BERANI BERUBAH

Salam,
1.    Slogan 'Berani Berubah', 'Transformasi' dan bermacam lagi UNGKApan yang dimomokkan tidak lebih seperti UNGKA dan lutong di hutan. Bergayut di ranting sini dan meloncat ke dahan sana. Namun, akhirnya yang ungka tetap ungka dan lutong tidak akan berubah menjadi singa. rakyat yang mendambakan perubahan hanya mendapat percikan air liur pemimpin saban hari tanpa sebarang perubahan kerana pemimpin tetap menipu tidak berubah. Bayangkan betapa sukarnya rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan awam bersesuaian dengan tempat dan lokasi kediaman mereka. Pemerintah tidak sepatutnya hentam keromo atau menyimpulkan masalah rakyat sama di seluruh negara. Bukan semua tempat atau kawasan mempunyai kemudahan LRT dan monorel, bukan semua tempat ada 'Rapid KL atau rapid Penang'. Yang rapid adalah masalah, bukan usaha penyelesaian yang rapid. Rasa-rasanya yang banyak adalah 'rapist' hingga indeks jenayah rogol kian meningkat hari ke hari. Tidak kisahlah samada ianya adalah rogol rela atau tidak rela kerana indeks yang dicatatkan adalah rogol dan rogol berkait rapat dengan 'rapist'.

2.    Sebahagian rakyat dan ramai pemimpin yang masih tegar sebagai makhluk yang gerun dengan perubahan. Puncanya tidak dapat tidak berpunca daripada sikap pemimpin sendiri yang hanya bergema dengan laungan 'transformasi' dan 'ubah', namun hakikatnya kekal kaku dan sebati dengan penafian untuk berubah. Lihat saja dalam isu pengangkutan awam, tahap mana kita sebagai rakyat dalam negara ini berada? Sudahlah masalah parkir terus mengasak ke dinding, pengangkutan awam pula tidak pernah jemu menyondol-nyondol dengan masalah. Jika di bandar, masalah sampai lewat ke pejabat terus menjadi isu yang sukar diselesaikan kerana alasan masalah pengangkutan awam. Hendak memandu, ada yang tidak mampu memiliki kenderaan sendiri, ada yang mampu memiliki tetapi tidak mampu menanggung kos perjalanan malah ada yang tidak mampu berdepan masalah parkir.

3.    Bagi kawasan luar-bandar pula, lebih banyak pondok menunggu bas dari bas yang lalu di kawasan tersebut. Contohnya di Perlis, pondok menunggu bas berselerak, tetapi bas yang lalu memberi perkhidmatan pada rakyat langsung tidak ada. Ini termasuklah penduduk di Kedah dan negeri-negeri lain yang turut menghadapi masalah sama. Nak mengharapkan pemerintah datang menyelesaikan masalah rakyat, alamatnya 5 tahun sekali baru menjenguk hingga ke pintu tandas duduk bersimpuh dan berbuih-buih dengan janji-janji muluk yang sudah diketahui bila akan tertunai. Semuanya mudah diramal kerana pemerintah dan pemimpin di negara ini tidak pernah berubah. Mereka tetap kekal dengan slogan 'BERUBAH' tetapi tidak berubah.

4.   Untuk kesekian kalinya, maka rakyat dan beberapa individu tampil dengan cadangan agar sistem pengangkutan awam seperti di Thailand, Indonesia, Filipina dan beberapa lagi yang menggunakan perkhidmatan 'Tuk-Tuk' atau motor penambang di Thailand, 'Bajai' dan 'Ojek' di Indonesia dan di negara lain entah apa dipanggil nama kenderaan itu. Tetapi fungsinya adalah sama untuk memudah dan membantu rakyat. Kenderaan-kenderaan ini mudah dan begitu cekap serta pantas untuk sampai ke destinasi serta kemudahan untuk berada di kawasan kediaman penduduk khususnya di luarbandar dan pinggir bandar hatta di bandar. Kos tambang juga rendah dan ini dapat membantu rakyat menjimatkan sara hidup mereka. Bukankah itu yang dijanjikan oleh setiap pemimpin apabila diberi peluang berucap?

