Panglima Makan Atas Pengandar


As-Salam,

1.   Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang sanggup mengambil risiko atas setiap tindakan yang telah dibuat olehnya. Malangnya di Malaysia, kehebatan pemimpin tidak diukur dari sudut keberanian menyatakan kebenaran, keberanian mengambil tanggungjawab, keberanian mengakui kesilapannya tetapi sebaliknya pemimpin disanjung dan dipuja jika mampu memberi peluang meraih jawatan yang dikejar, jika mampu memberi habuan itu dan ini kepada pendokong-pendokongnya. Semakin banyak habuan disumbat maka semakin hebat seorang pemimpin dijulang dan semakin ramai yang akan mempertahankan beliau. 

2.    Akhbar Sinar Harian semalam (9/3/15) melaporkan Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang cukup terkenal sebagai 'Panglima Makan Atas Pengandar' berkata, "Hutang yang ditanggung 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bukan masalah kerajaan sebaliknya ia perlu dipertanggungjawabkan oleh pihak pengurusan syarikat itu termasuk lembaga pengarahnya." Tambahnya lagi, "tindakan perlu diambil kepada mana-mana pihak yang menyebabkan syarikat pembangunan itu mengalami kerugian. Malah beliau turut menasihatkan agar tiada pihak yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kemelut 1MDB."

3.   Apakah jenama yang wajar diberikan sebenarnya kepada pemimpin seperti ini? Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB tidak perlu bertanggungjawab atas sebarang kegagalan urustadbir syarikat pelaburan ini jika ianya dapat dibuktikan? Bayangkan kita sebagai rakyat yang tidak tahu asas kebertanggungjawaban dalam kes-kes sekecil jentik-jentik di kawasan sekitar rumah kitapun akan didenda atas kesalahan pembiakan jentik-jentik yang boleh mengakibatkan demam denggi. Mana kita tahu jentik-jentik berminat berumahtangga dan berkeluarga di kawasan rumah kita? Tetapi kita tetap perlu membayar denda apabila pegawai-pegawai dari Jabatan Kesihatan Daerah datang memeriksa dan mendapati ada jentik-jentik dalam air yang bertakung di sekitar rumah. 

4.    Isu 1MDB bukan isu jentik-jentik yang hanya menyebabkan beberapa kerat dijangkiti demam denggi, tetapi penyakit yang akan mengakibatkan seluruh rakyat menanggung beban kewangan akibat daripada keputusan beberapa kerat manusia yang tidak mengambilkira secara berhemah impak kepada negara dan rakyat. Jentik-jentik mungkin membunuh 10-20 orang rakyat tetapi nyamuk 1MDB boleh mengheret rakyat dan negara ke kancah masalah kewangan yang serius. Belum pernah berlaku dalam sejarah pemerintahan negara sehingga kerajaan terpaksa berhutang RM2 bilion daripada individu yang merupakan bilionaire terkemuka Ananda Krishnan untuk membayar hutang 1MDB daripada dua bank tempatan dan wujud cubaan membuat pinjaman tambahan RM3 bilion daripada kerajaan namun nasib masih menyebelahi rakyat apabila adanya secebis rasa bertanggungjawab dan keberanian untuk kabinet menolak  kerana dikatakan ramai menteri tidak bersetuju. Meminjam kata-kata Datuk Kadir Jasin dalam blognya The Scribe A Kadir Jasin, "Apakah 1MDB yang ditubuhkan sebagai tabung berdaulat (sovereign fund) negara akhirnya menjadi hak milik AK?" Harus diingat, 1MDB dilaporkan bertaraf tabung berdaulat Malaysia. Ertinya ia milik negara. Sebarang kecelakaan yang berlaku ke atasnya menjadi tanggungan negara dan rakyat jelata. Maka apakah wajar ia hanya diurus oleh segelintir manusia-manusia yang berkepentingan dan apabila berlaku musibah yang tidak dijangka maka negara dan rakyat menjadi taruhan? 

5.   Jika dalam organisasi kerajaan mahupun swasta, sebarang salahlaku pegawai dan anggota bawahan, bukan saja pelaku kesalahan yang akan diambil tindakan, 'immidiate superior' dan 'superior' juga akan menerima tempiasnya. Jika ada 'subordinate' yang ditangkap terlibat dengan rasuah, jenayah dan apa saja kesalahan, 'superior' sudah 'panas punggung' kerana terpaksa berdepan lembaga siasatan yang akan turut menyoal kenapa ianya berlaku dan kenapa tidak ada tindakan pemantauan terhadap anggota atau pegawai tersebut. Maka seharusnya dalam soal 1MDB, Najib yang merupakan ketua eksekutif de facto 1MDB dengan kapasitinya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat kenapa tidak menasihati pengurusan kewangan syarikat dan meneliti audit setiap tahun yang dibuat?

