TUHAN TAK PERLU DIBELA

Salam,

1.    Membaca buku berjudul ‘Tuhan Tak Perlu Dibela’ hasil karya Gus Dur @ Abdurrahman Wahid Mantan Presiden Indonesia ini menyebabkan saya tersandar pada dinding koridor politik tanahair yang kian rencam dan penuh kecelaruan berbaur rempah-ratus kerakusan kuasa. Buku ini yang menjadi himpunan kolum-kolum Gus Dur dalam Majalah Tempo lama, pada sekitar 1970-an dan 1980-an. Kolom-kolom tersebut amat mengesankan serta cukup kuat akan suatu kekuatiran terjadinya perselingkuhan agama dengan sebuah kepentingan politik kelompok tertentu yang mengatasnamakan agama, atau bahkan Tuhan sehingga akhirnya melahirkan suasana politik kekerasan atau kekerasan politik dengan dalih agama.

2.   Yang lebih penting, judul buku Gus Dur ini secara lurus diterjemahkan sudah cukup untuk menunjukkan betapa seharusnya apa yang patut berlaku dalam kehidupan manusia di muka bumi ini adalah membela kaum kecil bukan yang besar. Tuhan tidak perlu dibela bukan kerana manusia tidak sayang dan kasih pada Tuhan, tetapi keMahaEsaan Tuhan itu sudah cukup membuat Tuhan tidak memerlukan pembelaan. Yang memerlukan pembelaan adalah yang orang-orang kecil yang tidak punya kuasa dan harta. Bagi yang kaya, dan berkuasa apa perlunya mereka dibela?

3.   Mengambil iktibar dari kisah Datuk Abdul Hamid Bador Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu yang ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri, beliau berkata ada sesuatu yang pelik berlaku terhadap pertukaran beliau itu. Ujarnya, walaupun beliau diminta untuk ditukarkan ke JPM namun katanya semakan beliau ke atas JPM dan‎ Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) jawatan ke JPM itu belum wujud. Selepas keluarnya arahan pertukaran tersebut, banyak perkara yang sememangnya sudah terpahat dalam fikiran rakyat ketika ini didedahkan oleh Datuk Abdul Hamid Bador termasuk menyifatkan tindakan menahan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai perbuatan jijik dan hina dan tindakan itu dilihat sebagai tidak wujudnya semangat undang-undang
. Tambah Datuk Hamid Bador lagi, baru-baru ini keluar perintah ditamatkan perkhidmatan kontrak Datuk Seri Akhil Bulat dengan digantikan Datuk Seri Fuzi Harun tanpa gagal dengan perkataan serta merta. “Apa maksudnya?” soal Datuk Hamid Bador? Datuk Seri Akhil Bulat sedang bercuti dan telahpun meluahkan hasrat untuk tidak disambung kontraknya. Mengapa orang sedang bercuti dan berjasa selama 40 tahun dalam kerajaan ditamatkan kontrak dalam keadaan begitu? Tidak dibenarkan balik ke pejabat yang masih bersisa dua minggu untuk mengemas pejabat dan menyerahkan jawatannya. Malah didakwa dalam ketiadaan Datuk Seri Akhil Bulat , Datuk Seri Fuzi Harun telah dinamakanlah memangku tugas sebagai Pengarah Cawangan Khas dan bukan melantik sebagai Pengarah Cawangan Khas. Katanya, “So fikir. Patutkah Datuk Seri Akhil dilayan begitu?”

4.    Mungkin ramai yang sudah mengulas isu ini dengan panjang lebar tetapi bagi saya, fokus tulisan kali ini jauh lebih penting daripada apa yang berlaku kepada Bekas Pengarah dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini. Bagi saya, apa yang berlaku kepada beliau adalah secebis daripada kisah perjalanan yang panjang oleh kakitangan awam khususnya pegawai-pegawai penguatkuasa yang sudah lama menjadi korban kerakusan kuasa. Ia seolah-olah mengesahkan apa yang disebut sebelum ini oleh Tan Sri Musa Hassan yang mendakwa menteri kabinet dan ahli politik sering cuba campur tangan dalam siasatan polis dan membuat penahanan semasa beliau berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara dan mendakwa ia masih berlanjutan.