5.    Seperti yang saya sebutkan di awal perenggan artikel ini, rakyat juga sudah dijangkiti sindrom enggan berubah sepertimana pemimpin di negara ini. Setiap kali ada cadangan untuk kebaikan, maka akan ada bantahan dan tentangan. Alasannya mudah, cadangan itu menyusahkan mereka serta merugikan persatuan teksi dan bermacam-macam lagi alasan yang dipunggah dari tempat pelupusan sampah. Sistem pengangkutan dalam negara kita nampaknya masih kuat bertahan dengan tradisi tidak mesra rakyat dan tidak banyak membantu mereka yang jauh dari memenuhi keperluan rakyat. Bukan semua rakyat memiliki kenderaan sendiri dan jika ada pun masalah parkir menjadikan mereka keliru samada untuk memandu sendiri atau menaiki pengangkutan awam yang tidak mengawamkan perkhidmatannya. Jadual yang sering berantakan ditambah sikap pemandu bas dan teksi yang hanya layak menjadi raja di hutan menambah lagi punca-punca serangan jantung dan migrain. Yang untungnya adalah kilang panadol actifast. Alasan 'standard' pemandu teksi biasanya adalah "jalan itu tak boleh sebab sesak", " saya tak lalu jalan itu" sehingga alasan lebih banyak daripada masa yang sepatutnya digunakan untuk menghantar penumpang. Penumpang di negara ini pula patut dipuji kerana takut teramat sangat kepada pemandu bas atau teksi. Almaklum lah, kan mereka penumpang yang mindanya penumpang. Penumpang bagi rakyat negara ini kena sedar diri dia adalah penumpang walaupun gaji pemandu teksi dan bas itu adalah asalnya dari wang penumpang. Buat lah sesuka hati kerana penumpang siap sedia untuk menggeletar takut akan pemandu pengangkutan awam.

6.    Namun, sebaik ada saranan untuk diwujudkan 'Tuk-Tuk' atau motor penambang di Thailand, 'Bajai' dan 'Ojek' di Indonesia, pemandu dan pengusaha teksi serta bas pula yang menggeletar dan membantah. Jika alasan sekiranya ada pengangkutan jenis ini akan menyebabkan mereka gulung tikar, apa salahnya mereka pula menjadi pemandu Tuk-Tuk atau Bajai? Jika atas alasan keselamatan penumpang, berapa banyak kes kemalangan berlaku di Thailand dan Indonesia atau Filipina melibatkan kenderaan jenis ini? Jika keselamatan dari sudut jenayah termasuk samun dan rogol berapa statistik yang pernah dicatatkan di negara-negara yang disebutkan tadi? Jika Malaysia terdedah kepada perbuatan jenayah dan kemalangan jika menggunakan pengangkutan jenis ini, maknanya kita mengakui rakyat negara ini lebih jahat dan kejam serta mempunyai kecenderungan melakukan jenayah lebih tinggi berbanding Thailand, Indonesia dan Filipina serta Vietnam. Jika sebelum ini ada yang mengatakan 'Siam perut hijau' maknanya 'Orang Malaysia perut hitam'.
7.     Jika kita pentingkan kemudahan dan keselesaan rakyat, persetan Persatuan Teksi atau bantahan-bantahan yang hanya mementingkan sekerat dua rakyat berbanding kepentingan majoriti rakyat. Jangan pula permit teksi dijadikan alasan kerana ianya sebahagian daripada lombong emas buat sebahagian pemimpin. Rakyat tidak minta Tuk-Tuk atau Bajai jadi kenderaan ke lapangan terbang dan lokasi-lokasi yang terlalu jauh, memadai dengan sekitar perimeter 5-10 km radius. Lebih baik cadangan yang dianggap gila berbanding mereka yang benar-benar gila kuasa dan gila memunggah khazanah negara untuk kepentingan diri sendiri. "Lead and inspire people. Don't try to manage and manipulate people.Inventories can be managed but people must be led".

Wallahualam

SANI





Comments

Popular Posts