PANDANG BALIK


Sebentar tadi saya sempat membelek-belek buku lama yang dibeli di Chowrasta Penang buku pada 12/2/2014. Buku ini merupakan rencana-rencana ditulis Tunku di dalam akhbar The Star. Buku diterbitkan pada tahun 1980 oleh Heinemann Educational Books (Asia) Ltd Kuala Lumpur.

Habit buruk saya adalah membaca buku tanpa berterusan dengan melompat dari bab ke bab itu dan ini mengikut minat saya. Namun sekurang-kurangnya dapat juga bahan menarik untuk saya dan mereka yang ada luang untuk berkongsi dengan saya.

Membaca bab 9 'Nasib Malang Pemimpin-Pemimpin Perikatan di Zaman Penjajah buat saya merasa pilu dengan melihat apa yang berlaku sekarang dalam negara tercinta.

Dalam para 9 bab ini, Tunku merakamkan bagaimana kaum ibu UMNO yang bekerja tanpa mengira siang malam, cuaca ataupun keselesaan diri ketika berkempen dalam pilihanraya persekutuan Tanah Melayu yang pertama. Dalam kempen pilihanraya itu mereka tahan caci maki dan ancaman oleh mereka yang menentang perikatan. Mereka seringkali tidak peduli makan minum dan penat lelah.

Begitu juga dengan kaum bapa dan pemuda UMNO yang begitu berdedikasi dan bersemangat terhadap tugas berkempen tanpa mengharapkan ganjaran melainkan untuk kemenangan perikatan demi kemerdekaan negara.

Lebih menarik adalah ketiga-tiga buah parti perikatan UMNO, MCA dan MIC berkempen bersungguh-sungguh untuk menang pilihanraya pertama ini dan mereka lakukan secara bersama untuk memastikan perikatan menang. Sekarang, apakah UMNO, MCA, PGRM dan MIC bergerak secara bersama dalam kempen pilihanraya untuk memastikan BN menang? MCA dan MIC dan PGRM sekadar menjadi penumpang dan yang pasti menunggu habuan menjadi menteri dan berbagai lagi keistimewaan setelah BN menubuhkan kerajaan.

Di dalam para 13, Tunku menggambarkan bagaimana peranan guru-guru ketika itu menyokong perikatan. "Merekalah yang menjadi perintis kempen kami di kawasan-kawasan yang paling terpencil. Jadi mereka merasa lega sekali apabila Perikatan menang kerana jika Perikatan kalah maka mereka sedar bahawa mereka akan menjadi mangsa" tulis Tunku.

Apakah sekarang guru-guru sanggup untuk lakukan semua itu untuk BN? Jelas sekali tidak. Kenapa? Kerana UMNO sekarang bukan lagi memperjuangkan kepentingan rakyat dan untuk bangsa, agama dan negara. UMNO hanya perjuangkan kepentingan elitis, bangsawan dan mereka yang di tampuk kuasa. Parti ini hanya perjuangkan kepentingan diri, suku-sakat dan perebutan jawatan, harta dan kuasa.

UMNO amat jauh tersasar dan amat sukar berpatah balik ke pangkal jalan. Ranjau dan onak yang dirintis pemimpin dahulu dengan mudah diratah malah dikhianati perjuangan mereka oleh mereka yang kini berkuasa. Alangkah malang nasib rakyat yang bukan saja dikhianati, malah sisa perjuangan pejuang-pejuang dahulu sedang rakus dipadam dari lipatan sejarah.

Salam Kemerdekaan

Comments

Popular Posts