HIDUP ITU MUDAH

Salam,

1.             Sessungguhnya hidup itu terlalu mudah jika dipermudahkan. Itulah prinsip digunapakai oleh orang-orang yang merasakan hidup ini adalah perintah dari langit yang jika pecah kepala memikirkanya sekalipun ia tetap begitu. Untuk tidak 'stress' dan sakit jantung, jadilah seperti orang asli yang jika ditanya jarak perjalanan yang akan dituju. Jawab mereka mudah dan ringkas, "sudah dekat, tak sampai sebatang rokok".

2.     Namun, setelah hampir 1 jam perjalanan tetap belum sampai. Apabila ditanya lagi, jawapannya tetap sama. Rupa-rupanya rokok tak sampai sebatang itu disisip ditelinganya tanpa dihisap. Ertinya 100 tahun pun tak habis. 10 km bagi kita adalah 1 km buat mereka dan berat bagi kita adalah ringan buat mereka.

3.    Rasanya untuk menyelesaikan kes yang sudah begitu mengakar tanpa kesudahan di dalam negara juga jangan kita ribut-ribut. Tidak akan membawa sebarang penyelesaian walaupun sampai kiamat jika dasar dan kepimpinan masih mengamalkan pendekatan yang sama. Jadi, jika kita bertekad untuk melihat masalah pelacur yang sering dikaitkan dengan gejala sosial selesai secara total, tidak perlu lagi penguatkuasa dan agensi untuk membanteras kegiatan pelacuran jika kita berjaya menggunakan pendekatan ini. Ditanya bagaimana? Jawabnya, usah lagi disebut perkataan pelacur dan kita namakan saja sebagai "wanita harapan" atau pelayan nafsu maka 100% masalah pelacur selesai kerana tidak ada lagi pelacur kecuali 'wanita harapan' dan pelayan nafsu.

4.    Untuk membanteras rasuah secara tuntas juga cukup mudah. Hanya dengan menukar nama rasuah kepada sedekah maka masalah rasuah yang membarah sejak sekian lama akan selesai. Tidak perlu lagi wujudnya suruhanjaya itu dan ini, biro sana biro sini. Rasuah tidak ada lagi dan yang ada hanyalah sedekah.

5.    Dadah yang disebut sebagai musuh nombor satu negara juga dapat selesai apabila kita menamakan dadah sebagai 'tonik' dan pastinya masalah dadah boleh diistihar dengan bangganya berjaya dibanteras sepenuhnya. Negara hanya dipenuhi dengan tonik dan penagih tonik. Alangkah hebatnya negara mempunyai pemimpin-pemimpin begini dan diyakini negara lain juga akan mencontohi kita. Untuk kes-kes besar dan serius, lantik saja Ahmad Maslan dan Hasan Malek sebagai Menteri Kehakiman dan Menteri Dalam Negeri akan selesailah semuanya. Apa saja kes yang membarah, uabah saja namanya maka kes dianggap selesai dengan jayanya.

6.  Lantaran itu, jika saya menjadi pemimpin nombor satu negara, saya boleh mendabik dada semua masalah dan kes-kes serius termasuk dadah juga telah 100% selesai. Ketua-ketua jabatan terus boleh dinaikkan pangkat dan gaji hingga 40% sepertimana Ahli Parlimen walaupun kerjanya hanya membuta dalam dewan. Tiada 'stress' tiada 'sakit hati'.

Wallahualam

Salam Tak Layan

SANI

Comments

Popular Posts