ROS & NGO - PERANAN BIAR JELAS

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ribuan NGO muncul entah dari mana datangnya dan apa matlamat sebenar mereka. Berbagai gaya dan nama tampil di media-media cetak, elektronik dan siber. Gelagat pemimpin NGO-NGO tersebut pula bukan main gahnya sehingga pakaian seragam mereka dan balaci yang berdiri di belakang pemimpin NGO itu ketika ditemubual media menundukkan VAT69 dan Pasukan Gerak Khas (PGK). 

Berdaftarkah mereka? Jika tidak berdaftar bermakna ia pertubuhan haram dan sudah pastinya memerlukan tindakan pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS). Ia sesuatu yang mengundang bahaya jika dibiarkan tanpa kawalan pihak ROS kerana integriti dan kredibiliti ROS akan dipertikaikan. Apakah alasan ROS jika tindakan tidak diambil selama ini? Tidak cukup kakitangan? Kenapa tidak dipohon secara rasmi kepada kerajaan?

ROS jangan dibiarkan kelihatan menjadi perkakas mana-mana pihak termasuk dilihat hanya mengambil tindakan selektif terhadap NGO atau pertubuhan yang tidak sehaluan dengan pemerintah. Hanya membuat ugutan demi ugutan untuk membatalkan pendaftaran terhadap pertubuhan-pertubuhan atas alasan remeh seperti menyebut nama BERSATU walaupun didaftarkan atas nama lain yang lebih panjang.

Geng Baju Merah? Untuk tujuan apa? Berdaftar atau tidak? Jika tidak berdaftar sila ambil tindakan. Jangan dibiarkan mereka terjerit-jerit dalam perhimpunan meminta pihak lain mematuhi undang-undang negara termasuk terhadap BERSIH 5 namun pertubuhan itu sendiri pun tidak berdaftar yang bermakna melanggar undang-undang. 

NGO bukan ditubuh semata-mata untuk membuat laporan polis. Perlu dijelaskan dalam pendaftaran tersebut samada ianya ditubuhkan bertujuan untuk membuat laporan polis dan namanya juga mungkin lebih sesuai sebagai Pertubuhan Repot Polis. Akhirnya laporan polis sudah hilang 'bisanya' angkara dipermainkan sebegitu mudah oleh badut-badut seperti Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia dan 'Kipidap'.

Skuad sayang ni untuk apa? Jika sekadar untuk sayang menyayang sesama sendiri atau isteri pemimpin besar, buatlah sendiri skuad saya sayang Si A atau B. Tidak perlu Skuad sayang dengan peruntukan kerajaan tetapi untuk sayang menyayang seperti lagu Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud. 

Tapi apa boleh buat, jika peranan ROS sendiri tidak begitu jelas selain mengikut telunjuk ibu jari. 

Harus diingatkan juga pertubuhan-pertubuhan yang mengatasnamakan bekas tentera/polis dan veteran tentera/polis. Jika ia ditubuhkan untuk kebajikan bekas tentera/ polis maka gerak laku dan pendekatan juga harus tertumpu kepada aktiviti memberi kebajikan kepada golongan tersebut bukan menjadi pecacai kepada mana-mana pihak. Dari pemerhatian masyarakat, nasib bekas-bekas tentera dan polis tidak dibela sebaliknya menggunakan NGO itu untuk kepentingan diri sendiri. 

NGO yang berpakaian seragam harus diberi kata dua agar menentukan pakaian seragam dipakai itu diwartakan. Ini termasuklah NGO yang dipimpin saudara Rani Kulup yang saya percaya pakaian itu tidak diwartakan dan pertubuhan tersebut entah berdaftar atau sebaliknya. Apakah NGO itu ditubuhkan semata-mata untuk membuat laporan polis? Pakai seragam tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan untuk kepentingan diri kerana itu juga menyerupai tindakan perompak dan penyamun yang menyamar sebagai polis, SPRM, imigresen atau kastam untuk mendapat habuan bagi diri sendiri. 


Pakaian seragam menurut undang-undang harus diwartakan. Jika tidak diwartakan atau dipakai tanpa kelulusan pihak berkuasa. Ia menyalahi undang-undang jika tidak mendapat kelulusan termasuk juga yang berlakon filem dan drama di mana mereka juga mendapatkan kelulusan pihak terlibat. Baru-baru ini seorang individu menyamar sebagai doktor telah ditangkap di Kota Bharu, Kelantan ketika menyamar sebagai doktor, inikan pulak menyerupai pasukan keselamatan. 

Di kalangan masyarakat juga berbagai pertubuhan atau persatuan ditubuhkan demi memenuhi matlamat peribadi atau kelompok. Lihat saja dalam soal persatuan-persatuan yang ditubuhkan semata-mata untuk meraih keuntungan diri seperti untuk mendapatkan lesen perniagaan, permit teksi, permit impot dan bermacam-macam lagi. Malah ia digunakan untuk memudahkan mereka mendapat pingat dan darjah kebesaran yang lebih tinggi sempena hari-hari keputeraan KDYMM Raja-Raja, Sultan dan Yang Dipertua Negeri ataupun sempena hari kebesaran negara. Jawatankuasa pemilihan perlu tegas dalam soal ini agar darjah kebesaran itu gagal dilihat sebagai penghormatan terhadap jasa-jasa yang disumbangkan oleh penerima.

Nama-nama dimajukan atas tiket pengerusi, timbalan pengerusi, presiden itu dan ini kepada jawatankuasa pemilih untuk tujuan mendapat gelaran termasuklah JP dan lain-lain. Di kalangan masyarakat Cina sudah ada persatuan Hokkien, ditambah lagi persatuan Hakka, Kantonis dan macama-macam lagi. Buat lagi persatuan Tukang Masak Cina, ada lagi persatuan Teo Cew, Hainan, Hokkien, Tiong Hua. 

Persatuan kaum India pula ditubuhkan bermacam persatuan seperti Persatuan Kedai Makan India, Kedai makan Malayalam, Kedai Makan India Muslim, Kedai makan Mamak dan lain-lain. Semuanya dilihat dengan satu tujuan iaitu sebagai 'vehicle' mencapai matlamat mendapat lesen perniagaan, permit itu dan ini serta darjah kebesaran sempena kepututeraan pembesar negara dan apa saja yang dapat memberi pengurniaan gelaran. 

Sampai bila senario sebegini harus dibiarkan? Jangan ianya sampai ke tahap seluruh rakyat Malaysia dan makhluk yang ada di bumi sukar membezakan darjah kebesaran dan bilik darjah atau berapa darjah celcius.


Comments

Popular Posts