Oh Melayu!

Salam,

1. Semakin heboh sejak kebelakangan ini individu dan pihak-pihak tertentu yang terpekik terlolong tentang hak dan perlunya hak-hak bangsa Melayu dipertahankan. Sana sini laungan 'Hidup Melayu' dicanang dengan bunyi mirip berkokok, mengembik, berdehem malah ada yang menjerit kalahkan Tarzan. Malangnya, semua itu tidak mampu mengubah barang sedikitpun kenyataan bahawa sememangnya kuasa, hak dan kepentingan bangsa Melayu kian terhakis. Jika parti yang bersendi dan bertunjangkan Melayu pun sudah diasimilasikan menjadi parti pluralisme, apakah yang ternyata sudah liberal dan mewakili bangsa lain akan melakukan semuanya bagi pihak Melayu? Parti Melayu tetapi ada dayak, ada siam, ada bermacam bangsa janji bumiputera apakah sesuai meraung-raung 'Hidup Melayu?'

2. Hentikan tindakan mengarut dan merepek kalau ianya hanya untuk menjadi seloka dan retorik menjaga kepentingan diri sendiri dan kelompok. Rakyat sudah kenyang dengan pembohongan dan opera atau sandiwara. Masa untuk bersandiwara, beropera dan berjenaka sudah sampai tarikh lupus. Namun begitu, walaupun sudah lewat, masih ada ruang untuk pembuktian bahawa kamu menyesal atas kegagalan dan kesilapan yang telah dilakukan selama ini. Ianya hanya akan berlaku jika pihak yang terpekik terlolong 'Hidup Melayu' itu cakap serupa bikin bukannya bikin tidak serupa cakap.

3. Apakah kamu itu hero Melayu jika tanah rezab Melayu susut bukannya sejengkal tetapi berdepa-depa bukannya atas tindakan bukan Melayu tetapi oleh Melayu yang kononnya mempertahankan maruah bangsa Melayu? Dengan menggunakan laungan 'Hidup Melayu' apakah statistik penagih dadah dan Mat Rempit yang majoriti Melayu akan berkurang? Ketum yang menjadi bahan sindiran dan kutukan yang sedang dirangka untuk diletakkan di bawah Akta Dadah juga 95% menjadi bahan langgahan Melayu. Bagaimana dengan graduan-graduan Melayu yang masih menganggur dan tidak 'laku' di pasaran? Walaupun puncanya sering dikatakan akibat sikap dan budaya mahasiswa Melayu sendiri, tetapi apakah langkah parti Melayu itu dalam membantu mengatasi masalah ini?

4. Pahlawan-pahlawan Melayu samada Hang Tuah, Hang Jebat dan 3 lagi saudara mereka tidak akan kembali lagi mendaulatkan Melayu tanpa kita yang masih hidup melakukan untuk bangsanya sendiri. Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Dol Said, Mat Salleh, Datuk Maharaja Lela, Tok Gajah, dan Tun Perak tidak lagi akan bersama-sama kita untuk mengembalikan kegemilangan bangsa Melayu. Malah, jika mereka masih diberi peluang untuk bersama pemimpin bangsa Melayu yang ada ketika ini, agaknya dicincang-cincang pemimpin Melayu yang ada sekarang lantaran kecewa dengan perlakuan mengkhianati bangsa Melayu.

5. Ada air adalah ikan tetapi sekarang ini ada air ikan pun dah tak ada habis keracunan. Masalah sekarang banyak sangat pemimpin yang seperti ayam baru belajar berkokok dibiarkan berkokok tanpa henti dan akhirnya menjadi bahan lawak dan sendaan. Masalah bertambah kusut apabila ada masalah dirujuk kepada hakim beruk minta bicarakan kes pisang. Sementara balaci-balaci pemimpin pula umpama cacing menjadi naga di mana amat janggal apabila yang berpangkat rendah berlagak seperti orang besar. Cubalah kita sama-sama renungkan apa yang berlaku pada bangsa Rom pada masa dahulu yang sangat kuat berusaha dan rajin bekerja sehingga berjaya kepuncak kecemerlangan. Namun, setelah ditimpa penyakit lalai dan malas, peradaban yang ditegakkan oleh nenek moyang mereka runtuh sedikit demi sedikit. Ketika itu mereka menyangka berusaha dan bekerja itu bukan pekerjaan orang yang merdeka tetapi pekerjaan budak-budak. Akhirnya rome hanya menjadi sejarah dan kata-kata seperti "Rome wasn't built in a day". Nanti akan muncul pepatah "Malay wasn't destroyed in a day" jika dibiarkan perkara sama berulang.

Wallahualam

SANI


Comments

Popular Posts