PANADOL BUKAN JAWAPAN KEPADA SEGALA PENYAKIT

Salam,

1.   Membanteras kegiatan pengganas tidak semudah menyelesaikan masalah longkang tersumbat. Melihat kepada sejarah kisah keganasan pertama di muka bumi ini apabila Qabil membunuh Habil, maka ia jelas menunjukkan bahawa Allah swt cuba menunjukkan bahawa taraf kenabian Nabi Adam sahaja tidak mampu membendung kegiatan ganas jika tidak adanya kejujuran dan amanah dalam diri manusia dengan mengenepikan tuntutan agama Islam yang sebenar dan tidak diselewengkan.

2.   Sejak 'Middle Age' ketika zaman dimana Eropah sedang mengalami masa surampun sudah berlaku perkara-perkara seperti ini. Menurut Bailey. D, dalam bukunya 'The Tactics of Terror' (1986), "During the Middle Ages it was an Ismaili Moslem sect based in Persia and Syria that terrorized the contemporary world. Its chief, known as Sheikh al Jebel ordered the murder of prominent people. The devoted killers became known as hashshashin (takers of the drug hashish) and it is from this term that our word 'assasin' is derived. Christians too regularly used tactics of terror. They massacred and tortured other Christians whom they held to be 'heretics'. The Spanish Inquisition, founded in 1478, tortured and burned Christians, converted Moslems and Jews, as well as political enemies of the Popes and the Spanish monarchy".

3.  Maknanya, pengganas tidak seharusnya dikaitkan hanya dengan Islam dan pengamalnya saja. Pengganas boleh melibatkan sesiapa saja yang melakukan tindakan sama seperti pengganas lain lakukan. Tindakan pengganas adalah satu bentuk jenayah, satu jenayah kejam terhadap manusia. Ia adalah jenayah terhadap seluruh dunia tidak kira siapa atau apa atau negara mana yang menjadi sasaran. Memerangi keganasan perlu diperangi oleh semua pihak kerana tidak ada siapa antara kita yang benar-benar selamat. Tetapi, adalah mustahil bagi kita untuk melawan musuh yang kita sendiri tidak kenal.

4.    Memerangi pengganas tidak semudah berperang dengan sebuah negara lain. Seperti apa yang disebut oleh Mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad ketika perasmian Sesi Khas Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam (ICFM) mengenai Keganasan di Kuala Lumpurpada 1 April 2002, "Kita boleh meranapkan negara musuh sehingga menjadi padang jarak padang terkukur. Ini boleh dilakukan sekarang, dan pernah dilakukan. Tetapi pengganas masih boleh membolosi kita kerana kita tidak tahu siapa mereka dan di mana mereka berada. Mereka mungkin tidak berada di negara yang kita musnahkan atau mereka berada di tempat lain dan mungkin mereka berada di negara kita sendiri. Tetapi pengganas masih boleh membolosi kita kerana kita tidak tahu siapa mereka dan di mana mereka berada. Mereka mungkin tidak berada di negara yang kita musnahkan atau mereka berada di tempat lain dan mungkin mereka berada di negara kita sendiri. Hari ini umat dunia mudah bergerak ke sana-sini dan tiada negara yang murni etniknya. Pengembaraan memudahkan penghijrahan mengakibatkan hampir semua negara menjadi berbilang kaum, agama dan etnik. Pengakuan taat setia mereka tidak menjamin apa-apa. Di kalangan kita akan sentiasa terdapat pendatang asing. Mustahil bagi kita untuk memantau semua pendatang asing di semua negara. Malahan kita sendiri tidak boleh memberi jaminan bahawa rakyat kita sendiri tidak akan menjadi pengganas ataupun berpotensi menjadi pengganas."

5.    Yang paling utama dalam memerangi pengganas tambah Tun dr Mahathir Mohamad adalah, "Kita tidak boleh memburu pengganas sehingga kita semua dapat mencapai kata sepakat siapa mereka dan bekerjasama dalam menjejaki mereka. Kita perlu mencapai persetujuan mengenai cara mengenal pasti pengganas dan apa yang dimaksudkan dengan keganasan. Jika kita mendiskriminasi semata-mata kerana mereka sebangsa atau seagama dengan pengganas ini akan hanya menimbulkan kemarahan lebih ramai orang dan mungkin menyebabkan munculnya pengganas baru. Ia tidak produktif."

6.    Kita telah pun mengetahui bahawa pejuang kebebasan yang menentang penindasan disalah anggap atau sengaja dicap sebagai pengganas oleh penjajah mereka. Akibatnya pejuang-pejuang kebebasan seperti Jomo Kenyatta, Robert Mugabe, Nelson Mandela, Sam Nujoma kesemuanya dilabel sebagai pengganas dan diburu dan hukuman penjara menunggu mereka jika mereka ditangkap. Tetapi, kemudiannya mereka diterima sebagai pemimpin negara yang dihormati. Apa yang jelas, pada hari ini seseorang mungkin menjadi pengganas tetapi esok harinya dia boleh ditakrif sebagai pejuang kebebasan dan sebaliknya seorang pejuang kebebasan hari ini boleh ditakrifkan sebagai pengganas esoknya bergantung kepada keadaan. Sekiranya kita memburu setiap orang yang dirujuk sebagai pengganas oleh pihak tertentu, kita mungkin telah sangat melakukan ketidakadilan.

