Kerukunan dalam hidup itu bermula dari sikap saling menerima

Salam,

1.     Kerukunan dalam hidup itu bermula dari sikap saling menerima. Jika kita idamkan kedamaian dan keharmonian dalam kehidupan, maka kita seharusnya mencipta kedua-duanya dan bukan menghancurkannya. Amat menyedihkan apabila individu atau pihak tertentu menempah api membakar kedamaian dan keharmonian yang dinikmati selama ini. Kuasa di dunia tidak akan dapat di bawa ke alam barzakh nanti untuk berdepan Maha Pencipta untuk mempertahankan kita. Oleh itu, tidak perlulah hanya untuk kuasa kita bertelagah sesama sendiri.

2.     Perbezaan pandangan dan pendirian itu adalah fitrah manusia dan ianya rahmat dari Allah swt. Janganlah disebabkan perbezaan, maka api permusuhan dicetuskan semata-mata untuk meratah kuasa yang hanya sementara. Jika Sang Pemilik Langit menurunkan hujan untuk orang jahat dan orang baik, menerbitkan matahari yang sama untuk orang yang sembahyang dan tidak sembahyang. Oleh itu kenapa kita bertikai kerana kita berbeza? Di tengah beragam peristiwa intoleransi yang kerap terjadi di tanahair kita, ternyata ada banyak orang yang rindu akan kedamaian dan kerukunan hidup berdampingan dalam perbezaan. Kita tidak harus bermusuhan kerana kita berbeza.

3.    Allah ciptakan manusia itu beragam-ragam dari segi warna kulit, jantina, bahasa dan budaya dan oleh kerana itu pastinya mereka berbeza. Kenapa kita menentang fitrah manusia yg dicipta oleh Allah swt walaupun kita mengaminkan kalam-kalam bahawa kita beriman denganNya? Marilah kita bersama-sama memeluk pohon kedamaian, keamanan dan kesepaduan manusia yang selama ini semakin dipinggirkan. Tidak guna berkuasa tetapi negara dilanda perpecahan dan kehancuran. Jika generasi dulu dapat hidup dalam kesederhanaan dengan aman damai, kenapa tidak dengan kita? Janganlah kita menjadi buih yang pecah apabila melanda pantai, tetapi jadilah angin yang sanggup melahirkan gelombang. Pengajaran apa yang berlaku di negara-negara bergolak harus dijadikan iktibar buat kita semua.


Wallahualam

SANI


Comments

Popular Posts