ANTARA NAJIB BARBER DAN NAJIB RAZAK
1. Tengahari semalam saya bercadang menggunting rambut kerana terasa kurang selesa dengan rambut yang makin panjang. Saya mencuba untuk gunting rambut di kedai 'Abdul Barber' di Pekan Tanah Merah, Jitra. Sebaik sampai nampak kedai macam dibuka tetapi rupanya masih ditutup. Saya ambil nombor telefon bimbit tertera di cermin kedai dan buat panggilan kepada tukang gunting itu. Beliau menjawab panggilan beritahu sedang makan ketika dan akan sampai jam 12.10 tengahari. Melihat masa masih ada lebih kurang 45 minit, saya pulang ke rumah dahulu bersiap untuk menghantar buku yang saya buat fotokopi di kedai berhampiran.
2. Saya pulang ke kedainya jam 2.30 petang setelah ke Alor Star menghantar buku yang dipinjam di perpustakaan. Dalam perjalanan pulang, saya cuba 'whats app' tukang gunting rambut itu bertanya samada ramai pelanggan atau tidak. Beliau kemudiannya membalas dan nama yang tertera di situ adalah Mohamad Najib. Terkejut juga sebab nama seperti PM yang kita semua sayangi (hehehe). Beliau beritahu cuma ada 2 orang pelanggan sedang digunting oleh dia dan seorang pekerjanya.
3. Sebaik sampai terus tiba giliran saya untuk digunting rambut. Hiasan dalam kedainya agak kemas dan sebuah almari bertulis Abdul Barber dengan alamat di London. Saya bertanya dulu adakah dia tinggal di London? Jawabnya dia sebelum ini membuka kedai gunting rambut di London berhampiran Liverpool. Dia seorang tukang gunting yang ramah dan agak berpengetahuan. Pekerjanya masih muda tetapi nampak agak cekap juga mungkin atas latihan yang dia berikan.
4. Sebaik separuh masa dia menggunting, dia minta kebenaran berhenti sekejap untuk menggunting rambut pelanggan di sebelah yang sedang digunting oleh pekerjanya. Katanya, ia bertujuan untuk menentukan 'quality control' bagi setiap pelanggannya. Sebaik habis sentuhannya kepada pelanggan di sebelah, dia kembali menggunting rambut saya hingga selesai. sepanjang rambut digunting, dia dengan ramah terus berceloteh dengan saya. Cara dan hasil guntingannya saya dapati cukup hebat dan amat memuaskan hati.
5. Namun moral cerita di sini, walaupun pekerjanya dapat menggunting rambut pelanggan dengan baik, beliau sebagai pemilik akan tentukan 'quality control' dijaga. Ini akan memberi kesan psychology kepada pelanggan bahawa beliau bertanggungjawab dan menjaga kualiti perkhidmatan perniagaannya. Dari situ, saya berfikir, jika seorang tukang gunting rambut boleh bersikap dan menjaga hasil kerjanya begitu, kenapa tidak pemimpin khususnya PM melakukan tindakan sama? Maksud saya bukan PM perlu menggunting rambut, tetapi setiap perkara mustahak yang diambil tindakan oleh setiap menteri-menteri kabinetnya harus mendapat 'sentuhan akhir' bagi menjaga 'quality control' agar tidak tersasar daripada benchmark yang telah ditetapkannya. Ini juga tidak bermakna beliau harus mengambil tindakan dari awal, tetapi menentukan setiap tindakan barisan menterinya itu benar-benar menepati kehendak dan keperluan rakyat sebagai pelanggan kepada kabinetnya yang merupakan pelayan kepada rakyat. Dan dia sebagai orang nombor satu negara hanya perlu memberi sentuhan akhir.
6. Jika tindakan sedemikian dibuat, tidak akan timbul soal kenyataan-kenyataan bodoh oleh para menteri dan pemimpin atasan kementerian dan jabatan. Kesemua mereka akan lebih berhati-hati dalam membuat keptusan dan juga dari aspek tindakan yang melibatkan kepentingan rakyat. Jika tukang gunting boleh mempunyai rasa 'akauntabiliti' sedemikian, PM seharusnya jauh lebih besar 'akauntabilitinya'. Jika tidak, maka jadilah pemimpin kong kalikong kepiah longgaq. Tunduk saja, kepiah pun jatuh berteraboq slip nombor ekor. Jawatan bukan hadiah atau pentas untuk berpoco-poco, tapi amanah dari rakyat yang tidak tertanggung beratnya untuk dijawab di hadapan pemilik segala alam ini nanti. Salam penghargaan buat Mohamad Najib 'Abdul Barber' dan tidak lupa juga buat Mohamad Najib Razak pelayan kepada rakyat yang sedang menonton filem 'Ali Barber dan 40 Penyamun'.
Wallahualam
Comments
Post a Comment