PESTA PORA


Assalamualaikum,

1.   Kata Prie GS, "Negara pun serupa perusahaan. Generasi pertama merintis, kedua membesarkan, ketiga pesta pora". Membaca kata-katanya itu buat saya terpanggil pada perkara sama disebut Ibnu Khaldun tokoh pemikir Islam terkemuka yang merupakan bapa sosiologi dan ahli sejarah. 

2.   Jika kita renungi apa yang berlaku dalam negara ketika ini, semuanya seolah-olah membuktikan kata-kata Ibnu Khaldun dan Prie GS itu suatu kebenaran yang membenarkan pengulangan peristiwa sejarah. Bayangkan betapa sukarnya bangsa kita berjuang untuk untuk membebaskan tanah air dari penjajah dalam tempoh beratus tahun tanpa henti bermula sejak penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan bertungkus lumus pula selepas itu mencapai kemerdekaan. 

3.   Selepas kemerdekaan, Parti Komunis Malaya pula memudaratkan keselamatan negara dengan pelbagai usaha militan dan mengganggu proses pembangunan negara sehingga ramai anggota pasukan keselamatan dan rakyat menjadi korban pengganas komunis. 

4.    Generasi muda sekarang mungkin ramai yang tidak mengenali nama-nama pembela bangsa seperti Hang Nadim, Panglima Awang (Henry The Black / Enrique of Malacca), Raja Haji, Daeng Kemboja, Patih Unus, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Si Bongkok Tanjung Puteri, Datuk Maharaja Lela dan ramai lagi yang telah dilupakan dan hampir luput nama mereka dari lipatan sejarah. Alangkah mulia hati dan jasa yang telah mereka tabur melalui jejak-jejak berdarah untuk kita nikmati sekarang ini. 

5.     Apa yang mereka korbankan hasil rintisan yang dilakukan membolehkan tokoh-tokoh besar selepas itu memimpin dan membangunkan negara dengan keringat penuh ranjau dan duri untuk membolehkan kita semua berada pada tahap ini. Teori RAHMAN sudahpun menjadi kenyataan dengan turutan bapa-bapa seperti berikut:-

R = Tunku Abdul Rahman - Bapa Kemerdekaan
A = Tun Abdul Razak - Bapa Pembangunan
H = Tun Hussein Onn - Bapa Perpaduan
M = Tun Dr Mahathir Mohamad - Bapa Permodenan
A = Dato Seri Abdullah Badawi - Bapa Pembangunan Insan
N = Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak - Bapa Transformasi
6.   Apakah yang akan terjadi pada Malaysia selepas semua pemegang akaun simpanan RAHMAN selesai dan menutup akaun? Gelaran bapa-bapa sudah dipenuhi dan mungkin kini giliran-ibu-ibu mengambil dayung untuk dikayuh?

7.     Sejak Perdana Menteri pertama YM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menerajui negara, susah senang rakyat jelas kelihatan menjadi keutamaan pemimpin demi membawa negara dan bangsa mencapai kehidupan sempurna walaupun penuh dengan cabaran. Peringkat pertama selepas kemerdekaan ini memperlihatkan betapa negara bergelut dengan ancaman pengganas komunis dan kesukaran untuk membangunkan negara. Peluang memperkayakan diri dan suku-sakat belum lagi mengintai kerana tanduk-tanduk syaitan belum tumbuh ketika itu. 

8.   Selepas berlakunya peristiwa hitam 13 Mei 1969, pemimpin mula bergelut untuk merapatkan jurang kemiskinan antara kaum yang menjadi punca utama peristiwa tersebut sehingga membawa kepada tergubalnya Dasar Ekonomi Baru. Legasi kepimpinan Tunku diteruskan oleh Tun Abdul Razak dengan matlamat utama membangunkan negara sehingga digelar Bapa Pembangunan. Tidak ada rongga-rongga yang membolehkan pemimpin ini berusaha ke arah kepentingan diri ketika itu dan kepimpinannya menimbulkan rasa hormat dan sayang oleh rakyat kepadanya. 

9.  Tun Hussein Onn pula melihat perpaduan sebagai wadah untuk menentukan kestabilan keselamatan dan kemakmuran negara dan usahanya juga membuahkan hasil yang positif untuk disambung oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Bapa Permodenan.  Di era beliaulah negara berada pada tahap yang cukup membanggakan rakyat dan negara. Pelbagai dasar untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi telah dilaksanakan termasuk Dasar Penswastaan, Dasar Persyarikatan Malaysia, Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Pembangunan Nasional dan Wawasan 2020. Ketika era beliau jugalah terbinanya Lebuhraya Utara Selatan dan Timur Barat, Pembinaan Jambatan Pulau Pinang, Pembinaan KLIA dan Bandar Sepang, Industri Otomobil Proton, KLCC, Menara Kuala Lumpur dan bermacam lagi. Ekonomi negara berada pada tahap yang cukup memberangsangkan ketika itu dan beliau dengan jayanya berjaya menangani krisis kewangan yang dihadapi pada tahun 1997 dengan begitu cemerlang sehingga amat dihormati oleh negara-negara luar khususnya negara jiran. 

