Simalakama
1. Buah simalakama merupakan buah berwarna merah yang kelihatannya amat menarik dan sudah pasti ramai yang ingin memakannya. Namun, jika dikupas, bahagian dalam buah ini tidak semenarik pada kulit buahnya. Itulah sebabnya mengapa buah ini sering digunakan untuk mengungkapkan suatu keadaan yang tidak sesuai dengan keadaan kulitnya, dimana isi buah tersebut jauh berbeza daripada warna kulitnya yang kelihatan menarik. Buah ini dikaitkan dengan buah mahkota dewa yang memiliki warna merah terang dan banyak digunakan untuk perubatan.
2. Begitu juga dalam kehidupan seharian kita khususnya terkait dengan arus politik semasa yang saling tak tumpah dengan buah simalakama yang luarnya cantik dalamnya hodoh. Lihat soal integrasi kaum dengan slogan 1Malaysia yang dicanang siang dan malam sebelum PRU13, tapi kini ibarat menelan jadam. Pemimpin yang menjadikannya sebagai umpan kini tertelan kail dek salah percaturan. Soal perpaduan kaum sudah menjadi tidak penting apabila pemerintah gagal meraih 2/3 kerusi parlimen bagi membolehkan rekod kecemerlangan parti pemerintah dipertahankan. Bermula detik itu, kaum Cina tidak lagi mampu mendengar kata-kata muluk daripada pemerintah dan sebaliknya hanya terpaksa meneguk kata-kata cemuhan dan nista. Pemberian selama ini diungkit-ungkit sehingga terpacul kata-kata "Apa lagi orang Cina mahu?" pada tajuk akhbar pro pemerintah sebaik selesai PRU13. Isu perkauman kian bertaut dari hari ke hari sehinggalah baru-baru ini diadakan Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu atas alasan untuk menyatupadukan orang Melayu yang selama ini didakwa berpecah akibat perbezaan ideologi politik di Stadium Putra, Bukit Jalil. Apakah ini langkah tepat mewujudkan negara bangsa dengan acuan bernama 1Malaysia? Hakikatnya, dek kerana soal kalah menang pilihanraya, ia dijadikan alasan stering kapal diputar 360 darjah. Manusia berprinsip akan tetap berpegang kepada prinsipnya hatta terpaksa berdepan risiko tak tertanggung. Jangan hanya kerana keputusan PRU13 tidak memihak kepada kita maka prinsip dan dasar perpaduan kaum dilelong. Berani buat sepatutnya berani menanggung tetapi mungkin simalakama sudah mula masak dan di luar cantik di dalam hodoh.
4. Bercakap soal ekonomi negara yang kononya "ekonomi negara berada pada landasan yang kukuh atau betul" tetapi hakikat sebenar apakah demikian? Ringgit merudum berbanding nilai matawang asing, hutang negara pula kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, "Sehingga 30 September, 2013, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan ialah sebanyak RM529.2 bilion atau 53.6% daripada KDNK. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM512.3 bilion atau 96.8% merupakan hutang dalam negeri manakala baki RM16.9 bilion atau 3.2% merupakan hutang luar negeri,". Kadar inflasi negara pula dijangka berada pada kedudukan empat hingga lima peratus pada 2015 berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta langkah rasionalisasi subsidi. Maka contoh simalakama berlaku lagi di luar cantik di dalam hodoh.
5. Kenyataan demi kenyataan bahawa Malaysia masih aman sudah menjadi 'parodi' kerana kita sering diberi gambaran bahawa kadar jenayah di negara ini hanya soal persepsi oleh Menteri Dalam Negeri serta pihak polis. Yang jelas, rakyat dihantui kebimbangan menjadi mangsa penjenayah samada di rumah, di luar, di tempat kerja, sekolah atau di mana-mana saja kerana jenayah tidak mengenal tempat. Setiap hari, ada saja laporan di media cetak dan elektronik berhubung laporan berlakunya insiden jenayah daripada kes bunuh, rogol, samun, tipu dan bermacam-macam lagi. Menurut numbeo.com, kadar indeks jenayah di Malaysia berada pada paras 68.60 menyaksikannya berada di kedudukan ke-17 indeks jenayah sedunia 2014, di bawah Brazil dan Jamaica dan di atas Somalia, Zimbabwe, Colombia, Mexico serta Rwanda. Untuk rekod, numbeo.com merupakan pengkalan data yang yang merekodkan sumbangan daripada orang ramai di serata dunia bagi melakukan analisa statistikal pelbagai isu. Ini juga contoh simalakama sedang berlaku di luar cantik di dalam hodoh.
