MATLAMAT MENGHARAMKAN CARA


Penganut fahaman Machiavelli agaknya tersentak melihat judul artikel ini kerana menurut Niccolo Machiavelli penulis buku tersohor ‘The Prince’ pada abad ke-16, kalimat beliau yang sering diulang-ulang oleh politisi sejak dulu berbunyi 'matlamat menghalalkan cara'. 

2. Saya memilih judul ini lantaran begitu ramai yang begitu asyik mengulangi kalimat 'matlamat menghalalkan cara' tanpa membahaskan secara jelas apakah semua matlamat menghalalkan cara atau sebaliknya diharamkan cara yang bukan saja haram dari sudut agama, malah merugikan bangsa, seluruh rakyat dan juga negara. 

3. Kemelut terbaru yang sedang membelit kaki dan leher pejuang-pejuang keadilan dan kebenaran untuk sama-sama menyingkirkan pemimpin-pemimpin korup serta parti yang sudah luntur integritinya di negara ini dalam PRU14 akan datang nampaknya mencuit saya untuk menulis sedikit pencerahan agar tidak terperangkap dengan permainan licik musuh-musuh yang sudah mula gentar. Mereka tanpa segan silu menggunakan apa juga cara termasuk apparatus-apparatus yang menyusup masuk ke dalam selimut pembangkang untuk menghancurkannya dari dalam.

4. Semakin hari semakin goyah UMNO dan pemimpin-pemimpinnya dan paling membimbangkan mereka adalah detik Tun Dr Mahathir Mohamad tampil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menunjukkan sokongan kepada bekas timbalan beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memfailkan saman menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016. Detik ini telah menjadi igauan paling menakutkan pemimpin dan parti pemerintah kerana ia merupakan simbol penyatuan rakyat dan kesungguhan yang memuncak oleh rakyat untuk menumbangkan mereka dalam PRU14 nanti. 

5.  UMNO dan pemimpin-pemimpin kini tidak lagi mampu untuk bergantung harap kepada KEKUATAN parti yang diterajui mereka. Oleh yang demikian, satu-satunya jalan untuk terus kekal berkuasa adalah dengan bergantung harap kepada KELEMAHAN parti lawan. Mereka cukup arif dengan kelemahan parti lawan iaitu kemampuan untuk bersatu secara 'solid' bagi berdepan mereka dan kini umpan paling ampuh untuk dicampakkan kepada parti lawan adalah dengan memecahbelahkan kesatuan pakatan pembangkang yang semakin utuh. 

6.  Apakah isu yang boleh memecahbelahkan kesatuan parti lawan paling ampuh ketika ini jika bukannya usaha berbaik-baik antara Tun Mahathir dengan bekas timbalannya itu? Maka diperkudakan isu itu dengan matlamat jangan sesekali mereka berdamai kerana perdamaian kedua-dua ikon pemimpin hebat itu bererti hayat UMNO dan kerusi empuk pemimpin-pemimpinnya semakin singkat. 

7. Maka bermulalah episod membangkitkan semula kononnya kezaliman dan penganiayaan dilakukan Tun Dr Mahathir (TDM) terhadap DS Anwar Ibrahim (DSAI) sebaik beliau dipecat. Tuduhan dan segala kecaman terhadap DSAI yang dulunya datang dari mereka kini digunakan untuk mengheret TDM ke penjuru gelanggang dan membelasahnya sekuat mungkin bahawa TDM lah yang menganiaya DSAI. 

8.  Anak-anak DSAI diserbu dengan pelbagai soalan bagi mendapatkan jawapan yang mereka kehendaki dengan helah dan 'leading question' bagi meretak dan menghancurkan salam persahabatan dan perdamaian yang mula berputik. Jawapan Nurul Izzah yang lain walaupun lebih segar dan penting langsung sudah tidak penting kerana apa yang mereka mahu adalah jawapan yang menunjukkan anak-anak DSAI mahu TDM 'meminta maaf'.

