Kelebihan berlebih-lebihan adalah kekurangan

Salam,

1.   Kata
 Prie GS, karyawan dari seberang yang saya hormati lagi kagumi, "Kelebihan yang dibuat berlebih-lebihan adalah kekurangan". Sesungguhnya apa yang dinyatakan oleh beliau ternyata telah dibuktikan oleh manusia sejak zaman-berzaman. Lihat saja kisah seorang raja yang akhirnya bertelanjang bulat tampil dihadapan rakyat setelah di tipu oleh penasihat-penasihat yang jahat lagi rakus. Kelebihan baginda sebagai raja menjadi kekurangan apabila mudah termakan pujian dan gula-gula oleh penjilat-penjilat tegar yang sentiasa ternganga menanti habuan. 




2.   Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin dan suku-sakat atau keluarga mereka yang kaya raya dengan menggunakan kedudukan masing-masing untuk memunggah khazanah negara. Kelebihan itu yang dianggap sebagai kelebihan sebenarnya adalah kekurangan jika tidak berbekalkan kebijakan akal kurniaan Allah swt. Mereka semakin tamak dan haloba sehingga memunggah dan mengkhianati amanah rakyat seakan-akan tidak ada dosa dan celanya. Rakyat yang perlu berbelanja RM10 dan RM20 terkial-kial menggeletar mencari wang di dalam kocek dan dompet sedangkan mereka dengan selamba puluhan ribu menggunakan aset negara untuk hanya satu jam. Membeli itu dan ini jutaan ringgit tanpa memikirkan betapa rakyat sedang bergelut dengan keperluan untuk meneruskan kehidupan. Apa makna kelebihan seperti ini jika ianya tidak akan dapat membantu kita hidup senang selepas kita dibangunkan semula nanti dan ianya adalah kehidupan yang kekal selama-lamanya?

3.   Tidak salah sekiranya kelebihan dihadirkan dalam diri seseorang jika itulah anugerah yang diberikan kepadanya oleh Maha Pencipta. Tetapi kelebihan itu haruslah membawa kemaslahatan kepada ummah tanpa mengira kelompok atau suku-sakat. Kelebihan itulah sewajarnya menjadi kenderaan untuk memunggah pahala kepada dirinya hasil daripada manfaat yang ditumpahkan kepada orang lain. Tidak kiralah samada kelebihan itu dari sudut bakat, kebijakan, tenaga, kekayaan, ilmu dan apa saja.

4.   Jika kekurangan yang kita terima, maka di sinilah kelebihan orang lain menjadi wadah untuk penghasilan pahala serta timbal balik antara kedua-duanya. Setelah mengetahui kelebihan dan kekurangan kita, apa yang akan kita lakukan ? Langkah pertama adalah menerima dengan lapang dada bahawa kita memiliki kelebihan sekaligus juga memiliki kekurangan. Secara singkat, itu berarti kita menerima kelebihan dan kekurangan dengan menjadi diri sendiri. Tidak ada yang salah dengan diri anda dan tidak ada jawapan atas pertanyaan mengapa saya seperti ini. Tuhan sememangnya menciptakan manusia dengan keunikannya sendiri dengan tujuan untuk saling melengkapi.

5.   Langkah berikutnya adalah berusaha untuk berubah, setiap hari dan di dalam setiap kesempatan. Kabar baiknya, Tuhan selalu menempatkan kita pada situasi yang tidak kita senangi dan tidak kita harapkan terjadi dalam hidup kita. Di sini kita mempunyai pilihan untuk menghadapi atau menghindarinya. Ketika kita memilih untuk menghindari situasi tersebut berarti kita menunda untuk sementara waktu hikmah yang bakal datang. Semakin bersemangat berdepan ujian Allah swt samada kelebihan atau kekurangan maka semakin cepat kita mengenal diri sendiri. Sebenarnya, kelebihan juga adalah ujian maha besar yang diberikan Allah swt kepada kita. Lantaran itulah disebut, untuk mengenali seseorang dengan ketulinan penampilannya adalah dengan memberi kuasa dan kelebihan. Besi diuji dengan api sementara manusia diuji dengan kuasa dan kelebihan.

6.   Malangnya, tidak sedikit yang tersungkur dengan ujian kelebihan berbanding kekurangan apabila hanyut dibuai mimpi yang menjadi nyata walaupun sebenarnya adalah igauan ngeri jika tidak mampu sedar sebelum mimpi itu memusnahkan dirinya sendiri. Semuanya berpunca daripada sikap berlebih-lebihan dan menjadikan Firaun dan Qarun sebagai mentor ataupun idola dalam kehidupan seharian mereka. Ingatlah, langit tidak selalu cerah dan roda kehidupan tidak akan terus di atas. Jika tidak mendapat hukuman atas keangkuhan dan keterlanjuran yang dilakukan itu di dunia, pastinya di akhirat nanti neraca keadilan menanti seluruh umat manusia tanpa mengira kedudukan kamu ketika di dunia. semakin tinggi amanah di bahu kamu, semakin berat timbanganya nanti kecuali mereka yang memikul amanah itu dengan penuh saksama dan penuh ikhlas.

7.   Kekayaan yang hilang dapat dikejar kembali dengan kerajinan dan jimat cermat. Kesihatan yang hilang boleh direbut kembali dengan ubat-ubatan. Akan tetapi waktu yang hilang pasti tidak akan kembali. Ketika itu, tidak ada lagi makna kesalan dan airmata darah sekalipun untuk menebus kesalahan yang dilakukan sesama manusia dan juga kepada Maha Pencipta. Yang menentukan masa depan anda bukan kekayaan, kedudukan dan kebahagiaan yang anda capai, tetapi ke arah mana akan anda bawa semua itu.Pengecut ialah orang yang melihat sesuatu yang benar tetapi tidak melakukannya.

Wallahualam


~: Sani :~



Comments

Popular Posts