DIARI KEHIDUPAN : LEKEHKAH MELAYU SINGAPURA BERBANDING MELAYU MALAYSIA?
Senjata untuk membuktikan bangsa Melayu akan terhina dan terpinggir di bumi sendiri tidak lekang dengan membandingkan Melayu Singapura dengan bangsa Melayu di Malaysia. Apakah benar contoh ini untuk dipadankan dengan Melayu Malaysia dan Singapura?
Cuba kita fikir dan renung beberapa contoh nyata untuk membuktikan Melayu Singapura lebih 'lekeh' berbanding Melayu di sini. Boleh berikan bukti jelas?
Kebanyakan mereka yang akan cuba mengaitkan kelemahan Melayu akan memetik tulisan daripada buku tulisan Profesor Dr Lily Zubaidah Rahim bertajuk “Singapore Dilemma in the Malay World,” yang diterbitkan oleh Routledge Taylor & Francis Group pada 2009. Dalam buku ini banyak pendedahan dibuat oleh Prof Lily Zubaidah mengenai apa yang di lakukan PAP dan Lee Kuan Yew dan didakwa sebagai strategi menekan bangsa Melayu di sana.
Kita tidak nafikan sepenuhnya apa yang disebut dalam buku itu namun harus ada hujah juga untuk membuktikan Melayu di Singapura memang lemah. Jika Melayu Singapura dianggap lemah bermakna kita secara tidak langsung cuba membuktikan Melayu di negara ini jauh lebih lemah dari Melayu di sana. Apa yang disebut oleh Prof Lily Zubaidah sebetulnya dibuat kerana membandingkan Melayu di sana dengan bangsa Cina di sana bukan Melayu di negara ini. Cuba banding tahap kecerdikan murid dalam kelas paling cemerlang dengan kelas paling tercorot. Apakah pelajar nombor 1 dalam kelas paling corot lebih hebat dari pelajar tercorot dalam kelas paling cemerlang? Mikir!
Saya pernah berkursus dengan pegawai dari kerajaan Singapura dan sepanjang kursus tersebut beliau menunjukkan bahawa mereka jauh lebih mahir, cekap dan berintegriti dalam bidang masing-masing berbanding kita. Beliau juga banyak menceritakan bagaimana mereka perlu bersaing di negara mereka untuk menjadi yang terbaik. Saya pernah menulis soal ini dalam blog sama dan perkara sama ada juga disentuh mengenai perkara ini.
Lihat saja bidang seni, nama-nama besar dalam bidang seni ramai datangnya dari negara Kota Singa tersebut. Nama seperti Momo Latiff yang berlakon sebagai ibu Rose dalam filem Pendekar Bujang Lapok, M. Nasir seorang komposer, pelakon dan penyanyi, Aaron Aziz dan Adi Putra yang begitu tersohor, Noor Kumalasari, Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 Atikah Suhaime, Noreen Noor yang popular sekitar tahun 1980-an, Rubiah Suparman pelakon kelahiran Singapura yang begitu terkenal pada awal era 70-an, Biduanita Negara Puan Sri Datin Amar Salmah binti Ismail atau lebih dikenali sebagai Saloma, Siti Elfaeza Ehsan Ul Haq atau lebih dikenali sebagai Elfaeza Ul Haq dan tidak lupa Profesor Dr Lily Zubaidah Rahim Profesor sendiri yang bertugas di Sydney University Australia yang lantang mengkritik Lew Kuan Yew dan Cina Singapura juga berasal dari sana.
Jika beliau lekeh, sudah pasti tidak akan diterima sebagai profesor di universiti terkenal di Australia tersebut? Bagaimana dengan artis-artis dari Singapura yang disenaraikan di atas lebih lekeh dari artis tempatan? Jika lekeh kenapa mereka lebih terkenal dan diminati rakyat negara ini? Apakah rakyat negara ini begitu lemah minda untuk menilai orang?
Jika ditanya orang Melayu di Singapura apakah mereka rela berhijrah ke Malaysia kerana kehidupan di sana kurang bernasib baik berbanding Malaysia? Sudah pasti jawapan mereka adalah TIDAK!.
Menggunakan sentimen kaum untuk terus berkuasa hanyalah helah golongan yang sudah muflis idea dan gagal mempengaruhi rakyat untuk terus menyokong kebobrokan pemimpin dan parti yang korup sebenarnya.
MIKIR!
Comments
Post a Comment