BILA GELETEK SUDAH TIDAK GELI

Salam,

1.    Rakyat sedang menyaksikan dalam sejarah negara betapa Perdana Menteri (PM) terpaksa memberi penjelasan kepada rakyat berhubung beberapa isu yang membelenggu diri beliau. Belum pernah mana-mana PM terpaksa melakukan perkara itu. Tapi malang Najib terpaksa melakukannya dan lebih malang apabila penjelasan secara terbuka di TV tersebut seolah-olah ditolak oleh majoriti rakyat.

2.    Walaupun usaha untuk meyakin rakyat itu dibuat dengan perancangan rapi termasuk persediaan pihak media, penasihat-penasihat pelbagai bidang dan juga individu-individu tertentu, penjelasan itu dilihat bukan saja gagal meyakinkan rakyat, ia sebaliknya menambahkan lagi kekusutan dan kekeliruan di kalangan rakyat akibat persoalan sebenar gagal dijawab oleh PM.

3.   Buat yang baru berjinak dengan gelanggang politik, mungkin menganggap kritikan Tun M itu tidak wajar dan perlu dibuat secara berhemah termasuk dibuat secara tertutup. Malah yang sudah tua bangka dalam dunia politik juga ada segelintir berpandangan demikian dan mengkritik Tun Mahathir kerana didakwa menyerang secara terbuka. Hanya ada dua kalimah tentang perkara ini iaitu samada terbuka atau tertutup. Tidak ada separuh terbuka dan separuh tertutup. Kehidupan ini Allah jadikan lembut dan keras serta licin dan kasar tidak sia-sia. Semuanya mempunyai manfaat kepada manusia untuk dimanfaatkan. Umpama jika kenderaan kita tayarnya pancit, untuk meneruskan perjalanan maka kita terpaksa menukar tayar tersebut. Untuk membuka tayar kita terpaksa menggunakan pembuka nut sebelum tayar dicabut. Seboleh-bolehnya kita akan menggunakan tangan untuk memulas pembuka nut tayar yang pancit. Tetapi jika nut sudah berkarat dan ketat, untuk membuka tayar tersebut bagi meneruskan perjalanan, sudah pasti terpaksa menggunakan kaki untuk menambah kekuatan untuk memulas pembuka nut tersebut. Begitu jugalah dengan masalah antara Tun Mahathir dan Najib. Usaha berlembut dan nasihat sudah dibuat sejak 4 tahun lalu tetapi nampaknya umpama anjing menyalak bukit.

4.    Jika hal peribadi seperti isterinya tidak mahu bertudung, rambutnya beruban, rambutnya kurang, rosmah gemok atau selalu bercakap berbuih di tepi mulut pastinya tidak akan ditegur oleh Tun Mahathir. Tetapi apabila isu-isu melibatkan kepentingan seluruh rakyat dan rakyat tidak mampu berbuat apa-apa, maka kemunculan Tun Mahathir untuk menyuarakan luahan hati rakyat sememangnya amat dinanti-nantikan mereka. Nak diharapkan penjilat-penjilat dan pelahap jawatan dan habuan tidak mungkin akan kedengaran suara membantah apatah lagi mengkritik tindakan-tindakan merugikan rakyat secara umumnya.

5.    Oleh itu, tidak perlu ada kekangan berlebihan kepada rakyat untuk menyuarakan kritikan terhadap pemimpin. Jika bukan rakyat sendiri yang mengkritik, siapa lagi? Jika pihak luar mengkritik maka akan berbunyi "jangan ada campurtangan asing atau pihak luar". Rakyat tidak mengkritik tentang gaji wakil rakyat, menteri ataupun exco. Rakyat tidak mengkritik tentang segala keistimewaan yang dinikmati menteri mengikut kelayakan mereka. Rakyat hanya mengkritik sesuatu yang dilihat merugikan negara dan wujudnya salah laku dalam urus tadbir negara oleh pemimpin. Jika bukan pemimpin yang melakukan hal tersebut, mereka tidak akan mengkritik. Kenapa harus rakyat mengkritik buaya membaham ayam? Rakyat tidak mengkritik monyet mencuri pisang. Rakyat mengkritik jika ada pemimpin mencuri wang rakyat. Mereka juga mengkritik jika pemimpin membaham hak mereka sedangkan gaji, elaun dan kemudahan sudah lebih dari mencukupi.
6.   Dengan itu, Tindakan Tun Mahathir menegur yang lebih bersifat teguran bapa kepada anak pada peringkat awalnya patut didengari. Apabila sudah jauh menyimpang, maka Tun Mahathir mula menggeletek secara terbuka. Malangnya, geletek Mantan PM ini sudah tidak lagi mendatangkan geli sebaliknya sudah bertukar sakit. Apa lagi yang boleh dilakukan jika menggeletek sudah menjadi sakit?

Wallahualam


Comments

Popular Posts