6.    Menjadi bapa tetapi tidak bertanggungjawab atas kegagalan dalam rumahtangga adalah bapa ayam, bapa kucing, bapa anjing yang hanya melampiaskan nafsu serakah dan membiarkan ibu dan anak-anak memikul segala tanggungjawab dan masalah yang seharusnya menjadi amanah yang maha berat perlu dipikul olehnya. Tetapi ini masih boleh dimaafkan kerana itu fitrah haiwan bukan manusia. Hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang ketua negara adalah penjaga dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang suami adalah penjaga keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap keluarganya, seorang isteri adalah penjaga rumahtangga suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya, seorang khadam (pembantu) adalah penjaga terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadap dipimpinnya".(Riwayat al-Bukhari). 

7.    Berdasarkan hadis ini, kita semua adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab dalam mengurus, mentadbir dan menjaga setiap apa yang diamanahkan kepadanya. Kepimpinan dalam Islam merupakan amanah dan tanggungjawab bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat. Tanggungjawab Najib bukan saja sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, tetapi jauh lebih penting sebagai ketua negara yang turut bertanggungjawab terhadap isu besar melibatkan seluruh rakyat. Oleh itu, bagaimana boleh seorang pemimpin kanan UMNO seperti Syed Ali Alhabshee boleh berkata jangan babitkan Najib dalam soal ini? Ini bukan soal babit-membabit, ini soal kebertanggungjawaban dan jika ada masalah maka beliau WAJIB menyelesaikannya bukan cuci tangan dan berkata itu bukan salah saya. 

8.    Rakyat tidak menyalahkan sesiapa tetapi mahu melihat masalah diselesaikan bukan dibiarkan tanpa ada yang bertanggungjawab menyesaikannya. Rakyat juga tidak mahu tahu apa motif dalam isu 1MDB ini seperti dalam kes pembunuhan Altantuya kerana ia tidak menyelesaikan masalah. Masalah besar yang dihadapi rakyat sekarang adalah masalah kesempitan hidup berkait rapat dengan soal wang dan isu 1MDB melibatkan jumlah wang yang besar. Jika GST dilaksanakan juga atas kepentingan menambah kantung kerajaan dengan wang bukannya janji dan air liur, maka sudah pastilah rakyat berhak mengambil tahu bagaimana wang kerajaan yang juga wang rakyat itu dibelanjakan. Jika bocor perlu ditampal, jika pecah perlu diganti. 

9.    Nampaknya kata-kata Joseph Schumpeter ahli ekonomi dan politikus dari Austria yang kemudiannya menetap di Amerika Syarikat sungguh tepat, "Ketika politik mengajar bahawa tugas politikus sesungguhnya melaksanakan kehendak rakyat. Namun, yang terjadi mereka hanya mementingkan dirinya sendiri." Sebagai rakyat yang matang dan bijak, jangan membenarkan kata-kata Hitler bahawa, " Beruntunglah penguasa bila rakyatnya tidak boleh berfikir." Teguran dan kritikan rakyat adalah rahmat buat pemimpin kerana itu tanda rakyat masih sayang dan kasih pada pemimpin maka mereka masih menegur dan mengkritik. Mereka tidak mengambil jalan yang boleh menyebabkan keadaan keselamatan bertambah kusut dengan berdemo sana-sini dan hanya sekadar meluahkan rasa kekecewaan samada di media siber agar jika ada pemimpin dan wakil-wakil mereka terbaca, tergerak hati mereka membetulkan apa yang menjadi keluhan rakyat. Daripada Abu Sa’id al-Khudri ( r.a ), beliau mendengar Rasulullah bersabda:
“ Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” 

10.   Jangan pula ianya dianggap sebagai pengancam kepada pemimpin kerana pengancam dan pengkhianat sebenar adalah syaitan-syaitan bisu yang hanya mengangguk dan mengiyakan segala kata-kata dan tindakan pemimpin walaupun ia ternyata tersasar. Jika hutang wajib dibayar, maka janji juga wajib ditunaikan. Salah satu ciri kemunafikan adalah apabila berjanji dikhianati dan apabila diberi amanah diinjak-injak. Jika merasa kita bukan di kalangan mereka yang munafik, jangan dekati perkara-perkara sedemikan rupa. Apakah kita akan diketawakan nanti oleh generasi akan datang apabila menjenguk sejarah yang telah kita rintis? Mengikut Mikhail Bakhtin, "Sejarah adalah sejenis drama di mana setiap babak diikuti oleh paduan suara ketawa." Sebelum diketawakan, perlukah kita meruntuhkan panggung drama atau menulis semula skrip drama itu? 

Wallahualam

~Sani~

Comments

Popular Posts