KETIKA SAYA SALAH, APAKAH ANDA BENAR?
1. Jika kita merenung dan berfikir atas alasan apa manusia begitu angkuh untuk melakukan semua yang dia fikir sesuai untuk dirinya? Sejak bila manusia mencipta telinganya sendiri untuk dia merasa berhak untuk mendengar hanya apa yang mahu didengarinya? Sejak bila pula manusia menciptakan mata untuk hanya melihat apa yang dia suka melihat? Dan sejak bila juga manusia menciptakan tangan dan kakinya untuk membenarkan dia melakukan apa saja yang dikehendakinya?
2. Semua yang ada di muka bumi termasuk yang ada pada manusia adalah milik Maha Pencipta. Tidak perlu merasa begitu berkuasa sehingga apa saja yang diingini wajib dipenuhi. Siapa juga manusia itu, semuanya sama diciptakan Allah swt dan hanya manusia sendiri yang membeza-bezakannya. Kecelaruan politik yang berlaku sekarang samada di sini atau di mana saja adalah kerana manusia yang bernama pemimpin begitu selektif untuk mendengar. Janji bahawa "Kami Mendengar Suara Anda" hanya relevan ketika pilihanraya sudah semakin hampir. Selepas pilihanraya, janji tinggal janji dan rakyat selaku pengundi perlu menunggu 5 tahun lagi untuk diadakan pilihanraya umum atau kematian wakil rakyat sediada untuk diadakan pilihanraya kecil bagi membolehkan suara didengari yang belum tentu ditindaki. Ada telinga tak mendengar dan ada mata dibutakan.
3. Masalah rakyat seperti isu banjir, ketiadaan parkir, pengangkutan, rumah mampu milik yang tidak mampu dimiliki dan bermacam-macam lagi yang dihadapi rakyat tidak dilihat oleh pemimpin selaku pemerintah kerana mereka juga selektif untuk melihat. Mereka hanya melihat apa yang mereka mahu lihat seperti padang golf, acara hiburan diselangselikan dengan majlis memuji dan memuja pemimpin, gedung membeli-belah dan apa yang sesuai dengan selera mereka. Mereka penuh yakin bahawa mata yang mereka miliki itu dicipta oleh tangan-tangan mereka sendiri sehingga memperolehi keabsahan untuk memilih apa yang mereka perlu lihat. Sesungguhnya apa yang perlu dilihat dan apa yang mahu dilihat berada pada titik yang berbeda.
4. Kaki dan tangan-tangan mereka pula hanya digunakan untuk melampiaskan nafsu serakah yang tidak pernah kenyang dengan rahmat yang diberikan kepada mereka oleh Allah swt. Mereka malah semakin jauh dari kenyataan bahawa tubuh dan kakitangan mereka itu ada pemiliknya yang kekal dan dipinjamkan kepada mereka sebagai amanah yang akan dituntut kemudian nanti. Mereka semakin jauh dari kenyataan kerana mereka sendiri memandu jasad mereka itu kepada destinasi yang pada fikiran mereka sebagai tempat yang kekal tanpa mati dan adanya kehidupan selepas mati. Tangan-tangan yang memberi dan menerima rasuah serta kaki yang membawa kepada lokasi transaksi rasuah seperti sudah tidak bertanggungjawab di akhirat nanti. Malah tangan dan kaki pelindung-pelindung dan tukang kompromi rasuah juga dianggap sama kebal sama hebat keberdayaan untuk bertahan dengan siksaan apabila dibangkitkan kelak.
5. Semua ini berlaku kerana apa? kerana optimis bahawa kaki dan tangan, mata dan telinga yang ada pada diri mereka itu adalah ciptaan dan milik kekal tanpa perhitungan di kemudian hari. Oleh kerana itu semua jugalah manusia-manusia lain dianggap seperti hamba yang hanya dihidupkan untuk mengabdikan diri kepada mereka. Bagi mereka yang engkar, hukuman menanti dalam pelbagai bentuk kezaliman dan penganiayaan lantaran tongkat kekuasaan dan ketuhanan kuat melekat pada tangan-tangan manusia yang sudah lupa atau sengaja melupakan sejarah penciptaan manusia. Orang yang pandai memain-mainkan kekuasaan adalah orang yang paling tidak rasional di muka bumi ini.
6. Jika manusia-manusia penzalim ini tidak dapat diubah, maka ubahlah diri kita daripada diperkudakan oleh mereka sesuka hati. Setiap manusia diciptakan oleh Allah swt merdeka dan jangan pula kita mengabdikan diri menjadi hamba sesama manusia. Manusia memerlukan kesengsaraan untuk ingat kepada asal-usulnya. Muammar Gadafi dan Saddam Hussein hanya ingat asasl-usulnya ketika diri sudah dihujung nyawa. Begitu juga Gaddafi dan Saddam yang masih hidup ketika ini juga akan penuh kusyuk memikirkan asal-susul mereka hanya apabila sudah diselekoh neraka. Selagi syurga dunia membentengi penglihatan dan pemikiran mereka, tidak akan ada rasa kesal atas segala perbuatan konyol dan munafik yang dilakukan selama ini. Harus diingat, bulan dan bintang tidak pernah membiarkan giliran mereka dirampas oleh matahari selama-lamanya. Hilang cerah datanglah gelap dan ketika itulah manusia-manusia lupa diri akan ingat bahawa apa yang mereka lakukan selama ini hanyalah usaha mengumpul kayu api untuk membakar mereka di sana nanti.
7. Jika sudah jauh tersasar, undurlah demi kehidupan yang hakiki. Pepatah Cina ada berkata, "Menyimpang seinci, rugi seribu batu". Kita sentiasa muda untuk melakukan dosa tetapi tidak pernah tua untuk bertaubat. Seseorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkannya telah melakukan satu kesalahan lagi. Jadilah diri sendiri kerana betapa hebat sekalipun orang lain, kita tidak akan mampu menjadi seperti mereka. Yang merosakkan diri kita adalah kerana kita selalu lupa atau jarang ingat apa yang kita miliki, tetapi kita seringkali ingat apa yang dimiliki orang lain. Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun yang akan pecah pada bila-bila masa. "Ketika saya salah, adakah anda benar?"
Wallahualam
SANI
Comments
Post a Comment