AYAM

Apalah nasib ayam yang selama ini sentiasa dipersalahkan sehingga apa saja yang manusia lakukan pastinya ayam dijadikan kambing hitam walaupun ia seekor ayam bukan kambing.


Manusia menempah dosa dengan menjadi pelacur tidak dipanggil Minah, Tipah, Doyah, Amy atau Suzy tetapi dipanggilnya ayam. Yang lelaki menjadi barua menguruskan pusat pelacuran dipanggil bapa ayam dan perempuan pula dipanggil ibu ayam. Apa salah ayam?

Si tua kutuk ini pula sejak kecil malas belajar dan mengambil jalan mudah menulis sesuka hati hingga terbawa-bawa hingga ke tua tak pandai menulis. Ayam juga dipersalahkan disebut cakar ayam.

Menteri yang sengaja memperbodohkan diri sendiri dan ada usaha memperbodohkan rakyat pula dipanggil menteri cap ayam sedangkan yang bodoh itu manusia gila jawatan dan pangkat hingga sanggup diperbodohkan.

Bagi yang gemar membuat heboh merata tempat juga ayam jadi mangsa dikatakan bertelur sebiji riuh sekampung. Ayam pun sakit kepala fikir tak habis-habis nak kaitkan dengan aku.

Fikir saja lah, ayam tak minta kita berjalan kaki tak berkasut tapi kenapa ayam soal kaitkan dengan aku jadi berkaki ayam? Dan paling geli hati kata ayam sampai ke berak dia pun cuba dikaitkan dengan manusia. Ada pulak yang panggil macam ayam berak kapur apabila manusia yang mukanya pucat dan kena penyakit.

Itu tak ambil kira yang siang malam asyik menatap skrin komputer dan telefon bimbit hingga matanya jadi kelabu dan rabun. Itu pun salah ayam hingga jadi rabun ayam. Apabila manusia malas dan buat kerja sambil lewa dan akhirnya meninggalkan kerjanya itu juga nak salahkan ayam hingga disebut ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Banyak lagi karenah manusia yang nak disabitkan dengan ayam sehingga ayam fikir inilah manusia yang tak pernah menyalahkan diri sendiri hingga apa saja kesalahan diri sendiri akan dituding pada pihak lain.

Inilah yang cuba saya tegaskan di sini nasib ayam yang tak ubah dengan nasib DAP. Semuanya salah DAP hingga buat salah terang-terang itu bukan pihak DAP tetapi yang dipersalahkan adalah DAP. Rakyat jemput pemimpin DAP berbuka puasa disalahkan DAP hingga tak benarkan pemimpinnya makan bersama orang Islam. Lim Guan Eng memang tak berbuka puasa tetapi dia makan apa salahnya sebab yang puasa itu orang Islam. Lemah sangat iman orang Islam di Malaysia hingga ketika makan tak boleh ada orang bukan Islam. Ada ketikanya orang bukan Islam makan pun kita marah sebab kita belum berbuka. Bengisnya Islam!

Baru-baru ini dalam majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN2015) pada Rabu kecoh selepas pelawak Mat Over menampar produser filem David Teo di depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun nak salahkan DAP kononnya David Teo itu pendokong parti DAP. Kalau betul pun DAP perlukah ditampar?

Sebelum ini heboh isu RUU355 kononnya DAP menentang perlaksanaan undang-undang tersebut sedangkan MCA dan PGRM juga menolak termasuk UMNO sendiri dalam diam. Perbahasan Usul Enakmen Jenayah Syariah Terengganu juga ditolak sedangkan 31 ADUN dari 32 DUN di negeri tersebut adalah UMNO dan PAS. Yang dipersalahkan adalah DAP. Memang nasib ayam dan DAP seakan sinonim.

Terlalu banyak isu yang cuba meletakkan kesalahan ke bahu DAP untuk digalas sebenarnya dan sebagai rakyat yang punya akal dan waras, jauhi sindrom bebalisme seperti disebut Prof Syed Hussein Alatas dalam bukunya Mitos Pribumi Malas. Beliau khuatir akan penguasaan masyarakat sedang membangun oleh orang-orang bebal, iaitu, revolusi orang-orang bebal (the fools). Katanya, di antara ciri-ciri orang-orang bebal adalah ketidakmampuan menganalisa masalah, ketidakmampuan menyelesaikannya jika masalah itu dikemukakan kepadanya, ketidakmampuan mempelajari apa yang diperlukan, ketidakmampuan mempelajari seni belajar, dan tidak mengakui kebodohannya. Jangan hanya pandai salahkan ayam sedangkan pelakunya manusia.

Comments

Popular Posts