7.    Definisi pengganas harus jelas dan melihat kepada perlakuan pelakunya. Jika membunuh orang awam itu adalah tindakan pengganas, maka siapa juga yang melakukannya samada individu, organisasi termasuk negara yang melakukannya juga harus dilabel sebagai pengganas seperti apa yang dilakukan oleh Israel maka ia boleh dianggap sebagai negara pengganas. Lantaran itulah, Kamarulnizam Abdullah juga menyebut dalam makalahnya yang diterbitkan dalam buku 'The Making of Ethnic & Religious Conflicts in Southeast Asia: Cases and resolutions' "It is, in fact, difficult if not impossible to define the word militant. How we differentiate Islamic extremis, terrorist, militant, or even fundamentalist?". Sudah pasti tidak semudah yang dijangka oleh beberapa pihak yang membuat kesimpulan 'mee segera'.

8.    Mencari penyelesaian isu keganasan amat sukar kerana bukan saja menjejak pengganas itu satu kerja yang amat sulit, malah membezakan antara pengganas yang sebenar dan juga pengganas yang diperalatkan oleh pihak berkepentingan seperti CIA agensi perisikan Amerika Syarikat dan Mossad agensi perisikan Israel juga lebih menyulitkan. Ini adalah kerana kewujudan elemen pengganas ini diatur secara terancang dan kemas bagi menyebabkan sesama umat Islam bercakaran dan ia memudahkan perencanaan mereka untuk menguasai dunia.

9.    Dalam isu IS di Syria, bagaimana kita menentukan pengganas atau mereka yang ke sana hanya semata-mata membantu rakyat Syria yang menjadi mangsa kezaliman rejim Basyar Al Assad? Sebenarnya banyak kumpulan yang memerangi rejim Basyar Al Assad bukan hanya IS. Mereka termasuklah puak Sunni yang anti Syiah iaitu kelompok Presiden Basyar, Puak minoriti Kurdis dan beberapa kelompok lain yang menjadi mangsa kezaliman pemerintah. Oleh itu, tindakan penyelesaian sebenar terhadap isu ini bergantung kepada kemampuan pihak perisikan bukan saja tempatan malah agensi luar mengenalpasti siapa sebenar pengganas dan sebaliknya. Tidak hanya berdasarkan cakap dengar dan media sosial sehingga memungkinkan makcik atau nenek yang hanya layak menanak nasi atau menumbuk sambal belacan disenaraikan sebagai pengganas. Keupayaan agensi perisikan mengenalpasti pengganas dan kumpulan yang disertai mereka merupakan titik penting dalam menentukan maklumat samada yang bernilai risikan atau bernilai operasi dapat mengheret pengganas sebenar ke pentas keadilan hakiki.

10.    Pendekatan yang diambil terhadap pengganas juga perlu sesuai dengan keperluan sebenar kerana pengganas ini tidak dapat dimenangi hanya dengan tindakan keras memandangkan doktrin yang berlegar dalam minda mereka adalah untuk mati syahid dan buat mereka, sekiranya tindakan keras terhadap mereka dapat menjadikan mereka hilang nyawa, ia satu kejayaan buat mereka untuk mati syahid. Oleh kerana itulah menjadi tugas yang amat sukar untuk meyakinkan mereka bahawa tindakan mereka itu samada tindakan membunuh orang lain, bunuh diri atau syahid. Tindakan bijak dan berhemah senang disebut tetapi amatlah sukar diterjemahkan dalam tindakan. Hanya sejarah akan menentukan ia adalah tindakan bijak atau sebaliknya. Pengakuan bijak tidak akan menjadikan sesuatu tindakan itu bijak dan melabelkan bodoh tidak juga menjadikan yang bijak itu bodoh.

11.    Sama-samalah kita sebagai rakyat yang sayangkan bangsa, agama dan tanahair untuk membantu pasukan keselamatan khususnya agensi perisikan dengan apa cara sekalipun bagi mengelakkan negara mencipta sejarah sepertimana yang pernah berlaku di Jw Marriot Jakarta pada 2003 dan di Bali pada 2002 agar tidak berlaku di sini. Ubatilah penyakit sesuai dengan kaedah rawatannya. Panadol bukanlah jawapan kepada segala jenis penyakit. Begitu juga dengan sakit kepala lutut tidak mampu disembuhkan dengan mengurut tapak kaki. Untuk menjadi pintar tidak cukup hanya dengan 'coklat minda'.

Wallahualam

Salam 1Coklat Minda

Comments

Popular Posts