LANUN
As-Salam,
1. "Lanun-lanun hanya mematuhi arahan yang berkuasa. Siapa berkuasa dialah kapten!". Aku terfikir perkara ini apabila menonton filem 'Pirates Of Carribean: On Stranger Tides di TV3. Dripada kisah ini dan semua kisah-kisah yang dipertontonkan kepada kita sejak awal membuktikan lanun hanya hormat dan mematuhi arahan siapa yang berkuasa. Walaupun Jack Sparrow itu kapten, tetapi apabila ketiadaan kuasa, maka lanun-lanun akan beralih patuh pada orang lain.
2. Nampaknya kisah ini tidak ubah seperti kisah lanun politik yang berada di sekeliling kita. Siapa yang dapat menjanjikan habuan lumayan dan dapat merompak lebih banyak harta maka secara otomatis dia akan dihormati sebagai kapten. Kamu boleh lakukan apa saja asalkan memberi pulangan kepada lanun-lanun dan kamulah kapten lanun. Kelompok lanun tidak akan membantah dan melawan selagi kapten mampu mendapatkan harta buat lanun-lanun. Kapten adalah ketua kepada lanun-lanun selagi selera lanun dipenuhi. Jika lanun-lanun mendapat habuan sebuah kapal, sudah pastilah kapten lanun akan mendapat habuan sekurang-kurangnya 10 kapal.
3. Dalam kehidupan, sebagai manusia, kita tidak lepas dari 5 persoalan iaitu 5W dan 1H termasuklah dalam kehidupan lanun. Persoalan 'Where, Who, What, When, Why dan How'. Di mana lanun-lanun dan harta berada? Lanun-lanun berada di mana-mana saja selagi harta belum habis dipunggah. Di mana ada harta di situlah lanun-lanun berkampung. Di mana pula harta? Harta di mana-mana saja dalam negara kerana negara ini makmur dan kaya. Yang miskin adalah rakyatnya. maka mudahlah untuk lanun-lanun merompak harta rakyat dan khazanah negara.
4. Siapa lanun, siapa kapten dan siapa mangsa lanun? Lanun-lanun adalah hamba kapten yang merompak mangsa sedangkan kapten adalah individu yang memberi arahan kepada lanun-lanun merompak dan memunggah harta. Siapa pula mangsa lanun? Siapa lagi mangsa lanun jika bukan rakyat dan pelabur-pelabur yang terpaksa merelakan diri dirompak demi pembahagian harta yang dirompak. Tanpa merelakan diri dirompak sebahagian hartanya, pelabur langsung tidak mendapat apa-apa dari negara ini.
5. Apa pula yang dirompak? Segala-galanya yang dapat dipunggah dan dirompak untuk memperkaya dan memenuhkan kantung lanun dan kapten. Negara kan kaya dengan hasil bumi termasuk minyak, getah, kelapa sawit, tanah simpanan, balak, segala projek dan apa saja. Apa matlamat lanun dan kapten? Sudah pastilah untuk menambah kekayaan diri dan keluarga masing-masing selagi ada peluang.
6. Bila pula mereka akan merompak? Lanun dan kapten tidak kenal masa dan cuaca untuk merompak kerana selagi ada peluang, selagi itulah mereka merompak. Selagi ada harta, selagi itulah ia membuka peluang untuk lanun-lanun merompak harta rakyat dan khazanah negara.
7. Kenapa mereka merompak? Yang bernama lanun dan kapten lanun fitrahnya adalah merompak. Tidak merompak dan tidak bersukaria atas harta rompakan bukanlah lanun namanya.
8. Bagaimana pula lanun-lanun ini dapat merompak harta-harta rakyat dan khazanah negara? Ia dapat dilakukan dengan bantuan rakyat yang menjadi talibarut lanun dan kapten. Mereka dapat merompak melalui banyak cara termasuklah dengan sistem cukai yang menjadi senjata utama merompak, rasuah, komisen dan mengatasnamakan projek demi kepentingan rakyat yang diberi kepada kroni dan keluarga.
9. Setelah lengkap persoalan ini dirungkai, maka amat mudah melihat siapa lanun dan siapa kapten sedangkan rakyat adalah tetap sebagai mangsa yang tidak mempunyai pilihan. Rakyat terpaksa menjadi mangsa rompakan lanun sehingga kematian menjemput mereka. "Kematian adalah makhluk yang menunggu kita semua dengan amat setia" kata Emha Ainun Nadjib dalam bukunya Oples. Lanun dan kapten tidak pernah berfikir bahawa "setiap biji beras dipertanyakan oleh malaikat dari mana dan dengan cara apa engkau memperolehinya". Alangkah bagusnya jika lanun-lanun ini semua insaf dan timbul rasa kasihan kepada rakyat yang menjadi mangsa mereka? "Orang bilang, pasti lebih baik menjadi bekas pencopet dibanding mantan ustaz".
10. Nampaknya rakyat tidak akan mampu melakukan apa-apa untuk mempertahankan diri dan harta yang secebis daripada dirompak oleh lanun-lanun dengan arahan kapten. Ini kerana mereka adalah manusia-manusia yang tidak punya hati dan naluri manusia. Kerana pada fikiran mereka, "Manusia adalah subjek yang lebih tinggi dari hukum sehingga sangat memiliki kapasitas untuk memperalat hukum". Mereka tega melakukan semua itu kerana tak punya rasa malu dan tetap duduk dengan gagah perkasa di kerusi amanat penderitaan rakyat. Mereka memperalatkan makhluk peliharaan yang bernama demokrasi sehingga demokrasi sebenar adalah pilihan lanun-lanun untuk melakukannya demi kapten yang menyumbat mulut-mulut lanun dengan habuan haram tanpa belas kasihan kepada rakyat.
11. Apa pilihan lain yang ada? Kata sesetengah manusia yang ingin terus selamat, "if you can't beat them, join them". Namun bagi yang teguh memeluk prinsip dan hukum agama serta moral, seperti kata Che Guevara, "Lebih baik mati berdiri dari hidup melutut". Tepuk dada tanya King Kong!
Salam Roti Jalan Campur Kari
SANI
Comments
Post a Comment