RAHSIA
1. Kehidupan sesungguhnya penuh dengan rahsia dan kerana perkataan RAHSIA itulah banyak hal yang menjadi korban manipulasi. Kita boleh saja melakukan kesilapan besar menggunung tetapi mengatasnamakan KERAHSIAAN melalui senjata Akta Rahsia Rasmi (OSA) maka jawapan mudah adalah ia melibatkan OSA. Bersekongkol dengan raja judi dikira RAHSIA jika kamu berkuasa, tetapi pemimpin politik Cina bermain judi riuh rendah segenap penjuru dunia untuk dijadikan modal murahan. Itulah kehebatan RAHSIA.
2. Semua hal boleh dirahsiakan daripada manusia tetapi ia bukan RAHSIA kepada ALLAH swt dan juga diri sendiri. Di hadapan Maha Pencipta tidak ada lagi RAHSIA yang dapat ditutup hatta OSA atau ISA. Ketika itu kamu berdiri seperti khunsa yang menggigil ketakutan kerana tidak ada lagi imuniti yang dapat bersama-sama kamu.
3. Bayangkan betapa dangkalnya alasan yang dihidangkan kepada rakyat dalam isu 1MDB apabila pemimpin utama negara menjelaskan bahawa “Keputusan untuk menggunakan bank di Singapura bertujuan memudahkan urusan pengeluaran wang memandangkan peraturan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan kelulusan BNM diperolehi bagi setiap transaksi wang melebihi RM50 juta,” . Apakah pemimpin paling berkuasa di negara ini tidak mampu berbincang dengan Gabenor BNM meminta beliau untuk membawa masuk wang tersebut ke Malaysia sedangkan perkara-perkara jauh lebih sensitif boleh diarahkan berbuat demikian? Ingat! itu semua RAHSIA yang tidak mungkin kita dapat menghidu RAHSIA di dalam RAHSIA.
4. Rakyat sudah kenyang menelan RAHSIA siang dan malam dan perut mereka sudah ketat dan padat diisi dengan RAHSIA. Tangki-tangki kumbahan dipenuhi dengan najis RAHSIA setelah seluruh rakyat memenuhi hajat beramai-ramai dalam tandas RAHSIA.
5. Itu belum lagi kita menjenguk kes-kes yang melibatkan kepentingan awam seperti isu penyeludupan bahanapi di sempadan, tangkapan melibatkan rasuah samada orang politik dan penguatkuasa sehingga bertahun-tahun belum terjawab. Apabila dipersoalkan maka jawapan mudah "masih dalam siasatan". Jika terus diasak maka jawapannya kenapa kamu perlu tahu? Ini adalah RAHSIA! Jika kamu masih berdegil, jangan terkejut jika secara RAHSIA kamu berada di tempat RAHSIA.
6. RAHSIA telah menjadi senjata ampuh melindungi penguasa dan rakyat dipaksa dan diheret untuk menelan RAHSIA walaupun sudah kekenyangan seakan-akan perut ikan buntal akibat terlampau 'CEKANG'. Ambil 'kole' ceduk perut untuk hilangkan kesakitan perut kembung petua orang tua-tua.
7. Apa yang dilakukan itu semuanya hanyalah alasan. Ada dua macam manusia di dunia ini, mereka yang mencari alasan dan mereka yang mencari keberhasilan. Orang yang mencari alasan selalu mencari alasan mengapa pekerjaannya tidak selesai, dan orang yang mencari keberhasilan selalu mencari alasan mengapa pekerjaannya dapat terselesaikan.
8. Cukup-cukuplah memberi alasan dan ketika ini rakyat hanya perlukan manusia-manusia yang benar-benar ikhlas memikul amanah di kala kesempitan sudah teramat kuat membelenggu kehidupan mereka. Kebimbangan mereka terhadap masa depan dan bagaimana mengurus kehidupan yang begitu payah dalam situasi inflasi yang kejam seperti sekarang perlu ditangani bukan diumpan dengan janji. Ada dua perkara yang tidak lepas dari dusta, iaitu terlalu banyak berjanji dan terlalu kuat mencari sebuah alasan. D wight D. Eisenhower berkata "Kau tidak memimpin dengan cara menindas orang, itu kekerasan namanya, bukan kepemimpinan."
Wallahualam
~ Sani ~
Comments
Post a Comment