SI KITOL DAN RAJA MENDELIAR TIDAK MATI

Saya sebenarnya konsisten mengkritik sesiapa saja yang dilihat melakukan sesuatu yang merugikan rakyat serta menjadi opportunis membaham kepentingan rakyat sebaliknya membiarkan mereka sengsara. Sejak masih menjawat jawatan hinggalah membuat keputusan meninggalkannya, saya tetap konsisten dengan pendekatan ini. Jika ada yang mengatakan saya tidak konsisten pun saya bersetuju kerana itulah hikmahnya bersetuju untuk tidak bersetuju.

Ketika itu ramai yang menambahkan gegak gempita dinding facebook ini samada dalam pakatan pembangkang termasuk ahli-ahli UMNO sendiri yang bosan dengan karenah pemimpin mereka. Namun, yang paling ramai adalah dari pihak pembangkang walaupun jelas saya tidak berparti.

Walaubagaimanapun, sejak hubungan dalam pakatan pembangkang retak, terdapat kelompok yang dulunya ghairah memberi komen dan menyampuk sudah meminggirkan diri samada unfriend atau block saya kurang pasti kerana saya tidak gemar memantau aktiviti seseorang.

Apa yang berbekas di hati dan fikiran saya cuma berpendapat bahawa mengutamakan parti atau pemimpin tidak menghalalkan kita untuk menyokong sesuatu yang ternyata merugikan rakyat serta perilaku pemimpin utama negara yang bukan saja menindas rakyat malah meletakkan negara pada kedudukan yang cukup bahaya.

Nampaknya tidak ada beza ahli parti komunis yang terus mengagung-agungkan pemimpin dan parti komunis walaupun sebahagian besar negara dan masyarakat dunia mengutuk fahaman komunis dengan diri kita jika disebabkan organisasi dan pemimpin kita sudah tidak berselera untuk mengecam dan memprotes kezaliman yang sebelum ini kita dakwa merugikan rakyat.

Saya melihat kenaikan harga bahanapi juga sudah tidak menjadi kudis lagi bagi mereka apabila pemimpin dan organisasi membisu dalam soal ini. Jika di zaman sebelum Najib dan Pak Lah kenaikan dengan jumlah yang sedikit saja harga bahanapi akan menyebabkan protes di seluruh negara kini umpama tidak ada apa yang berlaku. Kenaikan 15 sen bukan sedikit tetapi hanya riuh sehari sedangkan sakitnya berterusan. Jika dulunya mereka cukup sinonim dengan aktiviti memprotes atau berdemo kini semuanya hanya menjadi sisipan arkib negara.

Tidak mengapa menjadi kelompok tidak memihak jika kita memang tidak memihak tetapi tidak memihak hanya kerana tidak mahu kelihatan bertali arus dengan pemimpin dan organisasi itu bukan tidak memihak tetapi menyanggah hak dan mendokong kebatilan.

Jika ada yang berkecil hati, besarkanlah jiwa dan hati untuk rakyat, tetapi jika marah, saya berpendirian marahlah dan lakukanlah yang terbaik termasuk unfriend atau block jika itulah pilihannya yang dapat meredakan kemarahan dan kelihatan besar di mata pemimpin dan organisasi. Saya tidak berminat untuk berdebat dalam soal yang tidak menguntungkan rakyat dan masyarakat umum kerana berdebat hanya untuk kelihatan jagoan agama, bangsa dan tanahair tetapi hakikatnya 'terbalik' lebih baik saya menggunakan masa tersebut untuk menulis dan membaca untuk terus menulis sesuatu yang dapat dikongsi bersama sahabat yang entah wujud ataupun tidak tetapi terasa dekat di hati. "SI KITOL DAN RAJA MENDELIAR TIDAK MATI".



Salam Malam Jumaat.

Comments

Popular Posts