KETOKOHAN PEMIMPIN
Mungkin ada beberapa hal yang kurang memihak kepada DSAI, tetapi dalam soal penyelesaian hal-hal berkaitan rakyat ketika beliau masih dalam barisan kepimpinan negara khususnya ketika menduduki kerusi TPM, beliau begitu berjaya memperlihatkan ketokohan sebagai pemimpin besar.
Sekarang ini berbagai isu besar melanda negara yang terkait dengan kempimpinan negara pun masih terkial-kial mencari penawar bagaimana meredakan penyakit yang sedang berulat. Malahan bukan penawar yang diberi sebaliknya racun untuk mempercepatkan proses menuju lubang kubur.
Ini kisah benar yang berlaku sekitar 1997 atau 1998 ketika petani-petani begitu tidak berpuashati dengan harga yang ditetapkan oleh pengilang berhubung padi basah. Kata sepakat antara pengilang, pembekal dan petani agak rumit diselesaikan dan dilihat akan berpanjangan.
Sejarah telah membuktikan isu petani jangan dipandang remeh terutama di Kedah. Wisma Negeri menjadi sasaran petani ketika berdemonstrasi begitu juga isu petani di Baling ketika Anwar memimpin pelajar.
Namun, DSAI mengambil langkah bijak dengan segera turun ke Kedah bertempat di MADA Ampang Jajar bertemu dengan pengilang dan pembekal. Majlis ini dihadiri ribuan petani untuk mengetahui keputusan kerajaan. DSAI membuat pertemuan antara pengilang-pengilang dan pembekal di sebuah dewan kecil di situ tanpa kehadiran petani-petani. Kebetulan, saya menyusup masuk dalam perjumpaan ini atas bantuan seorang pegawai MADA untuk mendengar sendiri apa yang dibincangkan.
Ketika ditanya oleh DSAI adakah saya juga pengilang atau wakil pengilang terus saya mengaku "ya saya wakil pengilang" dan disahkan oleh pegawai MADA berkenaan.
Apa yang menarik mengenai perjumpaan ini adalah DSAI selaku TPM, terus membuat keputusan yang memihak kepada petani-petani mengenai timbangan padi basah sebelum perbincangan dan bertanya samada pengilang bersetuju atau sebaliknya. Jika tidak bersetuju, kata DSAI beliau akan cari kaedah lain tetapi ingat, jika pengilang berdepan masalah pada masa depan, jangan lagi minta bantuan kerajaan. Terus saja pengilang-pengilang bersetuju dan DSAI sebaik selesai perjumpaan umumkan harga padi dan timbangan yang diminta oleh petani-petani secara terbuka ketika semua hadirin sedang makan di bawah pentas.
Bergemuruh tepukan petani-petani menzahirkan sokongan kepada pemimpin ini dan kerajaan. Apakah ini mungkin berlaku sekarang? Tidak mungkin berlaku kerana tidak ada pemimpin yang berkarisma dan punya ketokohan begini.
DSAI juga berjaya selesaikan krisis antara penganut Islam dan kaum India dalam konflik antara kaum di Kampung Rawa pada 1997 kerana kewibawaan dan ketegesannya menguruskan krisis.
Sekarang ini, isu keselamatan dan penculikan di Sabah masih seperti bermain pokemon go dan main sorok-sorok. Jenayah sepertimana kata Tun Musa Hitam dalam buku terbarunya 'Frankly Speaking' tidak ubah seperti Filipina dahulu yang diketawakannya.
Tidak semua tindakan Anwar saya persetujui tetapi dalam isu besar, saya angkat topi kepada mantan TPM ini yang begitu bijak melakukan manouvering politik yang membolehkan rakyat terus bersama kerajaan dalam saat-saat genting.
Sejarah telah terpahat dan tidak ada apa yang mampu mengubahnya. Kita hanya mampu terus berdoa pemimpin sebegini akan muncul menerajui negara jika sekalipun bukan Anwar. Saya hanya bersyukur kerana berbagai peristiwa besar dalam politik dan keselamatan Allah munculkan saya bersama untuk menjadi sebahagian daripada sejarah-sejarah tersebut Belajar untuk bersetuju dengan hal-hal yang tidak dipersetujui pastinya akan mematangkan tindakan dan keputusan kita.
SELAMATKAN MALAYSIA
Comments
Post a Comment