MENEKA DALAM KESAMARAN

Salam,

1. Membaca atau mendengar ungkapan 'Meneka Dalam Kesamaran' akan membuat kita terpanggil untuk membayangkan wajah penyanyi Ibnor Riza yang popular sekitar awal 1980an. Sememangnya ramai yang meneka dalam kesamaran, apatah lagi di dalam gelap. Jika dalam situasi terang benderang tak perlu meneka dan hanya memerlukan akal yang waras untuk mengenalpasti apa yang ingin diketahuinya.

2. Ketika ini, ramai yang meneka dalam kesamaran, dalam gelap malah di dalam terang. Puncanya berbalik kepada ilmu dan akal yang membezakan antara manusia, haiwan dan makhluk lain. Dari mana datangnya ilmu jika usaha menambah ilmu tidak menjadi matlamat. Ilmu pengetahuan merupakan prasyarat terpenting bagi pembangunan bangsa yang kuat dan dihormati. Setiap perkara di dunia ini mestilah disandarkan kepada ilmu seperti iman dan perkara keagamaan, ekonomi,politik, sosial, perpaduan dan sebagainya. Iman atau amalan tanpa ilmu ibarat sebuah bangunan di atas pasir atau sarang labah-labah. Apabila datang ribut yang kuat maka akan binasalah ia. Sejarah telah membuktikan bahawa kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa. Ini kerana ilmu akan mengangkat darjat seseorang atau sesuatu bangsa itu ke arah kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

3. Dengan bersenjatakan tekaan, ramai yang cuba menonjol sebagai pejuang pihak-pihak tertentu sehingga lupa bahawa dia telah menelanjangkan kejahilannya atas kerelaanya sendiri. Tidak salah dan berdosa untuk menjadi penyokong kuat atau pejuang mana-mana pihak selagi asasl ilmu dan ilmiah menjadi paksi hujahan. Jika sebaliknya, impak kejahilan tidak saja terpalit pada dirinya sendiri, malah juga parti atau organisasi yang diperjuangkannya. jangan sampai kita umpama 'bayangan busur di dalam cawan dianggap ular' yakni kecurigaan yang keterlaluan yang akan merugikan diri sendiri. Jadikan ilmu sebagai pelita kehidupan maka pastinya ia akan membawa pengamalnya ke destinasi yang dihormati dan terpuji. Dengan hanya berbekalkan kekentalan semangat untuk mempertahankan pemimpin dan kelompok yang salah, akhirnya jadilah 'lembu yang membajak sawah, kuda yang memakan padi'.

Wallahualam.

SANI

Comments

Popular Posts