KERUSI

Salam,

1.     Menyebut perkataan kerusi, pastinya ramai yang terbayang kerusi di sekolah, kerusi di pejabat, kerusi di kedai makan, kerusi di istana dan macam-macam lagi. Namun demikian, kerusi-kerusi ini tidak lah sampai menjadi perebutan sehingga ada yang sanggup membunuh, mengkhianati dan juga tidak kurang yang menggunakan ilmu hitam. Apa tidaknya, lihat sejarah pembunuhan Dato' Mohamad Taha Talib mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan yang mati dibunuh pada 1982 akibat sengketa politik dan perebutan jawatan dalam politik UMNO. Itu belum kerusi-kerusi panas seperti jawatan-jawatan penting dalam parti seperti Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ketua-ketua sayap parti termasuk lah jawatan dalam kerajaan yang berpunca daripada kedudukan dalam parti seperti PM, TPM, MB, menteri-menteri, Exco dan lain-lain. Ketika saya bekerja dulupun, kerusi saya itu walaupun tidak lah sehebat manapun, tetap menjadi kegilaan dan cemburu. Setiap kali saya tidak ada di pejabat, kerusi itu sering ditepuk-tepuk dengan kata-kata, "Kerusi ni tak lama lagi milik aku ni!". Begitulah hebatnya kerusi. Jika nak diikutkan, meja lebih besar dari kerusi, tetapi kerusi juga yang jadi igauan dan idaman.

2.     Apa yang sebenarnya dapat kita lihat, manusia lebih melihat kerusi itu sebagai simbol kuasa dan kekuasaan akan seterusnya meniupkan ribut dan taufan menghimpun kekayaan dan pengikut. Kerusi tidak dilihat sebagai simbol amanah yang amat berat lagi membebankan dan penuh dengan segala macam runtunan untuk memenuhi kehendak serta keperluan rakyat dan yang dipimpin. Manusia buta amanah dan hanya mampu melihat bintang-bintang begemerlapan yang akan memenuhi setiap kerusi yang dimimpikan. Benarlah kata-kata Khalifah Umar al-Khattab. "Jangan engkau percaya melihat kegagahan seorang lelaki. Tetapi jika mereka teguh memegang amanah dan menahan tangannya daripada menganiayai sesamanya, itulah lelaki yang sebenarnya". Kelelakian dan kegagahan hanya tampak pada pangkat dan jawatan sehingga amanah sudah tidak bermakna lagi. Mungkin kerana itu juga gadis-gadis dan wanita melihat kegagahan lelaki pada kerusi mana yang didudukinya. Dapat yang berkerusi penting maka dapat juga bergelar Datin dan Datin Seri. Jika bernasib baik dapat bergelar Puan Sri dan Toh Puan dan alangkah bertuahnya mereka?

3.     Kerusi yang beralas amanah sudah sinonim dengan kerusi yang akan mengaut dan memunggah harta dan wang tidak kira dari mana arahnya. Dari selatan hingga utara dan timur sampai ke barat selagi bernama harta dan wang maka ia adalah milik pemegang kerusi tersebut. Halal haram bukan halangan, hanya halangan yang patut dihapuskan. Barang siapa yang hatinya kehilangan sifat amanah, maka ia akan menjadi orang yang mudah berdusta dan khianat. Dan siapa yang mempunyai sifat dusta dan khianat, dia berada dalam barisan orang-orang munafik. Buat rakyat, banyakkan bersabar dan percayalah, "Baik padi segenggam dengan senang hati, daripada padi selumbung dengan susah hati". Bayangkan kerusi apa yang bakal kamu perolehi selepas hidup sesudah mati.

4.     Kerusi roda di hospital hanya menjadi rebutan para pesakit-pesakit yang tidak mampu membeli kerusi roda sendiri lantaran kekangan hidup yang tidak berkesudahan. Buat mereka, dapat duduk di kerusi roda sudah terlalu nikmat berbanding perlu mengesot atau dipapah oleh keluarga dan insan tersayang. Alangkah kasihannya nasib mereka jika dibandingkan dengan golongan yang gila kerusi sedangkan ia berlingkar dengan amanah. Pandangan saya, alangkah baiknya yang gila kerusi seperti itu kita sebagai rakyat bersepakat menghadiahkan kepada mereka KERUSI ELEKTRIK.

Wallahualam

~: Sani :~


Comments

Popular Posts