6. Jeritan dan laungan demokrasi sering kedengaran di sana sini namun apakah amalan demokrasi berada pada tahap yang sepatutnya? Rakyat amat mahfum bahawa demokrasi bukan bermaksud mendapat kebebasan mutlak, namun ia tidak bermakna bahawa suara-suara perbezaan pandangan serta kritikan terhadap pemerintah perlu dianggap sebagai penderhakaan. Harus ada tafsiran dan garis pemisah yang jelas antara kesetiaan kepada negara dan juga kepada pemerintah. Mark Twain berkata "Loyalty to the country always. Loyalty to the government when it deserves it" yang harus difahami sebagai selagi pemerintah layak ditaati maka sudah semestinya rakyat akan dan perlu taat. Jika sebaliknya, maka pemerintah perlu bermuhasabah kenapa rakyat sudah hilang ketaatan terhadap mereka dan tidak menjadikan alasan tersebut sebagai senjata untuk meredam suara-suara yang berbeza itu dengan menggunakan pelbagai undang-undang untuk menekap mulut. Seringkali jika disebut soal demokrasi, pastinya perkataan amalan demokrasi yang bertanggungjawab (akauntabiliti) akan disebut. Dari mana datangnya definisi ini wallahualam tetapi jika disenaraikan tindakan-tindakan tidak demokratik pemerintah sepanjang sejarah negara ini, ternyata tidak cukup dakwat dan pena untuk dicakar. Apatah lagi jika yang bercakap soal demokrasi itulah juga yang menjadi pemerkosa dan peliwat demokrasi. Kadangkala ia seolah-olah kita mendengar ungkapan demokrasi itu dari dunia atau galaksi yang berbeza. Bukankah simalakama datang lagi?
7. Soal pembangunan, tahap pendidikan, kesihatan, pengurusan banjir tidak lekang kata-kata Malaysia adalah yang terbaik di dunia dan ia keluar dari mulut-mulut pengampu yang telah membuat rakyat gelihati dengan tanggapan bahawa pembuat-pembuat kenyataan itu sedang bermimpi ataupun dijangkiti penyakit mental yang serius. Semuanya berpunca daripada apa? Tidak lain dan tidak bukan akibat daripada tertipu dengan buah simalakama. Benar kata Gandhi, "If I had no sense of humour, I would long ago have commited suicide". Mereka sebenarnya berjenaka untuk mengelakkan diri dari membunuh diri akibat tertekan atas kegagalan menjadi pemerintah yang amanah, jujur dan bertanggungjawab kepada rakyat. Untuk meyakini rakyat bahawa apa yang mereka ungkapkan itu benar, maka tidak ada cara lain daripada berbohong. Dan pastinya akan terus berbohong untuk menutup pembohongan sebelum itu.
8. Kunci kepada semua yang disebutkan di atas adalah bohong dan bohong bukan saja berdosa dalam agama, malah dari sudut moral ianya adalah sesuatu yang hina. Kenapa Bill Clinton Mantan Presiden Amerika terpaksa meletak jawatan dalam skandal seks yang disebut sebagai 'Skandal Lewinsky atau "Monicagate"'?. Bukan kerana isu skandal seks tersebut, tetapi lebih kepada berbohong. Monica Samille Lewinsky merupakan wanita Amerika Syarikat yang menjadi terkenal akibat skandal ini pada tahun 1997 dan bekerja di White House ketika Clinton menjadi presiden. Akibat daripada hubungan seksual yang kemudiannya terbongkar dan dinafikan sekeras-kerasnya oleh Clinton, kes ini telah dibawa ke muka pengadilan yang akhirnya menyebabkan tuntutan pemecatan atas Bill Clinton dengan tuduhan berbohong di dalam keterangan di bawah sumpah dan menghalang proses pengadilan skandal ini. Clinton yang mendapat tekanan dari Kenneth Starr pada 19 Ogos 1998 dengan adanya bahan bukti dari Lewinsky berupa baju biru dengan titisan sperma terpaksa akur dan mengaku bahwa ia membohongi rakyat Amerika dan mempunyai hubungan yang tak sepatutnya dengan Lewinsky sehingga membawa kepada perletakan jawatannya.
9. Salah seorang ahli falsafah berkata, “Jika kejelekan – kejelekan adalah sebuah rumah, maka pembohongan adalah kuncinya". Pembohongan-pembohongan yang dilakukan ini adalah akibat dari amalan 'politik simalakama' demi mempertahan dan terus memeluk kuasa yang ada. Banyak lagi contoh-contoh yang memberi gambaran betapa apa yang berada di sekeliling kita tidak lebih kepada jelmaan buah simalakama dalam tindak-tanduk seharian. Rakyat terpaksa celik politik bagi mengelakkan tertipu dengan politik simalakama dan menjadi hakim yang akan memuktamadkan bahawa politik bukan soal main-main. Politik adalah wadah yang harus dijenamakan semula dengan jenama bersih bukan lagi dikaitkan dengan 'politik itu kotor'. Yang kotor bukan politik tetapi pemain-pemainnya. Kata Oscar Ameringer, "Politik adalah seni halus mendapatkan suara dari orang miskin dan dana kempennya datang dari orang kaya dengan menjanjikan melindungi satu dari yang lain". Maka berhati-hatilah kita sebagai manusia yang berakal.
Wallahualam
SANI
Comments
Post a Comment