JENIS APAKAH KAMU?



Assalamualaikum,

1.   Kepimpinan dan pemimpin itu teramat penting dalam sesebuah masyarakat. Jika elok dia maka eloklah masyarakat. Lantaran itu ada pepatah mengatakan bahawa membusuknya ikan dari kepala. Seruan agama menunjukkan tidak ada sebab untuk kita tidak memilih pemimpin kecuali yang khianat ke atas amanah diberi kepadanya. Betapa penting dan luhurnya seseorang pemimpin itu tergambar dari seruan agama untuk melantik pemimpin walau dengan apa cara sekalipun. 

Sabda Rasulullah (s.a.w.):

Apabila tiga orang keluar bermusafir maka lantiklah ke atas mereka seorang untuk menjadi ketua.” (Abu Daud)

Sabda Rasulullah (s.a.w.):

“ Tidak halal bagi tiga orang yang berada di satu tempat melainkan dilantik seorang daripada mereka seseorang sebagai ketua.” (Imam Ahmad)


2.   Ertinya, pemimpin merupakan elemen penting dalam masyarakat dan pastinya ia dipilih dari kalangan yang terbaik di antara mereka. Namun demikian, adakah kita memilih dan melantik pemimpin bersesuaian dengan kelayakan serta ciri-ciri yang patut ada pada seseorang pemimpin? Apakan daya kuasa memilih pemimpin sebenarnya bukan datangnya daripada kita kerana kuasa memilih  ada pada tangan pemimpin utama. 

3.   Pemimpin utama pula dipilih oleh pengundi kawasan di mana dia bertanding dan ahli partinya sahaja. Oleh itu, amat tidak tepat sekali apabila ada suara-suara yang mengatakan bahawa jika dia tidak bagus kenapa kamu memilih dia? Sistem memilih pemimpin di negara kita khususnya orang nombor satu tidak seperti di Amerika, Indonesia atau negara-negara yang memilih pucuk pimpinan melibatkan seluruh rakyat. 

4.   Di negara ini, pemimpin akan mampu bertahan selagi dia menjadi calon dalam pilihanraya, menang dan juga memegang jawatan dalam parti. Itu bermakna, hanya segelintir dari puluhan juta rakyat negara ini yang memilih beliau. Tidak timbul soal kenapa kamu memilih dia. Hanya yang jahil dengan sistem di negara sendiri bersuara demikian. Saya selalu berpesan kepada kenalan supaya apabila lembu membuka mulut, cepat-cepatlah kamu berlari menyuap rumput jangan dibiarkan lembu bercakap kerana pastinya menyebabkan keadaan cukup gawat.

5.    Sekiranya kita memerhati dan menilai pemimpin-pemimpin yang membarisi persada politik negara samada di pentas peneraju atau pembangkang, maka kita akan dapat melihat pelbagai jenis pemimpin dengan mirip perwatakan yang ditonjolkan oleh mereka samada secara sedar atau sebaliknya. Jenis-jenis itu membawa watak-watak yang mereka sendiri pilih secara rela dan penuh bangga.

# Jenis Posmen
Tidak bermakna posmen itu tidak cerdik tapi fitrah tugasnya hanyalah mengirim surat. Apa saja yang dikirim maka itulah yang dihantar walaupun di dalamnya hanyalah najis kering. Apatah lagi yang memang bodoh dipilih menjadi posmen maka bertambah teruklah pemimpin itu. Apa saja yang diminta oleh ketuanya tetap dihantar walaupun amat merugikan majoriti rakyat. 

# Jenis Beruk
Tahap kebergantungan pada ketuanya cukup luar biasa. Siang malam minatnya adalah bergantung. Tanpa ranting pergantungan mati dibuatnya. Ketua hanya perlu menyediakan banyak ranting dan itu menjadi senjata pada ketua untuk mengarahkannya buat bising dan panjat sana sini hanya dengan upah bergantung.

# Jenis Burung Belatuk
Apa saja yang ketuanya cakap, semuanya diangguk. Salah angguk betul pun angguk. Malangnya ketua pun spesis belatuk maka kedua-duanya angguk-mengangguk.

# Jenis Ayam Belanda
Kalau seekor ayam belanda terkejut lalu berketak, semua ayam belanda lain turut berketak. Kalau ada sepuluh, kesemua sepuluh akan turut berketak. Kalau seratus maka seratus semuanya berketak. Ini yang dapat kita saksikan setiap kali sidang parlimen berjalan dan dipancarkan di media elektronik untuk tayangan sarkas percuma.


# Jenis Anjing
Dipelihara oleh tuannya hanya untuk menakut-nakut orang lain dan menjaga hartanya. Selain itu kerjanya menyalak siang dan malam. Ketaatan kepada tuannya amat luarbiasa. 

# Jenis Katak
Setiap masa bertasbih meminta hujan sepertimana pemimpin yang setiap masa merengek-rengek minta habuan dari ketuanya. Semakin banyak habuan dilimpahkan, makin kuatlah melompat ke sana sini kegembiraan.

