Ikan Vietnam

Salam,


1.   Pada 14 Ogos 1993, Tan Sri Sanusi Junid telah berucap di Dewan Pameran Tun Abdul Razak PWTC. Dalam ucapannya, antara yang menarik perhatian saya yang membaca koleksi ucapannya adalah mengenai 'Ikan Vietnam'. Katanya, ketika melawat Vietnam, dia dibawa ke satu kolam ikan di hadapan rumah Ho Chi Minh bapa kemerdekaan Vietnam. Pemandu pelancong meminta beliau menepuk tangan dan apabila ditepuk tangan maka melompat ikan dari dalam kolam. Apabila diminta menepuk tangan lebih kuat, ikan dari dalam kolam itupun lebih kuat melompat. Kata Sanusi lagi, semakin kuat tangan ditepuk, semakin banyak ikan melompat dan ianya membuat dia hairan bagaimana ikan-ikan itu tahu bahawa dia Menteri Pertanian. Selepas itu, Sanusi meminta bodyguard dan pemandunya juga bertepuk tangan dan ikan-ikan itu turut melompat-lompat keluar dari dalam kolam. Sedarlah Sanusi bahawa rupa-rupanya ikan-ikan itu melompat atas arahan Ho Chi Minh. Ketika Ho Chi Minh masih hidup, dia selalu ke kolam itu dan bertepuk tangan dahulu baru ditabur makanan ikan. Bila ikan dengar tepukan maka ikan tahu makanan akan datang. Bila makanan akan datang maka ikan-ikan itu tahu mereka perlu melompat. Ikan- ikan ketika Ho Chi Minh pelihara sudah mati kerana beliau meninggal dunia pada tahun 1969 tetapi ikan-ikan itu berpesan kepada anak-anak hingga ke cucu-cicit tahu sebelum mendapat makan perlu melompat. Sekarang jika pelancong ke sana mahu menangkap ikan tak perlukan umpan, hanya perlu tepuk tangan dan ikan pasti melompat. Tunggu dengan sauk, tangkap, siangkan dan masuk dalam kuali.

2.    Nampaknya Melayu pun begitulah agaknya kerana dilatih bertubi-tubi ketika di dalam Dewan Merdeka PWTC untuk bertepuk tangan dan ramailah pula yang melompat-lompat setelah diumpan. Dengar tepukan maka secara otomatisnya akan melompat dan bila sudah melompat mudah pula untuk lehernya dipotong. Budaya tepuk dan melompat ini bukan saja berjaya diterapkan di dalam Dewan Merdeka PWTC, malah ia dibawa sehingga di mana saja dewan ketika pemimpin melawat termasuk dewan orang ramai. Mudah sangat termakan umpan sehingga lompat-lompatan mengalahkan 'Ikan Vietnam'. Hanya untuk sedikit dedak atau habuan, tepuk dan lompat jadi tarian ronggeng dan rambong siam.

3.    Sampai bila harus Melayu menjadi pelompat-pelompat amatur seperti ini? Tidak kiralah samada lompat jauh, lompat tinggi, lompat galah atau lompat pagar, yang pasti lompat untuk mengisi tembolok dan itu menjadi senjata pemimpin-pemimpin yang nazak untuk terus berkuasa. Apabila ada mana-mana individu atau pihak yang mengatakan mereka sudah tidak lagi memiliki kelayakan untuk memimpin, maka ikan-ikan yang melompat akan tiba-tiba muncul berduyun-duyun bersuara menyatakan pemimpin-pemimpin yang tidak layak itu penuh kelayakan dan wajib diertahankan kerusi bertatahkan intan-berlian itu. Untung-untung ikan-ikan yang melompat tadi dapat makan berlian jika terjatuh sebiji-dua dan kenyangnya bertahun-tahun berbanding makanan yang biasa diperolehi. Sekurang-kurangnya sebelum menjadi ikan goreng, ikan stim atau ikan pekasam, isi tembolok masing-masing sepenuh-penuhnya apabila mendengar tepukan. Pulang ke kawasan masing-masing mereka pula menjelma menjadi tukang tepuk dan orang-orang di kawasan pula menjadi ikan-ikan yang melompat. Begitulah seterusnya berlaku dari atas hingga ke bawah yang hidup menjadi 'Ikan Vietnam' yang melompat-lompat mendengar tepukan dan pesanan itu akan diwariskan turun-temurun lebih dari tujuh keturunan. Sebaik-baiknya digantikan laungan 'Hidup Melayu' kepada 'Hidup Ikan' kerana yang ada adalah ikan dan ikan tidak ada ikan Melayu, Ikan Cina, Ikan India, Ikan Siam, Ikan Benggali dan lain-lain. Begitu ramai yang belum duduk sudah belunjur jika kita sanggup menahan perut melihat jenaka ketika perhimpunan ikan-ikan sehinggakan belum lagi pemimpin berkata apa-apa sudah diangguk kepala tanda setuju. Buat mereka yang penting adalah 'biar alah sabung tapi menang sorak'.

4.    Nampaknya pepatah "Tidak ada kekayaan yang melebihi akal, dan tidak ada kemelaratan yang melebihi kebodohan" tersimpan kemas dalam simpanan gerombolan mereka yang namanya manusia tetapi mengabdikan diri menjadi 'Ikan Vietnam'. Hidup itu indah, jikalau kita tahu cara menghargainya dan untuk menghargainya, manusia jadilah manusia bukannya ikan dan untuk menjadi manusia, jagalah maruah dan prinsip diri agar tidak dinjak-injak oleh tukang tepuk tangan yang hidupnya dapat diteruskan hanya berbekalkan tepukan bukannya akal yang menjadi harta tidak ternilai buat semua makhluk bernama manusia.

'Hidup Ikan!'

Wallahualam

SANI


Comments

Popular Posts