Pak Turut


Salam,

1.   Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) ketika berucap di Pagoh semalam menyebut bahawa beliau bukan 'Yes Man' dan hari ini Najib Razak menafikan beliau hanya mahukan pak turut sebagai pengikutnya ketika berucap di majlis Mesyuarat Umno Cheras hari ini. Siapa benar siapa salah hanya peristiwa membuktikan sebaliknya. Sejarah tidak pernah berbohong kerana hanya manusia yang berbohong tentang sejarah.

2.    Dunia hari ini tidak memerlukan bukti untuk menghukum siapa benar siapa salah kerana 'perang persepsi' membuktikan ia lebih punya autoriti menentukan kebenaran atau kesalahan. Rakyat lebih percaya akan persepsi yang telah dibina oleh tangan-tangan manusia sendiri. Jangan salahkan rakyat jika kamu dihukum di mahkamah terbuka bahawa kamu bersalah walaupun kamu betul kerana peperangan persepsi ini dicipta oleh kamu-kamu yang menumpuk kuasa sejak sekian lama. Dengan penumpukan kuasa itu jugalah kamu menumpuk kekayaan untuk membeli sokongan dan akhirnya sokongan yang dibeli menelan kamu hidup-hidup apabila ianya tidak lebih daripada sokongan sintetik atau plastik.

3.     Kepercayaan mudah dirobek tetapi amat sukar dibina. Sekali terkelepek jutaan kali untuk kamu menempek dan mengembek bagi meraihnya kembali. Hukum alam dan hukum karma tidak pernah bosan memburu kebenaran tidak seperti manusia yang mudah lelah. Hukum karma dan hukum alam tidak sesekali gagal mencari pengkhianat dan penzalim kerana cahaya yang datang bersamanya tidak pernah padam.

4.    Pak Turut atau 'yes man' itu sama saja fungsinya tetapi tergantung siapa yang berkata. Kamu bilang kamu tidak mahu pak turut tetapi kamu tidak pernah jemu diurut-urut. Kamu bilang kamu itu bisa bertengkar dan disanggah asal tidak terbuka sedang kamu tidak pernah sesekali menghormati pandangan dibuat secara tertutup. Lalu harus bagaimana?

5.     Bagaimana rakyat akan percaya kata-kata kamu jika isu-isu belum selesai tidak menampakkan usaha menyelesai? Malah ia dilihat semakin bertambah kusut masai lantaran kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan yang panjang bulu hidung dari misai. Pemimpin tidak harus memaksa sokongan dan penghormatan kerana ianya datang tanpa dibeli atau dipaksa. Tambahan pula ketika berpesta kita berseorangan dan juga kelompok yang sama tetapi detik berduka kita harapkan seluruh ahli parti dan rakyat membela. Pemimpin itu pelayan rakyat bukan tetamu yang harus dijulang-julang dan dimanja-manja. 'Yes Man' atau Pak Turut tidak bersalah jika kena pada tempatnya seperti kata Naib Presiden UMNO Shafie Apdal yang dipecat daripada jawatan menteri dalam rombakan baru-baru ini. Tidak salah untuk berkata 'yes' pada tempat yang seharusnya 'yes' dan sudah pasti salah untuk berkata 'no' di tempat yang sepatutnya 'yes'. Apa jadi dengan pegawai-pegawai yang menyiasat isu skandal 1MDB yang berkata 'no'? Jawapannya ada pada kamu sendiri.

6.    Tidak perlulah dirumitkan isu 'yes man' dan Pak Turut hanya untuk membuktikan diri kita benar dan orang lain salah kerana salah atau benar itu tidak sesukar mendedahkan siapa penderma RM2.6B ke dalam akaun peribadi kamu. Betapa mudahnya salah atau benar itu dikatahui hanya umpama hari akan siang walaupun tanpa ayam jantan berkokok. Isu 'yes man' dan Pak Turut tidak perlu dibuktikan dengan penafian tetapi dibuktikan dengan tindakan wahai pemimpin. Semua orang tahu pak turut itu di mana-mana saja sementelah dalam kancah politik.

7.    Oleh itu, saya dengan rela dan rendah hati menawarkan diri untuk menjadi 'yes man' untuk berkata kamu sudah melewati waktu yang sepatutnya di mana kamu berada. 'Yes Man', your time is up!

Wallahualam

Comments

Popular Posts