GOLOK LAMA ULU BARU
Saya melihat UMNO kini sudah seperti golok yang bukan lagi golok kerana yang tinggal hanya ulu tanpa mata. Mata golok lama milik UMNO kini sudah tercabut dan dipasang ulu baru iaitu PPBM. Mata golok itu walaupun sudah lama tetapi cukup tajam kerana sering diasah sejak lama dan dengan ulu baru yang kukuh dan kemas gandingan orang lama dan baharu, golok lama ulu baru ini dilihat mampu mencincang musuh-musuh mereka hingga percikan darahnya lebih merah dari logo PPBM itu sendiri.
Mata golok itu tajam dan berbisa kerana di dalam mata golok itulah adanya Tun Mahathir, TS Muhyiddin dan DS Mukhriz yang sekian lama sudah terbukti berjaya mencincang musuh-musuh mereka dan mempertahankan prinsip perjuangan mereka. Seperti kata pegawai keselamatan Tun Mahathir sendiri, orang luar ada yang tidak kenal Malaysia tetapi kenal Tun Mahathir membuktikan betapa berbisanya mata golok yang kini berulukan PPBM. Itu jugalah alasannya mungkin menjadi punca begitu ramai pemimpin UMNO menghentam PPBM walaupun sebelum ini diperlekehkan. Jika lekeh kenapa bimbang?
Sementara UMNO kini menjadi satu-satunya golok yang hanya tinggal ulu tanpa mata menetak sana sini akhirnya ulu yang pecah kerana yang ditetaknya keras dan tajam sedangkan dia sendiri hanyalah kayu jenis pauh kijang bermutu rendah , retak permukaan mudah diserang serangga dan cendawan.
Biarlah orang mencemuh golok lama ulu baru terhadap PPBM daripada menjadi golok yang tidak bermata terkontang-kanting gah sana-sini dengan ulunya seperti UMNO. Rakyat memang kenal ulu golok UMNO tetapi apabila matanya sudah tercabut, ulu itu jika tidak dicampakpun, hanya sekadar layaknya dalam gerobok buruk candi di Lembah Bujang, Merbuk, Kedah.
Semoga golok lama ulu baru ini akan bersama digembeling bersama pakatan pembangkang lain menongkah terjahan manja UMNO/BN dalam PRU14 nanti. Harapan rakyat yang begitu tinggi digalas oleh mereka untuk membawa kepada wajah politik baru yang diimpikan seluruh rakyat dengan agenda ketelusan dan azam yang utuh memerangi rasuah dan penyelewengan yang kian membarah.
BERSATU BERSATU BERSATU
Comments
Post a Comment