Klasifikasi Dokumen
Jika tulisan dalam buku ini dijadikan sandaran, ia bermakna Tun Dr Mahathir Mohamad jauh lebih bermaruah dalam berhadapan musuh-musuh politiknya apabila diasak hebat dengan mengklasifikasi semula dokumen-dokumen berkaitan yang menjadi punca serangan musuh-musuh politiknya. Ketika tahun 1987 apabila Tun Musa Hitam yang bergabung dengan Tengku Razaleigh Hamzah mengasak hebat kepimpinan beliau khususnya hal-hal bersangkutan ekonomi kerana mereka tahu ianya akan menyebabkan rakyat akan turut terpanggil, mantan PM 22 tahun ini telah mengklasifikasikan semula dokumen bagi membolehkan didedahkan pada orang ramai.
Aminuddin dan Mohd Ali mencatatkan, “.... untuk menolak hujah penentangan berhubung dengan perancangan ekonomi, beliau telah membenarkan supaya diklasifikasikan semula beberapa dokumen rahsia kerajaan bagi membolehkannya didedahkan kepada orang ramai supaya dapat ditunjukkan bahawa keputusan melaksanakan segala projek yang dituduh dirancangkan dengan cara yang tidak teliti itu adalah juga dibuat ketika Tengku Razaleigh, Dato’ Musa dan rakan-rakan dalam pasukan mereka dalam kabinet”.
Begitu juga dalam isu kronisma dan nepotisma yang dibangkitkan Zahid Hamidi selaku Ketua Pemuda UMNO ketika ucapannya dalam Perhimpunan Pemuda 18 Jun 1998, Tun Dr Mahathir telah menyenaraikan pemilikan saham khas bumiputera, pengagihan projek serta kontrak kerajaan pada Perhimpunan Agung UMNO tersebut.
Dalam isu 1MDB, situasi berlaku sebaliknya apabila perkara yang sepatutnya tidak dirahsiakan telah diklasifikasikan rahsia bagi mengelakkan rakyat mengetahui apa sebenarnya berlaku sedangkan Tun Mahathir mengklasifikasi semula dokumen di zamannya agar orang ramai dapat mengetahui. Biar rakyat yang menilai siapa salah siapa sebaliknya.
Ini soal bagaimana meyakinkan rakyat bukan soal ketaksuban atau mencari kesalahan atau siapa juara dan siapa kambing hitam. Jika kita berada pada kedudukan yang benar, kata pepatah yang sering dikumandangkan, “Berani kerana benar, takut kerana salah”. Bukan saja laporan JAN takut didedahkan, malah harta pemimpin pun takut diistihar dengan menggunakan alasan bimbang keselamatan keluarga diculik. Sepuluh orang terkaya di Malaysia atau di dunia pun istihar bukan saja pada SPRM, tetapi juga kepada media seperti Forbes tetapi tidak pun diketahui ada di kalangan keluarga mereka pernah diculik. Apakah pemimpin itu sudah hilang keyakinan kepada pasukan keselamatan negara ini khususnya PDRM?
Jika nak klasifikasikan semula dokumen pun takut, di mana letaknya gelaran kepahlawanan Bugis atau Jawa yang lantang dicanang sebelum ini?
Comments
Post a Comment