5.     Pernahkah kita terfikir, mendengar dan melihat pegawai-pegawai yang cuba melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah menjadi mangsa kepada kerakusan kuasa serta keangkuhan pihak yang punya kesaktian hingga pegawai-pegawai terpaksa menurut perintah dan tidak kurang yang memilih untuk mencari pintu keluar daripada terus menjadi korban pemangsa yang tidak akan terhenti di situ?Organisasi seakan-akan menjadi gedung mencetak fitnah dan kezaliman apabila perlumbaan mengejar pangkat dan jawatan serta parasit-parasit berpesta sepuas-puasnya kerana kubang dan sarang mereka bukannya diracun malah ditambah bahan stimulasi membiak parasit-parasit ini. Tidak cukup dengan campurtangan pihak atasan dalam organisasi, digunakan institusi-institusi bertaraf dewa-dewa untuk menganiaya pegawai-pegawai yang bukan spesis SYMP (Saya Yang Menurut Perintah). SYMP bagus dan perlu tetapi menjadi tidak bagus jika hal-hal peribadi dan tuntutan pihak halimunan seperti dakwa Datuk Abdul Hamid Bador itu. Jika tentera buat lah kerja tentera, polis buat kerja polis, guru kerja guru dan begitu juga dengan lain-lainnya. Hal-hal selain tugas hakiki pegawai itu jangan dijadikan ‘kemestian’ yang tidak boleh tidak harus disembah walaupun bukan saja tidak mendapat pahala malah adanya unsur-unsur dosa. Nak menari jadilah penari bukan kerja pasukan keselamatan contohnya. Nak membekal bekalan kepada pihak-pihak tertentu jadilah pembekal bukan bidang tugas pihak keselamatan. Apa juga aktiviti sosial yang menjadi kegemaran ‘halimunan’ tidak salah tetapi yang salahnya jika menjadi wajib hingga sudah dianggap wahyu yang tidak boleh dibantah.

6.     Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas ini turut berkias dengan analogi Si Kitol dan raja Mendeliar dalam kemelut yang melanda beliau itu dan rakyat memang percaya dan yakin bahawa sudah lama wujudnya makhluk perosak sedemikian bukan saja di luar PDRM, malah di dalam PDRM sendiri mati seorang Si Kitol dan Raja Mendeliar, lahir berpuluh-puluh lagi Si Kitol dan raja Mendeliar baru untuk menambahkan lagi kerosakan dalam organisasi. Kemunculan Si Kitol dan Raja Mendeliar bukan baru dan mungkin hanya disedari apabila ia merengkuh diri kita sendiri. Karma bukan Imam Mahadi yang memburu Dajjal tetapi sifatnya sama iaitu memburu kebenaran tanpa mengira siapa kamu dan di mana kamu berada. Ribut dan taufan bukan lawannya karma kerana karma tidak pernah gentar dan bimbang apa sekalipun yang mencabarnya. Manusia hanya akan merasa pedihnya penghinaan apabila hidungnya cukup besar untuk jatuhnya musibah diatas batang hidung sendiri.

7.      Budaya mengukur penganiayaan berdasarkan kedudukan seseorang manusia itu dari segi pangkat, harta dan jawatan perlu dicampak jauh-jauh mulai saat ini. Kita hanya menganggap sesuatu yang berlaku itu penganiayaan dan penghinaan jika yang menjadi mangsa itu Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Pengarah Operasi SPRM, Timbalan pengarah Cawangan Khas, Timbalan Pendakwa Raya dan semua yang bertaraf VVIP. Bagaimana dengan yang di bawah dan orang-orang kecil? Sepatutnya yang harus dibela bukan Tuhan, bukan Menteri, bukan Pengarah dan Timbalan Pengarah, tetapi yang di bawah yang langsung tidak punya ruang untuk membela diri. Fitnah mudah ditabur tetapi sukar untuk dibersihkan. Sekurang-kurangnya beri ruang membela diri dengan memanggil mereka yang dianiaya itu untuk mendapat kepastian bukan hanya merasa penganiayaan itu wujud apabila kontrak ditamatkan atau pertukaran ke tempat yang kita tidak suka.

