Nilai Sebenar

Salam,

1.   Nilai sesuatu benda itu bukan terletak pada harga dan bentuknya. Namun terletak pada kepentingannya kepada kita. Ya! Apalah sangat nilai sebatang paku buat kita melainkan pada tukang kayu dan tukang rumah. Namun, ia akan jadi cukup berharga dan bernilai jika ia memberi kesan pada kehidupan kita.

2.    Ambil contoh sebatang paku yang telah menikam tayar kereta kita ketika malam hari di jalan yang gelap dan sunyi. Malah tayar simpanan pula ketika itu tidak bersedia memberi khidmatnya pada kita. Alangkah bernilainya paku ketika itu yang telah menghancurkan seluruh kehidupan kita sekurang-kurangnya pada malam itu sehingga esok pagi. Jika silap haribulan, bermalam kita di dalam hutan atau lokasi yang menggerunkan sekali jika difikir. Detik sebegitu tidak lagi memberi erti samada tayar Michelin, Bridgestone atau Good year. Yang penting kita dapat pulang dengan selamat.

3.    Paku juga mungkin menjadi igauan ngeri kepada kita jika ada makhluk jahat yang tidak menghargai betapa kita amat sayang pada kereta kita tetapi dengan mudah dan tidak wujud rasa kemanusiaan merenggut kegembiraan hidup kita berhari-hari malah berminggu-mingu selagi tidak dihantar ke bengkel ketuk dan cat kereta. Puncanya mungkin tidak memberi wang parkir kepada penjaga parkir haram di merata tempat sekarang yang menjadi buruan golongan ini. Itu belum dikira jumlah wang yang harus dibayar akibat kesan calar bencana paku yang digores ke kereta kesayangan kita.

4.    Nampaknya, nilai sesuatu benda itu ternyata tidak terletak pada harga, saiz, bentuk atau apa saja fizikalnya kerana ia akan jadi bernilai apabila ia samada benar-benar menyusah atau menyamankan hidup kita.

5.   Oleh itu jangan pandang remeh sesuatu yang mungkin kecil pada pandangan mata tetapi besar jika ia bawa bencana.

Wallahualam

Comments

Popular Posts