RAKYAT RINDUI PERUBAHAN
Salam,
1. Dunia menjadi semakin sulit untuk didepani oleh sekelian manusia walaupun jika direnung dari hati yang jujur dan ikhlas amat mudah dilakukan. Bayangkan hanya untuk berkata 'ya' atau 'tidak' mengambil masa berbulan-bulan untuk dijawab. Malah lebih melucukan lagi apabila hanya untuk mengaku benar atau tidak wang dimasukkan ke dalam akaun seseorang memerlukan satu pasukan petugas khas diwujudkan dan sehingga kini pasukan petugas khas masih teraba-raba mencari jawapan kepada persoalan yang begitu mudah.
2. Untuk berkata benar tidak memerlukan seseorang bergelar pahlawan. Tetapi untuk sentiasa menghindari daripada berkata benar amat memerlukan seorang bacul melakukannya. Hanya dengan menjelaskan apakah benar atau tidak wang sudah dimasukkan ke dalam akaun sendiri tidak memerlukan sekumpulan pakar penyiasat untuk melakukannya kerana tuan punya diri sudah pasti mengetahui berapa baki jumlah wang yang ada di dalam akaun sendiri. Kecualilah jika seseorang itu mempunyai ribuan akaun dan bertrilion ringgit di dalam akaun-akaun beliau sehingga menjadikan dirinya dibelenggu kekeliruan.
3. Tidak guna membeli dan memakai jam yang mahal-mahal jika kita tidak pandai menguruskan masa dengan tepat dan cenderung menunda dan terus menunda. Kebenaran yang tertunda adalah penipuan di atas penipuan. Di dalam situasi mendesak seperti sekarang di mana rakyat amat mengharapkan semua masalah yang membelenggu negara diselesai secepat mungkin harus ada kata penentu bila ianya akan berakhir. Kesamaran beginilah yang akan terus menjerut ekonomi negara hingga tidak mampu bernafas kerana dunia luar akan hilang keyakinan terhadap kemampuan kita menguruskan ekonomi negara.
4. Rakyat sudah bosan dengan lakonan dan pertelingkahan politik berpanjangan. Memakmur dan memajukan negara resipinya bukan pertelingkahan politik tetapi tindakan nyata yang dapat menyelesaikan semua masalah yang ada. Tidak kira samada kamu pemerintah atau pembangkang harus ada mekanisma bagaimana beban yang ditanggung negara dan rakyat dapat diatasi.
5. Jangan dijadikan perkara yang tidak mendesak itu sebagai mendesak seperti janji-janji dan retorik tentang pelaburan yang akan masuk ke negara ini padahal sebenarnya pelaburan itu mungkin masih berada di perut bumi atau dasar lautan. Jika penubuhan pasukan petugas khas serta Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sudah tidak mampu melaksanakan tugas mereka, ada baiknya angkat bendera putih dan mengakulah kepada rakyat bahawa kamu semua memang tidak boleh diharap.
6. Kadangkala kita merasa malu melihat bagaimana bersusah-payahnya manusia menunggu kemunculan gajet-gajet terbaru seperti kemunculan Iphone 6 dengan beratur panjang sejak malam berbanding menunggu perkara yang jauh lebih penting. Hasil siasatan ke atas isu besar seperti 1MDB dan bukti wang masuk ke dalam akaun seseorang di mana impaknya amat besar bukan saja dari sudut integriti, moral dan kewibawaan pemimpin, malah jika tidak diselesaikan segera, kepercayaan negara luar kepada Malaysia akan terus menjunam. Kejatuhan nilai ringgit sebenarnya banyak berpunca daripada hilangnya keyakinan pihak luar kepada negara kita berbanding berapa banyak jongkong emas yang dimiliki negara.
7. Kata Darwin, "jika lambat berubah, akan diubah oleh si cepat berubah". Maknanya di sini, kita sebagai rakyat tidak harus berlengah-lengah harus bersama-sama saki-baki pemimpin-pemimpin yang jujur dan amanah perlu mengubah persepsi luar terhadap Malaysia daripada sebuah negara yang sudah lumat dibaham amalan korupsi, kolusi dan nepotisme kepada yang progresif, dinamik dan berdaya saing.
8. Daripada pengamatan rakyat yang punya pemikiran 'probing mind', pemimpin-pemimpin yang ada jauh lebih sibuk menguruskan pertengkaran daripada membicarakan isu sebenar. Pemimpin-pemimpin yang diamanahkan membangunkan negara dilihat sedang menghancurkan negara tanpa rasa malu. Kata Prie GS dalam bukunya 'Waras Di Zaman Edan', "Malu adalah pakaian manusia paling primier di mana kedudukannya hanya dapat dikalahkan oleh rasa lapar. Jenis lapar biasa tidak mampu mengusir malu. Jadi dalam dunia peradaban, malu adalah pakaian tertinggi. Oleh kerana itu, tinggi rendah sebuah peradaban sangat diwarnai oleh tinggi rendahnya budaya malu di dalamnya".
9. Namun, realiti yang berlaku sekarang ini apakah pemimpin-pemimpin punya rasa malu? Malukah mereka yang tampil dengan kenyataan-kenyataan tolol hingga menjadi senda-gurau serta 'trol' di sana-sini oleh rakyat? Tidak malukah pemimpin yang dicerca siang dan malam serta digesa turun dari tampuk kuasa mendabik dada masih mendapat sokongan jutaan ahli parti serta seluruh rakyat? Tidak malukah kita hanya disebabkan persoalan dibangkitkan berkaitan isu 1MDB dan kemasukan wang dalam akaun seseorang menyebabkan yang membangkitkannya hilang jawatan pemimpin nombor dua negara?
10. Ketokohan seseorang pemimpin tidak terletak di dalam gambar tetapi ada di dalam kehidupan nyata. Gambar punya sejuta makna mengikut tafsiran orang yang melihatnya. Rakyat lebih memilih pemimpin yang jujur dan berterus terang. Jika gagal akuilah dengan jiwa yang besar bahawa kamu gagal. Kegagalan membangunkan negara tidak begitu mudah ditipu dengan sekadar banyak gedung-gedung tinggi dan banyaknya pusat membeli belah. Seluruh rakyat tahu legasi siapa meninggalkan semua itu. Bagaimana mungkin semakin maju pengetahuan malah semakin mundur secara kelakuan seseorang pemimpin?
11. Rakyat semakin ke depan sedangkan pemimpin beranjak ke belakang. Kepala keretapi yang berada di belakang adalah kepala keretapi rosak yang sedang ditarik ke lokasi pembaikan. Rakyat juga sedang memikirkan betapa kejahatan hasil gabungan seluruh penyamun di dunia jauh lebih ringan daripada kejahatan penyamun yang menyamun harta rakyat. Oleh itu, mari kita seluruh rakyat segenap peringkat untuk sama-sama mendoakan agar negara dijauhkan daripada bala seperti yang menimpa Greece dan pemimpin-pemimpin yang jahat serta zalim.
12. Saat tidur, akal mengajak kita berfikir. Inilah yang mengganggu emosi dan mempengaruhi hati kita. Apalah kemampuan yang kita ada selain daripada berfikir dan berfikir?
Wallahualam
Comments
Post a Comment