BIARKAN SINGAPURA DENGAN CARANYA


FMT News hari melaporkan, “Singapura menolak kritikan Utusan Malaysia mengenai layanan sama rata kepada rakyatnya, selepas akhbar pro-Umno itu mempersoalkan dasar meritokrasi republik itu yang menurutnya adalah helah melemahkan kuasa politik penduduk Melayu di negara itu."

Dalam jawapan balas kepada ruang analisis Mingguan Malaysia di bawah nama samaran “Awang Selamat”, Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Vanu Gopala Menon mempertikaikan tuduhan akhbar itu, sebaliknya berkata komuniti Melayu di Singapura mencapai pelbagai kemajuan di bawah dasar sama rata.

Utusan Malaysia sewajarnya tidak perlu campurtangan urusan rumahtangga negara tetangga bagaimana mereka perlu menguruskan negara mereka. Sebagai sebuah akhbar yang dianggap lidah rasmi parti pemerintah, sudah pasti ianya akan menimbulkan persepsi sebagai suara pemerintah negara ini. Jika kita tidak mahu pihak luar campurtangan dalam soal dalaman negara kita, maka jangan pula kita terlebih lajak dari laju.

Sering kedengaran kata-kata negara menolak campurtangan asing dalam hal dalaman negara ini tetapi pada masa sama kita melakukan perkara sama. Isu perkauman jarang sekali kedengaran dimainkan di Singapura dan tidak timbul soal ketuanan Melayu atau ketuanan Cina di sana.

Mereka menjaga keharmonian kaum secara dekat tidak seperti kita di sini saban hari ada saja isu kaum dan agama yang cuba disimbah petrol. Lebih baik sebagai media arus perdana, Utusan Malaysia melalui ruangan pojok Awang Selamat itu menggunakan ruang tersebut menyatupadukan kaum di negara sendiri dari menyibuk soal kaum di negara lain.

Rumah sendiri bergelumang taik cuba bersihkan percikan najis di rumah orang. Apa jadi dengan etika kewartawanan yang diamalkan media profesional seperti ini. Profesional? Betulkah profesional? Lidah rasmi elok jadi resmi padi semakin berisi semakin merunduk.

Isu 1MDB samada di Singapura atau Amerika diambil tindakan bukan kerana mereka mahu campurtangan tetapi undang-undang negara tersebut tidak membenarkan mana-mana pihak termasuk bank-bank perdagangan terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram dan 1MDB seperti dilaporkan banyak media asing bahawa bank-bank di negara terbabit didenda kerana isu tersebut. Ini termasuklah tindakan Jabatan Keadilan Negara (DOJ) Amerika Syarikat yang serius cuba menangani kes-kes dan skandal besar seperti ini.

Tambah Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia sebagai tindakbalas kritikan Utusan Malaysia itu lagi, “Meritokrasi merupakan tiang utama dalam sistem pentadbiran Singapura. Rakyat kami tidak kira bangsa, bahasa dan agama, menerima akses sama rata, dan dasar kami ditentukan bagi mencapai tujuan itu. Masyarakat Melayu Singapura mencapai pelbagai kemajuan sosial dan ekonomi dalam 5 dekad lalu, bukan kerana diberikan keistimewaan, tetapi atas usaha mereka sendiri dalam sebuah masyarakat adil dan saksama.” Paling penting tambah Menon, “Singapura juga melarang keras rakyatnya termasuk media daripada “memainkan isu kaum, bahasa dan agama untuk memecah belahkan masyarakat kami”.

Sudah-sudahlah bermain api dengan isu-isu kaum ini. Di negara sendiri caca merba dibuatnya dengan hubungan kaum yang sebenarnya tenang tetapi sengaja dikocak, mahu diheret pula negara lain untuk menambah ketegangan. Harus diingat, “buang jauh-jauh nostalgia Singapura itu milik Malaysia”. Mereka sudah merdeka seperti kita juga dan biarkan mereka dengan hala-tuju mereka dan kita dengan ketidaktentuan hala kita. Utusan Malaysia bukan akhbar nyamuk jadi tak perlu bising-bising ganggu singa yang sedang tidur.



Comments

Popular Posts