9.  Apakah terlalu sulit untuk difikirkan kenapa kini tiba-tiba saja muncul soal mohon maaf dan DSAI teraniaya sedangkan sebelum TDM mendekati DSAI tidak langsung kedengaran soal-soal ini? Sebelum ini merekalah yang saban hari heboh menghentam DSAI dengan dikaitkan pelbagai skandal memalukan. Kerja membaling batu sembunyi tangan ini sudah lama berlaku tetapi setiap kali itulah juga pakatan pembangkang memakan umpan yang dicampakkan ke dalam tenggorok mereka. 

10. Agent provocateur sentiasa mengintai peluang untuk melakukan provokasi tetapi samada berjaya atau sebaliknya hanya kita yang menentukannya. Kini jelas pembangkang sedang berbalah sesama sendiri antara penyokong DSAI dan TDM hanya disebabkan isu 'minta maaf' sedangkan apakah meminta maaf itu lebih penting dari tumbangnya UMNO dan BN? 

11.  Disebabkan itulah sejak awal tadi saya mengatakan matlamat mengharamkan cara kerana untuk mencapat matlamat menggantikan UMNO dan BN dalam PRU14 akan datang, adalah haram berbalah sesama sendiri apatah lagi isu remeh sebegini. Dengan berbalah sesama sendiri di media sosial samada di facebook mahupun twitter, demi menegakkan prinsip masing-masing, kita tidak terlepas daripada membogelkan antara satu sama lain dan ia menjadi senjata untuk dikembalikan kepada kita. Jangan sampai menang sorak kampung tergadai kerana Pak Kadok sebelum mati sudah berpesan, "ikut hati mati, ikut rasa binasa dan ikut nafsu sudah tentu lesu". 

12.  Teringat saya kisah betapa pentingnya matlamat dalam menentukan kita berjaya dalam sesuatu usaha. Seorang lelaki yang sudah hampir bersara berkata kepada temannya yang juga akan bersara tempoh terdekat, "jika aku bersara nanti, akan aku tulis sebuah buku yang melucukan untuk menggembirakan semua orang. Aku harap kamu dapat membantu aku nanti". Sebaik bersara, mereka berdua berusaha mengumpul semua kisah-kisah lucu di dalam akhbar dan majalah untuk dibukukan. Memandangkan lelaki ini mahu buku itu disiapkan segera, beliau menambah beberapa orang pekerja sambilan untuk tujuan itu. Apabila tarikh akhir menyiapkan buku semakin dekat, beliau menjadi resah dan bimbang hingga setiap hari dipenuhi dengan maki hamun dan kecam-mengecam terhadap pekerja-pekerja dan temannya sendiri. Akhirnya, lelah dengan keadaan itu, temannya bertanya kepada lelaki itu, "bukankah matlamat kamu dulu sebaik bersara kamu mahu menggembirakan semua orang?" Lelaki itu menjawab, " ya! benar!". Kata temannya, "tetapi sekarang kamu bukan menggembirakan semua orang tetapi menyebabkan semua orang sedih dan tertekan dengan perbuatan kamu. Mana matlamat yang kamu tetapkan dulu?" Dengan kata-kata temannya itu barulah lelaki itu terfikir bahawa matlamat lebih penting dalam setiap usaha jika tidak mahu tersasar.

13. Begitu jugalah dengan pakatan pembangkang ketika ini. Mereka harus fokus kepada matlamat dan mengenepikan isu-isu yang menjadi punca perbalahan dan perseteruan sesama sendiri kerana itu bukan matlamat mereka tetapi matlamat UMNO dan BN. Matlamat mengharamkan cara ini kerana ianya amat merbahaya kepada matlamat bukan saja perjuangan pakatan pembangkang, tetapi juga harapan seluruh rakyat yang disandarkan kepada mereka. 

SELAMAT HARI MALAYSIA

BERSATU BERSATU BERSATU 

Comments

Popular Posts