BURUNG TERLEPAS DARI TANGAN

Sementara menunggu makanan sampai di kedai makan malam ini, saya membelek-belek beberapa bab dalam buku 'Dari Perbendaharaan Lama' oleh Hamka terbitan Pustaka Antara. Selain bab Tun Jana Khatib, saya amat teruja dengan bab 'burung terlepas dari tangan'. 

Membaca bab ini membuat saya terbayang apa yang sedang berlaku dengan negara kita tercinta ini. Ia berkisar bagaimana Raffles dan Crawford menjerat Sultan dan Temenggung di Singapura yang akhirnya pulau itu menjadi milik Inggeris. 


Pada tahun 1819, mendaratlah Raffles di Singapura diiringi Major Farquhar ketika pelayaran dari Pulau Pinang. Ketika itu Singapura diperintah oleh Temenggung Abdul Rahman atas nama Sultan Johor - Riau dan jajahan takluknya. Rakyat ketika itu yang rata-ratanya nelayan hanya berumah atap rumbia dan nipah. Yang agak besar pun hanyalah rumah Temenggung sendiri dan rakyat ketika itu berjumlah lebih kurang 300 orang. 

Temenggung inilah yang mengikat janji dengan Raffles sehingga memberi keizinan kepada Inggeris untuk mendirikan loji di Singapura serta berjanji tidak akan berhubung dengan kerajaan lain selain Inggeris. 

Dari situ Raffles mencari ruang pula untuk menjerat Sultan dengan membawa pulang Tengku Long (sulung) putera raja yang tua tetapi tidak dilantik menjadi sultan. Raffles mengambil kesempatan membawa pulang Tengku Long untuk dilantik sebagai Sultan padahal ketika itu Tengku Long hidup miskin di Riau. 

Taktik pecah belah digunakan oleh Raffles dan setelah dilantik sebagai Sultan, kuasa baginda hanyalah menghukum rakyat bangsa Melayu tetapi soal keselamatan Singapura terletak kepada Inggeris. Sultan dibayar 5,000 dollar Sepanyol setahun dan temenggung pula 3,000 dolar Sepanyol. Sultan dan Temenggung menimba laba, rakyat Singapura menanggung bala. Dari sinilah berpecah dua kerajaan Melayu. 

Inggeris bukan saja merancang setakat itu, jauh lebih dari itu adalah niat untuk mengambil Singapura sebagai tanah jajahan. Taktik seterusnya adalah dengan tidak membayar gaji sultan dan Temenggung hingga terpaksa berhutang kiri kanan meskipun raja-raja Melayu masih menerima cukai-cukai pelabuhan tetapi tidak mencukupi. 

Akibat diasak dengan hutang yang sudah menimbun, akhirnya Crawford residen Inggeris akhirnya memberitahu kehendaknya supaya; 

1. Serahkan Singapura dan pulau-pulau kecil di sekeliling Singapura kepada Inggeris.

2. Inggeris akan gantikan kerugian secara sekali gus kepada Sultan sebanyak 33,200 ringgit dan Temneggung 26,800 ringgit.

3. Selama masih hidup, Sultan mendapat gaji bulanan 1,300 ringgit dan Temenggung 700 ringgit.

4. Jika Sultan dan Temenggung berhasrat meninggalkan Singapura, Inggeris akan membayar masing-masing 20,000 ringgit. 

Kesempitan hidup membuatkan mereka menerima semua syarat-syarat tersebut. Beberapa tahun selepas itu Sultan berpindah ke Melaka dan meninggal di sana sementara Temenggung terus tinggal hingga akhir hayat sebagai bangsawan yang kehilangan kuasa. Maka lepaslah Singapura dari tangan kita laksana burung kata Hamka. 

Singapura sudah maju bergemerlapan sedangkan kita masih terkial-kial. Anak-anak bangsa Melayu masih ada tetapi terpencil di rumah-rumah kampung, dipinggir bukit dan sungai. Seluruh pekerjaan dipegang orang Cina dan kekuasaan dipegang oleh Inggeris catat Hamka dalam buku ini. 

Apakah tidak ada persamaan apa yang berlaku sekarang ini dengan negara kita dibanding sejarah yang dicatat oleh Buya Hamka ini? Dengan hutang berpuluh-puluh bilion dan membenarkan China menumpuk kuasa, apa yang sudah berlaku kepada Singapura di tangan Sultan dan Temenggung tidak mustahil akan berulang. 

Sejarah sentiasa berulang cuma berbeza pelaku-pelakunya sahaja. Untuk direnung-renung dan difikir-fikirkan.

Comments

Popular Posts