8.      Kita bersimpati kepada siapa juga yang menjadi mangsa penganiayaan dan kezaliman tanpa mengira siapa mangsanya samada yang kecil atau besar selagi namanya adalah penganiayaan. Tetapi siapa lebih malang apabila menjadi mangsa penganiayaan dan kezaliman? Yang besar atau yang kecil? Yang menjadi mangsa itu kucing atau harimau? Yang berpangkat rendah atau Pengarah dan Timbalan Pengarah? Ahli parti atau pemimpin yang jawatannya Timbalan Presiden dan Presiden? Yang kecil sejak kerja sudah tidak menikmati apa yang dinikmati yang besar, maka apabila dianiaya dan dizalimi apa lagi yang mereka ada? Yang besar dulunya sudah dilimpahi nikmat tetapi jika tercicir dilaluan emas, masih ada emas-emas lama yang sudah dikutip. Nampaknya tahap kasihan dan tanggapan penganiayaan dan kezaliman itu lebih kita sarungkan pada yang diatas sedangkan yang punya rasa kasihan itu sendiri yang di bawah kain sarung pun hanya yang koyak rabak. Teringat saya kepada kisah Gus Dur apabila beliau berkata kepada pengawal-pengawalnya yang memberitahu rumah Soeharto di baling-baling batu dan botol. Kata Gus Dur, “alah biar saja dibaling batu dan botol. Lebih-lebih cerminnya pecah aja. Kan wang korupsinya masib begitu besar untuk menggantikan cermin pecah?” Walaupun punya unsur humor di situ, tetapi terselit iktibar kepada mereka yang berfikir.

9.     Apa yang perlu dimulai dari sekarang, tidak harus wujudnya penganiayaan tidak kira serendah manapun kedudukan seseorang itu dan tinggi mana pun kedudukannya. Tidak kira seseorang itu kaya atau miskin, yang menjadi mangsa harus dibela apatah lagi yang tidak punya kuasa. Glaucon adik kandung Plato yang merupakan murid Socrates berkata “…manusia hanya akan berbuat baik dan adil dalam hidup ketika ada di hadapan orang lain. Ketika tidak ada yang melihat dirinya atau tidak ada orang lain di sekitarnya, setiap manusia akan memiliki kecenderungan untuk berbuat curang”. Inilah puncanya manusia sering menganiaya orang lain termasuk melemparkan fitnah, surat beracun atausurat layang kerana menganggap tidak ada orang yang tahu dan yang berkuasa pula luas ternganga mulut untuk mengunyah setiap dari fitnah dan tuduhan selagi kepentingan mereka tidak tergugat atau malah bertambah kuat dengan tindakan yang diambil.

10.     Setiap sesuatu yang berlaku ada hikmahnya dan mungkin hikmah di sebalik apa yang berlaku ini punya lohong cahaya yang terang benderang di hadapan untuk seluruh rakyat negara ini daripada terus menjadi mangsa orang-orang politik yang berselindung di sebalik tiang kekuasaan atas nama apapun. Marilah sama-sama kita menjadi rakyat yang “berperibadi kuat umpama besi waja semakin dibakar oleh keadaan semakin dititik oleh cabaran hidup semakin teguh dan waja untuk menhadapi hidup. Jauhilah kita daripada berperibadi lemah laksana tanah apabila diketuk oleh cabaran hidup ia akan berkecai”. Ingatlah bahawa, “Keagungan peribadi anda terletak pada kesedian anda untuk memberi bila beruntung, untuk memimpin bila berilmu dan untuk membela bila kuat.

Wallahualam.









,


Comments

Popular Posts