MEREKA DI SEBALIK DINDING KELAS


Di setiap kelas itu tidak hanya ada meja, kerusi, papan hitam atau putih, almari dan murid-murid, jauh lebih penting adalah pendidik yang yang dipanggil guru. Tidak kira siapa di dunia ini meletakkan harapan yang begitu tinggi untuk anak-anak mereka berjaya dalam kehidupan berbekalkan ilmu yang diterjemahkan di atas segulung kertas bernama ijazah. Siapa sebenarnya yang akan mendorong anak-anak ini mencapai gulungan ijazah itu jika bukan guru?

Jangan sesekali kita menyambung tugas penjajah yang hanya datang ke negara kita untuk memeras dan mengaut hasil bumi kerana itu saja yang mereka nampak tetapi mereka tidak pernah nampak dan pedulikan kualiti manusia. Sedangkan kata Anies Baswedan mantan menteri pendidikan dan kebudayaan Indonesia, “Kekayaan terbesar sebuah bangsa adalah manusianya, bukan sumber daya alamnya”.

Minda dan jiwa penjajah beranggapan semakin berkualiti seseorang manusia, maka semakin besar ancaman terhadap kewujudan mereka di sini. Jadi apakah kita yang mengaku sebagai pemimpin rakyat juga hanya memikirkan hasil bumi termasuk minyak, kelapa sawit, getah, balak dan terbaru ketum? Jika begitu tidak ada bezanya antara kita dengan penjajah.

Tahukah kita berapa jumlah guru dan bilik darjah berbanding murid, jumlah buku-buku bacaan di perpustakaan berbanding pelajar-pelajar? Berapa komputer yang boleh digunakan pelajar berbanding keperluan? Tahukah kita cabaran dihadapi guru besar, guru-guru untuk memajukan sekolahnya? Tahukah kita berapa ramai pelajar yang tercicir?

Aset terbesar negara bukanlah gas, petrol, diesel, kelapa sawit, getah, ketum dan sebagainya tetapi manusia. Tanggungjawab kita adalah mengembangkan kualiti manusia-manusia ini. Manusia yang terdidik dan terpelajar adalah kunci kesuksesan sesuatu bangsa dan negara.

Tambah Anies Baswedan lagi, "mendidik adalah tanggungjawab setiap orang terdidik. Berarti juga, anak-anak yang tidak terdidik yang dimiliki Republik ini adalah "dosa" setiap orang yang terdidik yang dimiliki di Republik ini. Anak-anak nusantara tidak berbeda. Mereka semua berpontensi. Mereka hanya dibedakan oleh keadaan. Jika begitu keadaannya, ini bermakna setiap kanak-kanak tercicir, pelajar yang tidak terdidik semuanya menjadi dosa kita yang terdidik. 

Dinding kelas boleh saja senget dan rapuh, tapi semangat guru, siswa dan orang tua harus tegak dan kukuh. Bayangkan suasana pembelajaran sekarang dengan berbagai kemudahan yang amat sederhana pun kita masih dapat melihat gelora keceriaan belajar yang luar biasa anak-anak bangsa kita samada di pihak pelajar mahupun guru. Jadikan pagi belajar pagi yang cerah. Sesungguhnya bukan matahari yang menjadikan cerah, tapi mata-hati tiap anak, tiap guru yang menjadikannya cerah.

Semua ini tidak datang bergolek dan yang pipih datangnya melayang tanpa usaha memperbaiki prasarana setiap sekolah dan juga memberi keutamaan kepada para guru yang mendidik anak-anak bangsa. Cara kita menghargai guru adalah cara kita menghargai masa depan kerana pelajar-pelajar inilah yang akan menjadi peneraju masa depan.

Dengan menelantarkan nasib guru, secara langsung kita telah menelantarkan persiapan masa depan. Mari kita teguhkan komitmen untuk menjadikan sekolah sebagai taman yang penuh cabaran dan menyenangkan bagi semua warga sekolah. Mari kita pastikan bahwa sekolah menjadi tempat di mana anak-anak kita tumbuh dan berkembang sesuai dengan kudrat mereka dan membongkar potensi unik dirinya. Mari kita jadikan sekolah sebagai sumur amal yang darinya akan mengalir pahala tanpa henti bagi para guru.

