KEPERLUAN


As-Salam,

1.      Biasanya manusia menjustifikasikan tindakan melakukan sesuatu perkara dengan alasan 'keperluan'. Harus diingat bahawa 'keperluan' manusia pun sudah berbeza apatah lagi di kalangan makhluk-makhluk ciptaan Maha Pencipta. Keperluan manusia berbeza dengan keperluan syaitan dan keperluan manusia juga akan berbeza dengan keperluan malaikat. Keperluan orang kaya lain dari keperluan orang miskin dan begitu juga dengan keperluan para menteri, wakil rakyat, menteri besar dan menteri kecil tidak sama dengan golongan marhaen dan asnaf.

2.     Oleh yang demikian, membeli sesuatu barang tidak perlu menjadikan keperluan sebagai alasan. Alasan keperluan kamu itu mungkin hanya sesuai untuk kamu dan tidak dengan orang lain. Apatah lagi dengan menggunakan wang orang lain atau wang rakyat dengan mengatasnamakan keperluan.

3.     Jika sudah memiliki 5 buah jet peribadi dan ditambah sebuah lagi atas alasan keperluan sememangnya tidak wajar kerana bagi rakyat, sebuah jet pun tidak perlu jika rakyat masih dihimpit kesempitan hidup. Tanpa jet peribadi maka seseorang itu tidak akan bergelar Perdana Menteri (PM)? Saudara Lokman Adam pula berkata "Takkan Najib nak naik tongkang?". Rakyat amat memahami kedudukan Lokman Adam yang dilantik sebagai pemikir JASA dan mendapat pelbagai habuan sudah pasti menjadi 'keperluan' bagi dirinya untuk menjadi penjilat mempertahankan tindakan membeli jet tersebut. Kata-kata manusia spesis kayu golek seperti Lokman Adam tidak boleh dipercayai kerana ke mana curam ke situ dia bergolek. Bagi manusia seperti ini 'keperluan' Najib dan pimpinan yang menyumbat temboloknya lebih penting dari 'keperluan' rakyat. Siapa minta Najib naik tongkang?

4.      Jika desakan keperluan itu terlalu bergelora, maka cukuplah dengan sebuah jet dan ditambah sebuah lagi disebabkan Tun Mahathir berkata pada zamannya hanya dua buah. Sebuah untuk keperluan pemimpin utama dan sebuah lagi sebagai persediaan jika berlaku kerosakan atau 'maintainance'. Bayangkan jika seperti yang dinyatakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, penggunaan jet peribadi ACJ319 itu melibatkan kos sebanyak RM28.8 juta setahun dalam bentuk sewaan, selain turut memakan belanja RM5.5 juta untuk penyelenggaraan. Ertinya setahun untuk sebuah jet perbelanjaannya adalah RM34.3 juta dan didarab 6 buah menelan belanja RM205.8 juta ringgit. Sebulan perbelanjaannya adalah RM17.15 juta. Itu belum lagi kos-kos sampingan yang lain. Buat pemimpin mungkin RM17.15 juta adalah hal kecil tetapi buat rakyat yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan entah bila bagaimana?

5.     Atas alasan keperluan dalam situasi rakyat hidup dibaluti kesusahan ditambah bakal berdepan dengan bahang GST yang akan dilaksanakan mulai awal bulan depan pastinya mengundang kebencian mereka. Ketika ekonomi negara dan rakyat 'lega', mungkin hal-hal sebegini tidak begitu mencetuskan kontroversi, tetapi situasi sekarang yang perit ditambah dengan isu-isu 1MDB, hutang negara ratusan bilion ringgit menyebabkan semua alasan yang dilihat menjurus kepada sikap dan perlakuan boros amat perlu dihindarkan. Jika berbelanja dengan boros wang sendiri sekalipun rakyat merasa geram apatah lagi menggunakan dana kerajaan yang merupakan hasil daripada rakyat maka jawapan kepadanya adalah sengaja menempah kebencian rakyat yang meluap-luap.

6.     Yang dinamakan keperluan sebenar adalah sesuatu yang dapat memberi manfaat secara merata kepada seluruh rakyat. Mungkin jika yang kurang mendapat manfaat terdiri daripada golongan kaya dan yang berpendapatan sederhana dan rendah pula dapat menikmatinya itu adalah lebih baik daripada hanya menjadi sumber 'geli' sekerat dua pemimpin di atas. Jika pemimpin sering menasihati rakyat agar berjimat-cermat dan ukur baju badan sendiri, ia tidak hanya terpakai kepada rakyat kerana jangan hanya berlagak seperti ketam mengajar anak berjalan betul. Retorik dan janji serta alasan bukan penawar kebencian rakyat. Ucapan-ucapan mulus dan gebu tidak akan mengenyangkan rakyat. Sebaik-baiknya difikirkan kata-kata ini, "Tidak semua yang kita ingin, mampu kita perolehi sebagaimana tidak semua yang kita perolehi adalah yang kita inginkan". Berhemah lah dalam berbelanja kerana setiap rakyat tidak buta dan pekak untuk melihat dan mendengar apa yang kamu perlakukan. Apabila rakyat dan musuh politik marah, kita tidak dapat menerima kritikan dan teguran kerana menyangka tindakan kita semuanya betul sedangkan apa yang kita buat adalah semata-mata demi kepentingan diri sendiri. "Orang yang sibuk mengejar kepentingan dirinya sendiri akan mencipta banyak lawan" dan jika kita sendiri yang mencipta banyak lawan, kenapa marah dan kecewa apabila apa yang kita hajati itu menjadi kenyataan? Bukankah itu yang diharapkan?

Wallahualam

SANI

Comments

Popular Posts