Merdeka !

Salam,

1.    Bulan kemerdekaan datang lagi walaupun tidak dibentangkan permaidani merah buatnya. Hari dan bulan tidak memerlukan manusia samada untuk dijemput atau diusir kerana itu adalah hak mutlak Maha Pencipta. Ternyata setiap tahun, kemerdekaan tanahair itu disambut selang beberapa hari selepas aku sendiri menyambut ulang tahun kelahiran yang secara simboliknya merupakan merdekanya aku dari kandungan ibu untuk memaknai kehidupan dan kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar.

2.   Apakah kita benar-benar sudah merdeka? Merdekakah kita jika masih mengikut telunjuk sesama manusia dan menjadi hamba serta diperhambakan sesuka hati oleh orang lain hanya atas nama ‘kuasa?’. Merdeka tidak harus disempitkan takrifannya hanya jika kita dapat meletakkan bangsa kita sebagai pemimpin untuk memimpin negara sedangkan rakyat secara umumnya terus dijajah oleh manusia yang meleleh air liur terjerit-jerit kata-kata merdeka sedangkan hakikatnya dialah penjajah yang menjajah rakyatnya sendiri.

3.   Topeng kemerdekaan yang dihadiahkan oleh penjajah kepada agen-agennya sebelum meninggalkan tanah jajahan terus melekat di wajah boneka mereka. Ada ketikanya agen-agen penjajah ini lebih kejam dan menindas rakyatnya sendiri berbanding penjajah termasuk dalam soal memunggah harta kekayaan hasil daripada bumi yang kita cintai ini. Kerakusan melahap harta, kuasa dan kemewahan hidup dilakukan seolah-olah rakyat dengan rela membiarkan ianya berlaku. Tanpa rasa malu dan segan mereka menjarah harta negara sesuka hati walaupun rakyat merayu dan merintih supaya penjarahan dihentikan. Pendekar dan pahlawan sudah ditutup mulut, tangan dan kaki diikat oleh boneka penjajah dengan mengatasnamakan hukum.

4.    Melaungkan kata-kata merdeka dan merdeka serta melambai-lambai bendera negara tidaklah sesukar pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu berusaha mendapatkannya dengan keringat, airmata dan darah daripada penjajah. Ratusan tahun dijajah sudah pasti tidak sedikit keringat, airmata dan darah tumpah di bumi tercinta. Tidak terkira jumlah yang rebah dan terkorban demi mendapatkan kemerdekaan tanahair untuk dinikmati oleh generasi selepas mereka. Itulah perjuangan ikhlas yang sebenar tetapi dilupakan bersama berlalunya waktu. Merekalah sebenarnya wira tak didendang yang patut dijulang dan dihargai bukan mereka yang merengek-rengek minta dibela ketika diserang akibat daripada tangan-tangan kotor mereka sendiri.

5.    Seharusnya kemerdekaan kita diisi dengan merdekanya jiwa, minda dan warganya dari apa juga bentuk cengkaman oleh manusia. Kemerdekaan adalah hal yang selalu dinanti-nantikan oleh para rakyat di zaman penjajahan. Mereka mengalu-alukan para pejuang kemerdekaan yang bersusah-payah mendapatkan kembali hak untuk kita memerintah dan menjadikan tanahair ini sebuah negara dan bangsa yang besar. Betapa besar jasanya para pejuang-pejuang kita ini sehingga tidak ternilai dan mampu dibayar walau dengan segala milik bumi tanahair ini.

6.   “Bangsa yang tidak percaya kepada kekuatan dirinya sebagai suatu bangsa, tidak dapat berdiri sebagai suatu bangsa yang merdeka” kata Bung Karno. Tetapi apakah kita percaya kepada kekuatan diri kita jika keselamatan negara kian goyah, ekonomi pula menanti rebah dan rakyatnya sentiasa gundah? Sempadan negara sudah berapa kali diredah? Hutang negara, inflasi dan pendapatan rakyat teramatlah payah dan rakyat pastinya lelah.

7.    Kemerdekaan hanya akan bermakna jika pemimpin dan rakyat saling percaya dan mempercayai tanpa helah. Pemimpin dan rakyat seharusnya menjadikan hubungan antara mereka sebagai rahmatulalamin yang penuh berkah. Tetapi kini ianya sudah terbelah dan menanti masa untuk mati akibat barah. Apa tidaknya jika pemimpin tidak henti-henti menghisap darah sehingga rakyat tak tentu arah lantaran pemimpin asyik ‘mentekedarah’.

8.     Kita masih mempunyai waktu untuk memasang impian bak kata Bung Karno lagi, “Gantungkan cita-cita mu setinggi langit! Bermimpilah setinggi langit. Jika engkau jatuh, engkau akan jatuh di antara bintang-bintang”. Masih mampukah kita?

Wallahualam

Comments

Popular Posts