Menteri pendidikan boleh saja berganti dan berhenti, tetapi usaha kita semua dalam mendidik anak-anak bangsa tidak boleh terhenti. Bung Karno mantan presiden Indonesia pernah berkata: “Berikan aku sepuluh pemuda dan aku akan mengguncang dunia.” Tetapi dia tidak berkata bahwa 9 dari 10 pemuda itu buta huruf. Apalah ertinya jika 9 dari 10 pemuda itu buta huruf sedangkan dunia berguncang bukan kerana guncangan tangan pemuda tetapi teknologi yang datangnya dari ilmu yang kita miliki.

Kita mahu agar murid atau pelajar jadi hebat tetapi pada masa sama masa yang diperlukan oleh guru untuk memperhebatkan murid atau pelajar melayang begitu saja dengan arahan-arahan yang mengelirukan daripada kementerian serta banyak mengorbankan masa berkualiti guru.

Arahan bertali arus dan sentiasa berubah. Bukan saja murid atau pelajar menjadi mangsa, bahkan guru-guru terperangkap dalam jebakan karung politik yang menjadi permainan mereka-mereka yang punya kepentingan peribadi. Contoh klasik adalah pada penghujung 2011 apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan akan memansuhkan PMR dengan memperkenalkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah atau singkatannya PBS.

Selain kecelaruan akibat persediaan yang haru-biru, guru-guru tenggelam punca apatah lagi murid-murid dan pelajar yang menumpang limpahan ilmu dari para guru. Bersengkang mata hingga ke tengah malam dibuatnya guru-guru untuk memasukkan data secara dalam talian. Menambah luka lagi adalah sistem dan masalah talian internet yang sering terganggu. Sampai bila usaha memasukkan data ini akan selesai? Dengan bebanan program ko-kurikulum dan sukan serta entah apa lagi yang mahu diletakkan di bahu guru, kemampuan sehebat Conan pun rasanya hancur berkecai.

Berjudi ada gelanggangnya, menyanyi ada pentasnya, melawak pun ada slotnya jangan sampai guru-guru berbogel akibat sudah tidak sempat memakai pakaian. Nampaknya sistem pendidikan sudah tersasar dari matlamat pendidikan.

Pemimpin-pemimpin Melayu terdahulu tidak pernah leka dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mencapai hasrat untuk menjuarai isu-isu melibatkan pendidikan. Sikap pro aktif pemimpin ketika itu jelas membantu menjayakan dasar-dasar pendidikan, yang digubal sejajar dengan hasrat Perlembagaan untuk memartabatkan bangsa dan tanahair sebagai bangsa yang maju dan berilmu.

Penyata-penyata yang berkaitan dengan pendidikan, daripada Penyata Razak (1956) membawa kepada Penyata Rahman Talib (1960) dan Penyata Mahathir (1979) semuanya sentiasa diberi perhatian teliti dan dijadikan panduan untuk meningkatkan sistem pendidikan negara, sekaligus meningkatkan taraf pendidikan. Di kalangan ilmuan Melayu, muncul orang-orang seperti Allahyarham Aminuddin Baki dan Profesor Fatimah Hamidon, yang meneruskan kesinambungan perjuangan Pendita Zaaba dan tokoh-tokoh terdahulu yang tidak pernah jemu meniupkan semangat cintakan ilmu di jiwa orang Melayu.

Kini semuanya seakan-akan terpinggir. Nasib guru-guru semakin pudar sehingga murid-murid dan pelajar tidak lagi menghormati para guru. Mengambil tindakan terhadap murid atau pelajar umpama mengundang tindakan undang-undang termasuk dipindah sekolah apabila adanya aduan dan rungutan waris atau keluarga.

Bagi guru-guru di pendalaman, nasib mereka jauh lebih malang namun beralaskan semangat demi bangsa, agama dan tanahair, semuanya ibarat alah bisa tegal biasa. Jika Bung Karno pernah menyebut “Bangsa yang besar adalah bangsa yang menghormati jasa pahlawannya”, maka tidak terlewat untuk kita mengungkapkan “Bangsa yang beradab juga adalah bangsa yang bukan saja menghormati jasa guru-gurunya, tetapi juga bersyukur dan menghargai peranan guru dalam mendidik anak bangsa”.

Marilah kita sama-sama terus memberi semangat pada guru untuk terus menumpahkan keringat dan ilmu buat anak-anak bangsa kita juga menggesa pemerintah memberi perhatian dalam soal kebajikan dan keperluan mengajar demi kelangsungan usaha memajukan negara.

Comments

Popular Posts