PROTON
Salam,
1. Yusof Harun dalam bukunya 'Anak Bulan Di Kota London' dalam bab 'Imam Mahdi muncul di London' menulis sebuah kisah,
"Look mummy, it's a proton."
"Stop being silly dear. You can't see a proton..."
"But I've just seen one..."
"Rubbish... Look dear, a proton is a part of an atom. It's so tiny that you need an electronic microscope in order to see it."
2. Tambah Yusof Harun lagi, "Begitulah perbualan seorang budak lelaki Inggeris ketika ibunya sedang mengunci kereta Jaguar mereka di tepi sebatang jalan di kawasan mewah London West End" dan terlihat kelibat kereta Proton Knight melintas di situ. Budak lelaki itu kemudiannya cuba meyakinkan ibunya dengan bertanya seorang wanita lain yang sedang menunggu di dalam sebuah jip berhampiran kereta ibunya dengan akhbar 'The Financial Times' terpampang dengan foto sebuah kereta Proton di laman hadapan. Itulah kereta kebanggaan seluruh rakyat negara ini dan sehingga Jun 1989, sebanyak lebih dari dua ribu buah kereta Proton telah terjual di Pasaran United Kingdom.
3. Apa yang cuba saya paparkan di sini adalah bagaimana Malaysia sebuah negara kecil dalam peta dunia dikenali sebagai salah sebuah pengeluar kereta di dunia. Proton yang hanya diketahui sebagai sebahagian dari unsur atom kini bertebaran di sana sini sebagai sebuah kenderaan. Satu persatu lambang kebanggaan negara kita muncul ketika era pemerintahan Tun Mahathir dan menjadi mercu tanda kebanggaan negara. Kepimpinan selepas itu hanya mampu meneruskan apa yang sudah ada dan menuai hasil yang telah disemai oleh mantan PM ini. Lebih malang apabila ada usaha-usaha pihak tertantu untuk mencalarkan reputasi beliau dengan pelbagai tindakan yang tidak sukar dibaca oleh mereka yang tidak buta mata dan hati.
4. Seluruh rakyat dari yang kecil hingga kepada yang tua akan terus ingat jasa Tun Mahathir sebagai pencetus idea pembinaan Lebuhraya Utara Selatan selain projek-projek berprofil tinggi yang dibangunkan pada zaman pentadbirannya termasuk Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang.
5. Usaha beliau yang paling diingati rakyat Malaysia dan antarabangsa adalah ketika membawa Malaysia keluar dari Krisis Kewangan Asia 1997 dimana beliau telah menolak cadangan dan juga dana bantuan dari IMF yang beliau sifatkan akan memburukkan lagi krisis. Langkah-langkah radikal yang diambil dikiritik hebat ketika itu oleh banyak pihak termasuk IMF sendiri. Bayangkan apa akan berlaku sekiranya krisis seperti itu berlaku pada masa ini?
6. Kita tidak perlu memadam sejarah hanya kerana kita tidak suka kepada seseorang. Mungkin Tun Mahathir sebagai manusia biasa yang serba kekurangan ada juga melakukan kesilapan, namun ianya tidak mewajarkan kritikan dan teguran beliau atas kesilapan yang sedang berlaku perlu dipertahankan. Mempertahankan kesilapan yang sedang berlaku ternyata menunjukkan kita rela dan bersetuju dengan kesilapan itu. Masalah yang sedang berlaku dalam dunia ketika ini bukanlah banyaknya orang jahat, tetapi ramainya orang baik yang tidak melakukan apa-apa dan hanya menjadi penonton kepada kejahatan yang berlaku.
7. Rakyat dan semua pihak perlu rasional, jika sekalipun ada kepincangan dan kelemahan ketika era pentadbiran Tun Mahathir, ia tidak lagi mampu diperbaiki kerana tidak ada manusia yang mampu mengubah sejarah dan apa yang dilakukannya adalah sejarah. Namun demikian, apa yang berlaku sekarang adalah kita masih berpeluang membetulkan keadaan dan melakukan perubahan. Sememangnya tidak ada manusia yang suka jika 'status quo' diubah kerana ia bererti apa yang dinikmati selama ini juga akan berubah. Banyak pihak yang terlibat dan pastinya banyak pihak juga akan bermati-matian mempertahankan 'status quo' tersebut.
8. Kata Tan Sri Sanusi Junid, untuk membetulkan keadaan, kita hanya ada dua pilihan. Mengubah dasar atau mengubah orang. Jika tidak mahu mengubah orang maka dasar perlu diubah. Jika tidak mahu ubah dasar maka orang lah yang perlu diubah. Sepertimana kata Tun Mahathir, meminta seseorang pemimpin untuk berundur bukan hasutan. Hasutan adalah apabila meminta supaya negara dikucar-kacirkan sedangkan pemimpin datang dan pergi. yang tinggal adalah bangsa, agama dan tanahair termasuklah parti itu sendiri. Tidak perlu ada tahap kefahaman yang tinggi untuk membezakan antara apa itu pemimpin, rakyat, negara, bangsa, agama dan tanahair.
9. Jika seseorang pekerja tidak menjalankan tugasnya dengan baik dan tidak menepati kehendak majikan, semestinya majikan akan memecat atau memberhentikan pekerja tersebut dan tindakan itu bukanlah menjadi hasutan. Begitu juga dengan pemimpin tidak kira di peringkat bawah, pertengahan atau paling atas sekalipun, gaji dan segala keistimewaan kamu dibayar menggunakan wang rakyat dan rakyat itu majikan. Jika tidak memenuhi aspirasi rakyat, rakyat berhak menegur supaya berubah dan jika tidak berubah, rakyat mempunyai hak untuk meminta beliau berundur secara terhormat. Apakah itu hasutan?
10. Rakyat hanya berharap setiap kesilapan dapat diperbetulkan dan tidak sesekali mengharapkan alasan untuk menegakkan benang basah dengan membuat perbandingan siapa lebih banyak melakukan kesilapan. Prinsip 'lesser of two evils' yang bermaksud memilih salah satu di antara dua syaitan yang mana lebih baik tidak akan membantu rakyat, bangsa, agama dan negara. Ia hanya dapat membantu individu dan kelompok. Kenapa harus memilih syaitan jika masih ada malaikat di celah-celah syaitan?
11. Rakyat juga tidak mengharapkan Tun Mahathir dan kabinet ketika beliau selaku PM kembali. Rakyat hanya berharap keadaan kehidupan mereka dapat diperbaiki dengan dasar-dasar kewangan yang lebih efisien serta urus tadbir negara yang meletakkan kepentingan rakyat di hadapan seiring dengan slogan 'rakyat didahulukan' itu bukannya diri, keluarga dan suku sakat. Rakyat negara ini juga amat terkenal dengan tahap toleransi serta kompromi yang cukup tinggi. Mereka cukup akal dan cukup tinggi tahap kesabaran mereka untuk berdepan situasi yang mencabar selagi situasi tidak sampai kepada mereka harus mengemis atau mereka dan keluarga kebuluran. Namun, jika keadaan ekonomi tidak diuruskan dengan berhemah, bukan mustahil sawah padi menjadi kebun lalang.
Wallahualam
Comments
Post a Comment