TEMPIKAN PERSEMPADANAN SEMULA
Nampaknya genderang perang menuju perbatasan sudah semakin nyaring kedengaran. Tanda-tanda peperangan semakin hampir ditandai dengan SPR melaksanakan kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula 15 September lepas. Syor kajian semula persempadanan itu mula dipamerkan bagi tempoh satu bulan bermula 15 Sept hingga 14 Okt ini, untuk tujuan semakan dan bantahan.
2. Namun, berbagai pihak sudah mula menunjukkan bantahan terhadap saranan persempadanan semula ini kerana didakwa memihak kepada UMNO dan BN. Azmin Ali MB Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR dilaporkan berkata, kerajaan negeri Selangor, majlis tempatan dan 100 pengundi dari setiap kawasan akan memfailkan bantahan mereka secara rasmi terhadap persempadanan semula yang dicadangkan tidak lama lagi.
3. Namun begitu, muncul suara-suara yang mengatakan jika menguntungkan BN, kenapa MCA dan PGRM juga membantah? MCA membantah persempadanan semula yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan akan mengemukakan cadangan balas kepada agensi itu, kata presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau berkata, cadangan SPR itu telah menjejaskan 26 daripada 40 kerusi Parlimen parti yang akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. Sambil menyifatkan kesannya dari segi peralihan pengundi, beliau berkata sembilan kerusi akan menyaksikan perubahan 10,000 pengundi, 5,000 pengundi (lapan kerusi), 3,000 pengundi (tujuh kerusi) dan 1,000 pengundi (dua kerusi).
4. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) tidak ketinggalan akan membuat bantahan berkaitan usul persempadanan semula pilihan raya di beberapa kawasan yang disifat boleh menjejaskan parti itu, termasuk di 5 kawasan pilihan raya di Selangor.
5. Sebenarnya tidak sukar untuk meramalkan kenapa parti-parti komponen BN sendiri membantah persempadanan semula oleh SPR ini selain pembangkang. Bagi parti pembangkang, persempadanan semula kali ini umpama setiap kali usaha menjaringkan gol mahu dibuat, tiang gol akan diubah dan sudah pasti tiang gol tersebut diubah untuk membolehkan lawan mereka mendapat kelebihan.
6. Namun bagi MCA dan PGRM yang merupakan parti politik berasaskan kaum Cina, umum mengetahui kemenangan mereka selama ini sebenarnya adalah atas ihsan pengundi Melayu di banyak kawasan ditandingi. Kebanyakan kawasan yang ditandingi walaupun ada yang majoritinya kaum Cina, tetapi undi penentu adalah pengundi Melayu dan India langsung tidak memberi kesan.
7. PRU10 pada tahun 1999 merupakan ‘turning point’ dalam menganalisa ‘voting pattern’ di kalangan pengundi di Malaysia khususnya di semenanjung. Dalam PRU10 ini, ia merupakan pertama kali gabungan parti pembangkang yang dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA) menentang BN di mana BA dianggotai PAS, DAP dan Parti Keadilan.
8. PAS mencapai prestasi yang amat baik dimana selain daripada mengekalkan Kelantan, Terengganu juga berjaya dirampas daripada BN. Kekuatan PAS di Parlimen bertambah dari hanya 7 kerusi pada tahun 1995 sehingga 27 kerusi, iaitu satu lonjakan hampir empat kali ganda. Pencapaian serupa juga dilaukan PAS pada peringkat negeri, kekuatannya bertambah hampir tiga kali ganda dari 33 kerusi sehingga 98 kerusi dalam pilihan raya ini. Berdasarkan keputusan ini, PAS mengambil alih kepimpinan pembangkang dalam parlimen yang dipegang oleh Lim Kit Siang dari DAP.
9. Pilihan Raya Umum 1999 tidak begitu baik untuk DAP walaupun berjaya mendapat lagi satu kerusi berbanding sembilan kerusi pada tahun 1995, kerana kedua-dua pemimpin utama mereka iaitu Lim Kit Siang dan Karpal Singh telah ditumbangkan. Nampaknya gabungan DAP dan PAS jelas telah menjejaskan DAP disebabkan kehilangan sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu.
10. PRU10 memperlihatkan BN masih berjaya mengekalkan kuasa dan masih mendapat 2/3 kerusi parlimen kerana pengundi Cina berusaha keras mengundi BN bagi mengelakkan PAS mendapat manfaat sedangkan undi Melayu merosot akibat sentimen anti-Mahathir berpunca daripada krisis pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Natijahnya juga membawa kepada kejatuhan Kerajaan Terengganu kepada pembangkang diterajui PAS akibat sokongan pengundi Melayu berpindah dari BN kepada pembangkang.
10. PRU11 BN kembali menunjukkan prestasi cemerlang dalam sejarah pilihanraya umum sejak 1978 dengan mencapai kenaikan undi popular sebanyak 63.9 dan memenangi 198 kerusi parlimen berbanding 20 kerusi gabungan parti pembangkang, dengan satu calon bebas.
11. Namun bermula PRU12, senario dokongan pengundi Cina selama ini terhadap BN berputar 360 darjah dengan menunjukkan undi mereka diberikan secara pukal kepada DAP dan parti pembangkang lain sehingga BN dalam sejarah kehilangan majoriti 2/3 di parlimen dan hanya bernasib baik apabila pengundi Melayu kembali menyokong BN. Situasi ini mengheret PM ketika itu untuk meletak jawatan dan diganti dengan Najib Razak. Peralihan sokongan undi Cina terhadap BN dalam pilihanraya ini kemudiannya disebut sebagai Tsunami Cina.
