PERISTIWA 13 MEI

Related image
Lima hari lagi, tarikh 13 Mei akan berulang seperti tahun-tahun sebelumnya. Sepertimana tarikh 31 Ogos penting buat kita rakyat negara ini, begitu juga tarikh 13 Mei walaupun tarikh itu telah mencatat sejarah hitam negara. Buat rakyat negara lain samada yang tinggal di negara ini atau di negara mereka sendiri, kedua-dua tarikh itu tidak mempunyai signifikan secara langsung.

31 Ogos tarikh yang menghadirkan kegembiraan dan 13 Mei pula sebaliknya seperti memutarkan angka 31 dan 13 yang akhirnya tetap ada angka 3 dan 1. Pelbagai fakta, hujah dan andaian dibuat untuk dijadikan justifikasi kenapa berlakunya peristiwa rusuhan kaum yang menyayat hati seluruh rakyat tanpa mengira kaum apa pun mereka. Justifikasi mudah dicungkil tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana menjadikan ia sebagai sempadan agar tidak ada lagi pihak mengambil kesempatan untuk mengkucar-kacirkan keharmonian kaum di negara ini.

Kesan terhadap peristiwa ini selain munculnya Dasar Ekonomi Baru (DEB), ia turut mengheret perdana menteri pertama dan Bapa Kemerdekaan kita Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj turun dari kerusi orang paling berkuasa di negara ini. Begitulah hebatnya peristiwa 13 Mei 1969 yang jika tidak dijadikan iktibar oleh seluruh rakyat tidak kira samada pemimpin mahupun rakyat, padahnya sentiasa ternganga menunggu ruang untuk berpesta.

Jika dulu, setiap kali berlakunya peristiwa melibatkan berlainan kaum, pihak keselamatan sepantas kilat muncul untuk memadamkan api perseteruan antara mereka yang terlibat bagi mengelakkan peristiwa hitam itu berulang. Namun kini, diperhatikan keadaan amat berbeza di mana simptom-simptom untuk tercetusnya perbalahan kaum sering timbul tetapi langkah membendungnya dilihat agak suram dan menyedihkan. 

Mana Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri Malaysia? Mana agensi-agensi berkaitan serta jawatankuasa yang ditubuhkan dengan melibatkan pihak polis, sekolah, pemimpin tempatan dan berbagai lagi yang dianggap penting bagi menangani isu kaum? 

Malah lebih menyedihkan adalah parti-parti politik menggunakan rasisme sebagai wadah untuk meraih sokongan kaum masing-masing dengan satu matlamat iaitu kekal berkuasa atau memburu kekuasaan. 

Meruntuhkan terlalu mudah berbanding membina dan sudah pasti mengambil masa yang panjang untuk mengembalikan bukan saja soal pembangunan fizikal negara tetapi jauh lebih penting adalah soal keamanan, keselamatan negara dan juga keyakinan pihak luar yang cukup penting sebagai penanda aras mereka datang menumpahkan pelaburan di negara ini. 

Secara umumnya rakyat amat benci kepada kekacauan dan ketidakamanan dalam negara. Mereka saling hormat menghormati sesama rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Pengamatan mereka yang gemar meneropong situasi keselamatan negara mendapati pergolakan rasa benci-membenci sebenarnya dirangsang oleh pihak-pihak tertentu yang mengidam berlakunya pertelingkahan kaum dan ianya dapat meraih keuntungan politik dan kelompok mereka walaupun amat merugikan negara dan rakyat.

Soal keselamatan negara letaknya pada pemimpin negara dan untuk itu, hal paling utama adalah kejujuran. Abdullah Gymnastiar seorang pendakwah, penulis buku dan pengusaha dari Indonesia menyebut "Biasakanlah untuk jujur, karena kejujuran itu menuntun kita pada kebaikan dan kebaikan itu menuntun kita pada keselamatan."

Salam Perpaduan buat seluruh rakyat Malaysia.

Comments

Popular Posts