Lee Chong Wei
Salam,
1. Harapan rakyat Malaysia yang menanti penuh debaran untuk melihat Datuk Lee Chong Wei (LCW) bergelar juara di pentas Final Kejohanan Dunia 2015 di Istora Senayan di Jakarta lebur setelah tewas kepada juara bertahan Chen Long dari China dan hanya berpuas hati dengan gelaran Naib Juara.
2. Walau apapun keputusannya, LCW adalah juara di hati rakyat kerana kegigihan semangat dan kental corak perjuangannya. Tanpa mengenal putus asa berbanding umurnya yang semakin senja di bidang penuh mencabar ini, beliau tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan di bidang yang sudah sebati dengan dirinya.
3. Terdahulu LCW yang sudah menjangkau umur 33 tahun telah digantung 8 bulan oleh BWF selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang dexamethasone atau disebut 'doping' ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, pada Ogos 2014. Kini beliau kembali bergaya di pentas badminton dunia untuk membuktikan kejayaan dilakarnya sebelum ini bukan disebabkan penggunaan 'doping'.
4. Saya dan ramai rakyat negara ini berbangga dengan LCW bukan kerana dia bergelar juara dunia atau kerana dia Cina saya Melayu. Tetapi sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, isu 'racism' bukan pokok yang harus dibaja dan disiram untuk menjadikannya hutan belantara penuh semak-samun malah perlu diracun sejak awal agar tidak menenggelamkan ruang yang sepatutnya wujud taman bunga untuk dinikmati seluruh rakyat.
5. Saya juga bangga dan teruja dengan jalan yang dirintis oleh LCW untuk bergelar juara. Beliau berjaya bergelar juara atas titik-peluh dan usaha gigihnya tanpa berakar salasilah ibu bapanya yang pernah menjadi sesiapa yang penting. LCW juga tidak mengharapkan 'derma' untuk berada pada kedudukan sekarang. Tajaan kepadanya juga adalah berdasarkan sumbangannya kepada jenama syarikat yang menaja dengan mengharumkan nama syarikat dan negara tidak seperti pemimpin yang hanya gigih mengutip 'derma' untuk diri sendiri tetapi mengaku untuk kepentingan negara dengan mencemar serta memalit bau busuk kepada nama negara.
6. Dalam kes 'doping' yang dihadapinya, LCW tidak menggunakan sebarang pengaruh atau campurtangan untuk mempengaruhi tiga anggota panel BWF di Amsterdam. Beliau hanya menyerahkan nasib dirinya untuk ditentukan oleh panel tersebut dan tidak juga mengharapkan 30 juta rakyat negara ini memegang sepanduk 'we love LCW' bagi membuktikan dia disayangi oleh rakyat sekaligus membuktikan dia pada keudukan tidak bersalah. Kerana apa? Selain punya moral dan prinsip 'benar tetap benar', beliau juga tidak mampu mempengaruhi atau mengarahkan panel tersebut melakukan apa yang beliau mahu ataupun menangkap kesemua ahli panel itu untuk digantikan dengan panel yang mengikut telunjuknya.
7. Gelaran juara dunia yang disandang LCW tidak dapat digulingkan oleh mana-mana orang ataupun komplot pihak-pihak tertentu melainkan dirinya sendiri membiarkan dirinya terguling di gelanggang. Jika ada yang mahu menggulingkan beliau, masuk gelanggang dan cabarlah LCW.
8. Ada yang berkata LCW berjaya bergelar juara kerana mempunyai jurulatih yang hebat-hebat. Hakikatnya jurulatih yang hebat tidak mampu membawa juara ke pentas juara jika kemahuan, semangat dan disiplin diri tidak seiring. Apa kurangnya pemimpin yang dikelilingi dengan puluhan penasihat-penasihat dan perunding-perunding berbayar dengan bayaran yang cukup tinggi tetapi gagal dimanfaatkan oleh pemimpin sendiri untuk membuktikan dirinya sebagai pemimpin hebat. Maknanya, diri sendiri menjadi penentu samada akan menjadi juara atau pencundang.
9. Setiap kali menerima kekalahan, LCW akan terus gigih berlatih untuk membaiki dirinya tanpa menyalahkan lawannya di gelanggang atau peminat serta rakyat Malaysia. Tidak sesekali LCW mengatakan Lin Dan atau Chen Long menipu atau menggunakan taktik kotor untuk menggulingkannya di gelanggang. Malah, LCW memuji kehebatan lawannya itu dengan berkata mereka bermain lebih baik daripadanya ketika berlawan atau percaturannya silap. Itulah sebabnya beliau menjadi kebanggaan rakyat yang cintakan negara bukan pemimpin yang hanya tahu menuding jari kepada lawan politik atau rakyat yang mengkritiknya. Jangan salahkan lantai tinggi rendah jika tidak tahu menari.
10. Rakyat tanpa memikirkan LCW itu Cina, India atau Melayu menyokong penuh perjuangannya dan tidak sesekali tumbuh perasaan perkauman bahawa kenapa harus menyokong LCW. Rakyat juga tidak pernah cetuskan idea untuk wujudkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Melayu bagi menyaingi BAM sediada kerana apa? Kerana tidak guna wujudkan premis Melayu atau Cina dan India jika kita penuh retorik mahu mewujudkan 'Negara Bangsa' dan integrasi kaum bagi mencapai hasrat tersebut sedangkan tidak ada keikhlasan untuk merealisasikannya setelah tidak mendapat dokongan bukan Melayu.
11. "Bangsa yang besar adalah bangsa yang menghormati jasa pahlawannya" kata Bung Karno bukan menghormati yang mengaku pahlawan tetapi sebaliknya. Tambah Bung Karno lagi, "Bangunlah suatu dunia dimana semuanya bangsa hidup dalam damai dan persaudaraan."
Wallahualam
Comments
Post a Comment