SUMPAH LAKNAT & SUMPAH JAWATAN


Salam,

1.    Sejak bila sistem keadilan sosial di negara ini hanya memerlukan sumpah sebagai penyelesaian kes? Jika seorang pemimpin hanya perlu bersumpah untuk menafikan sesuatu, maka untuk negara yang menjunjung perlembagaan dan demokrasi dengan meletakkan semua rakyat punya hak yang sama, maka memadai semua kes-kes yang dibawa ke mahkamah diselesaikan dengan kaedah 'sumpah'. Berikan hak yang sama untuk semua rakyat menikmati keistimewaan sama dengan hanya bersumpah untuk setiap kes yang dibawa untuk perbicaraan. Rasanya mahkamah dan pihak polis juga tidak diperlukan lagi dan hanya cukup dengan menyediakan lebih banyak tempat bersumpah dengan saksi-saksi.

2.    Jika kita melihat sebelum ini tentang sumpah, Perdana Menteri dan ahli-ahli Kabinet lain juga perlu mengangkat sumpah bahawa mereka akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan negara. Mereka telah bersumpah dengan menyebut;

"Bismillahirahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi."

"Saya .......... telah dilantik memegang jawatan ........... dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan jujur, dengan segala dayaupaya saya, bahawa saya akan menumpahkan kepercayaan dan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan juga memelihara, melindungi serta mempertahankan perlembagaannya."

3.       Secara jujur, apakah sumpah ini dipatuhi dan diterjemahkan dengan penuh insaf? Seluruh rakyat dapat meneka jawapannya kan? Nampaknya, sumpah yang dibuat di hadapan Yang di-Pertuan Agong hanya lebih bersifat protokol dan adat istiadat berbanding amanah yang terkandung di dalam sumpah itu. Oleh yang demikian, samada sumpah laknat mahupun sumpah jawatan dan apa juga sumpah sekarang terlalu longgar. Ia sudah menjadi seperti ungkapan 'insyallah' yang digunakan secara meluas dalam masyarakat untuk memungkiri janji. Setiap kali soalan dilontarkan misalnya "Jadi tak datang malam ni?". Jawapan 'insyallah' terus keluar dari mulut setiap dari orang-orang munafik yang hanya menjawab untuk melepaskan diri bukan untuk menunaikannya. Apakah Allah tidak mengizinkan dia untuk menunaikan janji itu sepertimana makna perkataan 'insyallah'?

4.     Oleh yang demikian, bagaimana seluruh rakyat dapat menerima dan mempercayai sumpah-sumpah yang dibuat oleh pemimpin?

Wallahualam
Salam Sumpah Sesumpah

Comments

Popular Posts