# Jenis Ular Kepala Dua
Di pihak mana adanya mangsa, di pihak itulah dia mematuk. Ketuanya sendiri pun dipatuk jika tak berhati-hati dengan dia.

# Jenis Biawak
Sebab itu ada pepatah mengatakan umpama menggalas biawak hidup. Habis bahagian belakang penggalasnya dicakar angkara menggalas biawak hidup. Hasil entah ke mana belakang badan mendapat habuan cakaran biawak.

# Jenis Babi
Di mana ada najis dan benda kotor di situlah dia menyondol. Semakin kotor semakin sukalah dia. Pemimpin jenis ini hidup dengan benda kotor terutamanya rasuah. Modalnya benda kotor dan bahan lucah yang kotor jadi modal untuk diberi pada ketuanya untuk mencemarkan nama orang lain. Lagipun, pemimpin jenis ini tak kenal erti malu maka ketuanya menggunakannya sebagai benteng untuk menjauhi musuh-musuhnya. Nak didekati bimbang tercemar dan nak dimaki hamun memang dia tak peduli. 

# Jenis Badak
Memang terkenal dengan kehebatan PEKAK dan TULI SEhingga disebut sebagai 'pekak badak'. Apa yang rakyat cakap dipekak dan ditulikan telinganya. Tak ada benda yang boleh menyebabkan dia pening kepala kerana dia memang pekak sesuai dengan kebadakannya.

# Jenis Anai-Anai
Kerjanya setiap masa adalah menjahanamkan apa saja yang dibina. Pemimpin jenis ini kerjanya tak ada lain selain melingkop apa yang dibina selama ini. Buat bangunan dilelongnya, diberi memimpin organisasi dengan organisasi itu habis punah ranah jadi korban kecelakaannya. 

# Jenis Keldai
Tugasnya hanyalah menjadi tunggangan orang. Memimpin tak tahu dan hanya ditunggang siang dan malam. Letak beban dibelakangnya maka dipikulnya ke sana sini mengikut telunjuk tuannya.

# Jenis Kutu.
Kerjanya tinggal atas kepala dan menghisap darah kepala tuan tempat dia menumpang. Habis gatal-gatal dan berkudis kepala orang yang dia hinggap menumpang. Jenis ini bersepah-sepah kerana bagi dirinya, matlamat dia dicipta adalah penghisap darah rakyat.  

#  Jenis Nyamuk
Terbang sana-sini bawa penyakit dan menganggu orang. Pemimpin jenis ini jika di dalam sidang dewan rakyat atau Dewan Undangan Negeri tidak akan membawa manfaat kecuali mengganggu orang dan bawa penyakit. Ubat dan cara mengatasinya adalah dengan menyembur racun serangga.

# Jenis Monyet
Jenis ini diberi bunga habis dirosakkannya dan benda yang berguna menjadi sebaliknya. Habis peninggalan pemimpin sebelum dia dirosakkannya. Diberi pisang dicebik pemberi pisang. Jenis tak tahu mengenang budi. 

# Jenis Serigala
Jangan dipercaya pemimpin jenis ini kerana pantang alpa habis kambing sekandang dibahamnya. Diberi amanah dikhianatinya. Habis harta, habis wang diselewengkannya. Yang penting baginya adalah memenuhkan perut  buntal yang tidak pernah kenyang.

6.   Sebenarnya banyak lagi jenis pemimpin yang kita ada di negara ini jika diamati. Bayangkan jika seorang pemimpin yang memiliki kesemua sifat-sifat binatang di atas? Sudah pasti teramat siksanya rakyat memiliki pemimpin sedemikian rupa. Jika sejenis pun sudah sengsara, inikan pula semua sifat ada pada dirinya.

7.   Oleh itu, kita sebagai manusia yang dianugerahkan akal dan fikiran yang sempurna, pilihlah pemimpin yang berkelayakan sebagai pemimpin bukannya perlu dipimpin bahkan memakai lampin. Memilih calon pemimpin, pilihlah mereka yang akan mempamirkan diri sebagai pemimpin terbaik dan layak dipilih masyarakat untuk membawa, agama, bangsa dan negara maju dan makmur di masa hadapan.

8.   Jangan dipilih di kalangan mereka yang meminta dan menginginkan sesuatu jawatan kerana dia akan berusaha keras untuk mendapatkannya hingga dapat tetapi kemudiannya akan merendahkan agamanya demi mencapai jawatan tersebut, serta melakukan apa saja meskipun perbuatan maksiat untuk mendapatkannya atau untuk mempertahankan kedudukan yang telah diraih. 


9.   Jadikan ciri-ciri kepimpinan Baginda Rasulullah saw sebagai acuan. Figur kepemimpinan Nabi Muhammad yang asas adalah;

# Siddiq (berkata jujur)
# Fathonah (cerdas)
# Tabligh (mampu berkomunikasi)

# Amanah (boleh dipercayai) 

Wallahualam

SANI

Comments

Popular Posts