikkan isu ini demi meraih keuntungan untuk bangsa mereka. Oleh itu, di mana semangat 1Malaysia yang dilaung-laungkan? Bukankah intipati gagasan ini adalah untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang tidak meminggirkan mana-mana bangsa dan kaum serta warna kulit dan agama?

5.     Jika Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) itu difikirkan tidak lagi memberi manfaat untuk mencapai objektif sebenar program ini, apakah ia akan menjatuhkan maruah pemerintah apabila dihentikan terus? Program seperti ini tidak semestinya apabila dihentikan tidak boleh distrukturkan semula dengan menjadikan kekurangan dalam program yang telah dilaksanakan selama ini sebagai asas untuk mewujudkan program yang mungkin lebih menjimatkan dan memberi impak besar kepada negara dan pemerintah. Apa yang lebih penting adalah mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang berpengalaman serta profesional dan tidak mementingkan keuntungan material semata-mata termasuk dari rakyat. Sekali melangkah sekali undur pun rakyat tidak akan marah jika ianya demi kepentingan rakyat secara keseluruhan bukan sekerat-dua yang hanya mengisi tembolok dan kantung sendiri diikuti suku-sakat yang tidak pernah puas dengan apa yang telah dimiliki. Air laut semakin diteguk semakin dahaga.

6.      Banyak lagi tindakan-tindakan yang  dilihat memerlukan  pengunduran keputusan perlu dilakukan  termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang  begitu jelas  merugikan rakyat dan negara.  Saya tidak  berhajat  menjelaskan dengan panjang  lebar isu ini  kerana sudah banyak yang diperkatakan oleh tokoh-tokoh  tertentu  termasuk Mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainudin, Datuk Kadir Jasin  dan  ramai lagi. Jika memerlukan pencerahan bolehlah dirujuk artikel blog Datuk Kadir Jasin  bertajuk  "Ancaman  Sistemik Hutang  1MDB"     ( http://kadirjasin.blogspot.com/2015/02/ancaman-sistemik-hutang-1mdb.html ). Selain itu rundingan perjanjian perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dengan Amerika juga memerlukan pemberhentian langkah atau berundur demi mengelakkan belitan dan jerat bidas yang hanya akan memakan diri.

7.   Ungkapan "Sekali Melangkah Pantang Undur" sememangnya bagus tetapi jika sudah menyedari ada kesilapan dalam langkah-langkah itu, berundurlah. Berundurlah demi rakyat hatta berundur dari memikul jawatan penting negara jika ketidakmampuan sudah dilihat sebagai kemampuan dan kegagalan dibisikkan sebagai kejayaan. Lihatlah diri dari cermin bukan dari TV, dengarlah dari telinga bukan dari kaki dan berfikirlah dengan akal bukan dengan lutut. Tidak salah berundur dan tidak salah melangkah. Yang salah adalah melangkah ke gaung yang curam dan berundur ke sangkar harimau yang buas. Ingat pesan Dietrich Bonhoeffer tokoh Jerman yang menentang kuat Nazisme, "Jika anda menaiki keretapi yang salah, tak ada gunanya berlari di sepanjang gerabak ke arah yang bertentangan".

Wallahualam

SANI



Comments

Popular Posts