Jika tak ada yang maksum kenapa marah?

Salam,

1.   Walaupun saya tidak didaftarkan sebagai ahli mana-mana parti politik di negara ini, bukanlah dosa untuk saya memberi komen, memberi pandangan atau mengkritik mana-mana parti yang ada di negara ini. Sepertimana peminat bola sepak yang bukan ahli persatuan mana-mana persatuan bola sepak dan mungkin juga tidak tahu bermain bola sepak tetapi tidak pula dia dikutuk dan dimaki hamun apabila mengkritik FAM, permainan pasukan negara ataupun negeri dan kelab. Untuk itu, demi keadilan yang dilaung-laungkan, berilah hak yang sama kepada saya.

2.   Memang pelik apabila setiap kali timbul perbezaan pendapat dan perbalahan tentang isu-isu dalam Pakatan Rakyat (PR),  maka PAS akan dihenyak dengan modal berhujah oleh penyerang adalah UG, Wala' dan pil kuda. Apakah 'big boss' hanya membekalkan itu sebagai modal atau bekalan menyalak? Belajarlah berhujah dengan lebih banyak membaca dan menggunakan fakta yang boleh meyakinkan pembaca komen dan kritikan kita. Beri contoh dan perkara-perkara yang ada memberi kekuatan pada hujah-hujah yang diutarakan.

3.   Jika perubahan tampok pemerintahan yang diidamkan, tidak kiralah samada DAP, PKR dan PAS mestilah mencari titik persamaan berbanding perbezaan yang hanya berpusat kepada naluri kegelojohan untuk berkuasa tanpa mengambil kira sensitiviti agama, kaum, institusi istana dan kepentingan keselamatan secara holistik. 

4..   Jika mahu dinafikan pembabitan pemimpin dengan dadah, UMNO juga ada pernah berlaku di kalangan mereka yang terlibat dengan dadah. Begitu juga dengan PKR apabila Ketua AMK Perlis ketika saya bertugas di sana menggunakan dadah jenis syabu sehingga nipis gigi dan telah ditangkap. Jika tidak yakin, eloklah ke jabatan narkotik perlis untuk mengesahkannya. Tetapi rakan dalam PR nampaknya mengambil pendekatan mendiamkan diri demi menjaga hubungan paik antara komponen PR. Waslaubagaimanapun, sudah semestinya sesekali akan berlaku kertelanjuran dan terpacul perkara-perkara seperti isu pil kuda. 

5.   Kenapa dalam isu penipuan 16 Sept, menipu tidak berhajat menjadi MB tetapi akhirnya mengumumkan akan menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB dan banyak lagi yang jika dicatatkan di sini akan menyebabkan pembaca muak membaca. Bagaimana dengan yang terpalit dengan berbagai isu moral sehingga tidak habis-habis turun naik mahkamah? Adakah saf pimpinan PAS memain isu tersebut? 

6.   Perjuangan sesebuah parti politik sudah pastilah untuk mendapatkan kuasa. Tidak salah berjuang untuk mendapatkan kuasa jika niatnya untuk memberi kemaslahatan kepada ummah dan seluruh rakyat tanpa mengira warna kulit, bangsa, agama dan apa saja. Yang salah adalah yang membesarkan tembolok sendiri dan memenuhkan kantung diri, keluarga dan suku sakat. Yang salah adalah semua jawatan dibolot oleh diri sendiri, keluarga dan suku sakat.

7.   Manusia tidak ada yang maksum hatta ulama' dan umara' dan itu sering diulang-ulang oleh penyerang PAS. Maka dengan itu sudah tentulah yang maksum hanya para Nabi dan Rasul. Hadi Awang bukan nabi dan Rasul begitu juga Nik Aziz. Beri ruang meraikan perbezaan dan menyatakan apa kesalahan yang terlalu besar hingga tidak berkesudahan diserang. Ada pihak yang menubuhkan NGO kononnya untuk menjaga Pakatan Rakyat (PR) tetapi fungsinya hanya menyerang orang nombor 1 PAS. Apakah Hadi Awang tidak ada pengikut? Jika tidak ada tidak mungkin dan pastinya ia akan mecahbelahkan PAS. Nik Aziz juga pernah melakukan kesliapan dan menyebut perkara-perkara kontroversi tetapi kelompok ini tidak berani menyerang kerana beliau bukan Presiden PAS. Yang ingin dirampas jawatan adalah Presiden PAS bukan Murshidul AM PAS. Amat jelas soal ini jika dilihat dengan mata hati bukan mata-mata yang menggunakan mata untuk mematai kepentingan majikan.

8.   Jika dalam PRU13 daripada jumlah 222 kerusi, DAP memperolehi 38 kerusi, PKR 30 kerusi dan PAS 21 kerusi yang membawa kepada total 89 kerusi dan BN memperolehi 133 kerusi, apakah dalam PRU14 jumlah sama dapat dipertahankan? DAP, PKR dan PAS berjaya mendapat jumlah tersebut kerana ahli parti, rakyat yang non partisan mengundi DAP, PKR dan PAS atas keyakinan mereka dapat bekerjasama demi kebaikan mereka. Jika keadaan yang dicerminkan pada rakyat ketika ini, sudah semakin ramai rakyat yang bosan dan jelak kepada PR. PRU 13 jumlah kerusi PR bertambah berbanding PRU 12 berpunca atas keyakinan yang saya sebutkan tadi. Namun demikian, jika dilihat daripada jumlah kerusi diperolehi PKR dalam PRU 12, PKR merosot 1 kerusi daripada 31 kerusi kepada 30, PAS 23 merosot kepada 21 dan DAP pula berubah menjadi singa apabila menokok jumlah kerusi daripada 28 kepada 38 kerusi. Maknanya, pengundi Cina memberi sokongan padu kepada DAP ditambah oleh sokongan Melayu kepada PR untuk memberi undi kepada DAP di kerusi ditandingi DAP. Bagi kerusi DUN pula, disetiap negeri nampaknya PKR tidak begitu banyak mendapat undi kecuali di Selangor dan Wilayah Persekutuan termasuklah DAP. 

9.   Apa yang tidak dapat dielakkan dalam PRU 14 nanti jika ketidakcerdikan ini masih diteruskan dengan membiarkan penyalak-penyalak menggunakan hujah dangkal untuk menyerang sesama sendiri, ahli dan pengundi PAS akan memprotes PKR dan DAP, ahli dan pengundi DAP akan memprotes PAS dan ahli serta pengundi PKR akan memprotes PAS. Apakah ini yang akan memenangkan PR? Tidak mana-mana pasukan bolasepak sehandal mana sekalipun akan menang jika masing-masing menyumbat gol ke dalam tiang gol sendiri. 

10.   Siapa sebenarnya yang sudah termakan jebak permainan UMNO. Samada yang dituduh Wala', UG dan pil kuda atau yang tidak henti berwirid Wala', UG dan pil kuda menghentam PAS? Rasanya diri sendiri pun dapat menjawab jika ikhlas. Jika malu, jawab saja di dalam hati. Hanya orang yang penting yang tahu kepentingan, dan hanya pejuang yang tahu erti perjuangan

Wallahualam

SANI



Comments

Popular Posts