10.  Bermula era Tun Abdullah Badawi, tanda-tanda pesta pora telah bermula dengan berlakunya campurtangan menantu secara keterlaluan sehingga membawa kepada peningkatan rasa benci rakyat kepada kepimpinannya. Kebencian itu telah diterjemahkan ke dalam peti undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 tahun 2008 sehingga menyebabkan Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969 gagal mendapat 2/3 kerusi parlimen. Keputusan PRU12 ini dianggap sebagai bencana Tsunami Politik akibat sokongan pengundi Cina beralih kepada pembangkang.  Situasi ini menjadikan Tun Abdullah Badawi yang lebih mesra dipanggil Pak Lah terpaksa meletak jawatan dan memberi laluan kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

11.   Hukuman diterima oleh Pak Lah daripada rakyat nampaknya tidak dijadikan iktibar oleh penggantinya Najib. Kesilapan sama bukan saja diulang bahkan menjadikan pesta pora semakin gamat dengan gelekan dan aksi latah keterlaluan isterinya sehingga menjadi bahan 'parodi' dan 'troll' di kalangan rakyat. Najib dilihat seperti hilang kawalan ke atas gelagat isteri dan juga barisan menteri-menteri kabinetnya dan sekali lagi BN bukan saja gagal mendapat majoriti 2/3 kerusi parlimen dalam PRU13, malah keputusan itu menunjukkan prestasi Najib lebih buruk berbanding Pak Lah di mana pada PRU12 BN memperolehi 140 kerusi sementara dalam PRU13 hanya mampu mendapat 133 kerusi. Jika PRU12 dianggap sebagai Tsunami Politik, maka PRU13 pula gelombang Tsunami itu lebih besar apabila pola pengundian pengundi Cina masih kuat melekat kepada pembangkang. Keptusan ini juga secara tidak langsung memperlihatkan pendekatan Dasar 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib tidak digemari oleh rakyat. Bukan Melayu memanipulasi gagasan ini sementara bangsa Melayu pula merasa terpinggir.  Pelbagai masalah kaum satu-persatu muncul selepas itu dengan ketegangan kaum dan agama silih berganti yang sebelumnya dengan mudah dilenyapkan kini bertali arus. Isu-isu kaum menjadi senjata oleh individu-individu, pertubuhan dan juga parti politik untuk menjadi juara di gelanggang lawak. Keadaan ini amat tidak baik buat sesebuah negara yang pada bila-bila masa saja boleh menyebabkan keadaan keselamatan tergugat. 

12.  Kedudukan ekonomi negara pula semakin parah dengan inflasi semakin meruncing. Isu peningkatan harga barang kawalan, perkhidmatan dan pengangkutan serta bahanapi menambah kesempitan rakyat. Keadaan jenayah juga tidak kurang hebatnya menyebabkan rakyat kian resah dan mengeluh. Isu-isu yang berjaya memancing simpati rakyat pada pembangkang amat mudah bergolek kerana ia umpama retak mencari belah. Dalam situasi seperti ini, dengan kemunculan isu besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa gagal diurustadbir sehingga mengalami kerugian berbilion ringgit pastinya meletakkan Najib dalam 'kawah menggelegak'. Rakyat begitu alergik dengan kegagalan mengurus kewangan, ketirisan dan juga apa saja kaitan dengan perkataan BOROS apabila kehidupan mereka kian sukar. Oleh yang demikian, situasi sekarang tak ubah sudah terbakar disimbah petrol dan harus ada pendekatan telus untuk meyakinkan rakyat agar mereka tidak dibawa oleh arus persepsi negatif yang semakin deras. Penjelasan isu 1MDB kepada hanya ketua-ketua bahagian UMNO tidak mampu mengikis persepsi negatif rakyat terhadap syarikat pelaburan ini kerana akhirnya yang akan mengundi parti pemerintah dalam PRU adalah rakyat secara keseluruhannya. Undi ketua-ketua bahagian UMNO sahaja tidak cukup untuk memenangkan BN. Lebih wajar ia dijelaskan secara terbuka dan meluas bagi menangkis sebarang dakyah yang boleh memburukkan keadaan. 

13.   Seno Gumira Ajidarma menulis dalam bukunya 'Surat Dari Palmerah', "Sejak kecil kita dibiasakan untuk percaya, bahawa orang jahat tempatnya berada dalam penjara. Setelah dewasa kita melihat sendiri, banyak juga orang baik-baik di dalam penjara, sebaliknya orang jahat bebas berkeliaran, dan disebut orang baik-baik. Mereka disebut birokrat, teknokrat, pengusaha, bahkan juga kadang-kadang disebut cendiakawan." 

14.   Kenapa harus orang jahat di luar penjara dan yang baik sebaliknya di dalam? Rakyat yakin dan percaya dalam setiap kemelut ekonomi, kegagalan tadbir urus organisasi dan pincangnya tunggak kepimpinan asasnya adalah kriminalitas. Kriminal tempatnya harus dipenjara seperti kepercayaan ketika kita kecil sehingga dewasa. Untuk membersihkan setiap ruang yang didiami rakyat di negara ini dari kriminal, maka sudah pasti kriminal di dalam penjara bukannya rakyat. 

15.    Kata-kata Prie GS sudah menghampiri garisan penamat untuk diistiharkan sebagai orator ulung yang berjaya membuktikan hipotesisnya itu tepat. Jika masih berhajat untuk menafikan kata-katanya, buktikan dengan tindakan bukan retorik. Retorik ada medannya dan lapar medan selera habuannya. 

Wallahualam

SANI

Comments

Popular Posts