12. Keadaan bertambah parah walaupun kerusi PM berganti dalam PRU13 apabila keputusan PRU13 adalah lebih buruk berbanding PRU12 dan jelas pengundi Cina memberi isyarat jelas menolak BN dan kepimpinannya khususnya UMNO.
13. Keadaan inilah menjadi titik tolak perkiraan dan percaturan politik UMNO dan pemimpinnya demi survival masing-masing bimbang akan tersungkur dalam PRU14 nanti. Daripada voting pattern sedia ada jelas pengundi Cina masih gagal dipujuk untuk kembali menyokong BN apatah lagi UMNO. MCA dan PGRM hanya sekadar manjadi melukut di tepi gantang kepada UMNO ada tak menambah tak ada pun tak berkurang.
14. Dalam membuat taksiran peluang kemenangan, biasanya banyak pihak melakukannya samada parti-parti politik mahupun agensi-agensi tertentu. Asas taksiran tersebut sama seperti membuat penyelidikan dalam bidang akademik di mana ketepatan taksiran bergantung kepada narasumber dan juga kaedah yang dilakukan oleh penyelidik. Sekiranya dapatan kajian diperolehi daripada penyelidik yang tidak jujur maka taksiran itu nanti sukar untuk mendapat ketepatan.
15. Oleh kerana itulah muncul pelbagai istilah untuk menentukan bagaimana untuk merencana strategi peluang kemenangan oleh parti-parti bertanding dengan memecahkan kategori kawasan kepada menang besar (putih), menang tipis (kelabu putih), kalah tipis (kelabu hitam) dan kalah teruk (hitam). Dari sinilah pihak-pihak yang akan bertanding akan membuat penilaian bagaimana merencanakan strategi dan taktik untuk mendapatkan undi kemenangan.
16. Dari sinilah dipercayai munculnya idea-idea termasuk persempadanan semula kini menjadi tempikan pihak-pihak yang merasa akan menerima padah akibat persempadanan semula sekiranya dilaksanakan nanti. Melihat kepada pola pengundian beberapa pilihanraya umum lalu, undi Melayu termasuk yang mengundi awal amat penting sebagai ‘fixed deposit’ mereka yang mempunyai kesaktian untuk mencorakkan kemenangan nanti.
17. Daripada data PRU13, ia menunjukkan jumlah pengundi Cina yang mengundi BN hanya dalam lingkungan 10.3% dan jika undi Melayu tidak digunakan sepenuhnya, BN sudah pasti berada dalam keadaan bahaya.
18. Perkiraan mudah jika mengambil contoh DUN Indera Kayangan di Perlis sebagai sampel. Peratus pengundi Melayu 4.68% (3805), Cina 49.85% (4246), India 3.92% (334) dan lain-lain 1.55% (132). Jika pengundi Cina seramai 4246 itu 10.3% mengundi BN bermakna BN hanya mendapat 437 undi sedangkan PR mendapat 3809.
19. Sementara undi Melayu yang berpecah kepada PAS, PKR dan UMNO bagaimana? Jika UMNO berjaya menarik 80% pun daripada undi Melayu bermakna BN hanya akan dapat 3044 undi Melayu dan PR 761. Undi Cina 3809 dan 761 Melayu menjadikan PR akan beroleh 4570 dan BN hanya akan mendapat 437 undi Cina dan 3044 undi Melayu menjadikannya 3481.
20. Apakah situasi ini tidak membimbangkan BN dan UMNO? Dengan itu, untuk menentukan kawasan hitam kekal hitam dan kawasan kelabu hitam menjadi kelabu putih serta kawasan kelabu putih menjadi putih, usaha akan dibuat untuk menentukan keberadaan pengundi Melayu di kawasan tersebut. Inilah yang menjadi igauan ngeri MCA yang akan bertanding di kawasan itu di mana selama ini bergantung nafas kepada pengundi Melayu. Sekiranya dipindahkan pengundi Melayu dari situ, sama seperti sudah jatuh ditimpa tangga.
21. Ianya cukup jelas dan bukan sesuatu yang menghairankan untuk MCA dan PGRM membantah persempadanan semula kali ini yang dilihat menggali kubur ‘in advance’ kepada mereka oleh UMNO. Banyak lagi kawasan seumpama ini di semenanjung dan pastinya jika berlaku persempadanan semula seperti yang diramalkan akan memberi kesan negatif kepada MCA dan PGRM. Tidak ada yang perlu dihairankan dengan bantahan yang dibuat itu dan sama-sama kita tontoni episod drama seterusnya.
22. MCA dan PGRM kini dilihat hanya mempunyai dua pilihan dalam PRU14 nanti jika berhasrat kekal relevan samada keluar BN dan menjadi komponen pembangkang atau ahli-ahli keluar parti menyertai parti-parti seperti PPBM sebagai ahli bersekutu, PKR dan DAP.
23. UMNO kini bukan lagi rakan komponen yang jujur dan ikhlas dalam bersahabat dengan MCA dan PGRM kerana jelas jika persempadanan semula ini berjaya dikotakan, kedua-dua parti ini akan menerima padah yang cukup parah setelah PRU13 telah memberi parut yang cukup pedih.
24. Dengan ketiadaan isu-isu besar seperti GST, 1MDB dan TPPA pun MCA dan PGRM sudah menjadi badut sarkas jika melihat kepada keputusan PRU12 dan PRU13, inikan pula dengan kesemua isu yang amat merangsang kebencian rakyat dan ditambah dengan persempadanan semula kali ini, ada baiknya MCA dan PGRM menempah keranda lebih awal.
MIKIR!
Comments
Post a Comment