BAJET 2015

Salam,

1. Sejak dulu hingga sekarang, bercanda dengan huruf dan perkataan sudah menjadi hobi ramai di kalangan kita kecuali yang gila, dungu dan malas berfikir. Menjelang pengumuman bajet yang akan diumumkan jam 4 petang hari ini oleh YAB Perdana Menteri (PM). Ramai yang menunggu-nunggu khabar gembira dan tidak kurang yang bimbang dengan pengumuman ini. Secara ikhlas saya tergolong dalam kelompok kedua yang amat bimbang dengan pengumuman Bajet 2015 kerana sudah tersepit dengan perangkap ekonomi sediada dan tidak lagi mampu bertahan jika tambahan 'penyepit' walaupun sedikit.

2. BAJET amat berkait rapat dengan kehidupan KITA sebagai manusia. Jika haiwan, jin dan syaitan boleh berkomunikasi dengan manusia, rasanya, mereka juga akan meluahkan kebimbangan dengan 'bajet' sejak dulu hingga kini langsung tidak melibatkan mereka dan jika manusia tersepit, mereka bertambah-tambah dihimpit. Iblis dan setan agak gembira kerana apabila manusia dalam kesusahan, mereka amat mudah terdedah kepada perbuatan mungkar dan dalam situasi putus asa, mereka mencari jalan pintas menyelesaikan masalah sehingga ada tergamak menyertai kelompok tidak berbau syurga dengan tindakan bunuh diri dan murtad seperti yang berlaku di Selangor satu ketika dulu.

3. BAJET jika diputar-kitar boleh menjadi BEJAT yang membawa maksud rosak atau kerosakan dan KITA pula boleh bertukar menjadi IKAT yang amat sinonim sehari-dua ini dengan kenyataan seorang menteri kabinet negara ini dua hari lepas. Kenyataan ikat perut menjadi 'viral' di media sosial sehingga tidak semena-mena beliau begitu gah menjadi tersohor angkara lidah mendahului akal.

4. Kita dibejatkan atau kebejatan mngIKAT kita dalam BAJET kali ini? Ruang bicara di media elektronik dengan menjemput panelis tidak terlepas dengan komen-komen yang tergelincir di landasan kerajaan sedangkan landasan rakyat seolah-olah tidak terkesan dengan himpitan ekonomi ketika ini. Yang peliknya seperti kata Hasan Malik Menteri KPDNKK berkaitan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ekoran pengurangan subsidi diesel dan petrol adalah supaya rakyat bersyukur dengan harga barangan dan perkhidmatan yang dikatakan masih murah berbanding negara lain dan yang melucukan dikatakan rakyat tidak merungut. Pada masa sama, Menteri di JPM Dato' Seri Shahidan Kasim pula menggesa kerajaan menaikkan gaji 'upah' Ahli-ahli Parlimen (AP) kerana dakwaannya keadaan ketika ini memaksa mereka 'IKAT PERUT' dengan kesan ekonomi ketika ini. Sudah tidak membebankan rakyat kenapa pula minta dinaikkan gaji? Kan berbelit jadinya apabila tidak berbincang dahulu sebelum berbohong? Jika para menteri dan Ahli Parlimen terpaksa ikat pertut, apakah rakyat yang jauh tertinggal dari sudut pendapatan berbanding mereka tidak memerlukan ikat perut? Mungkin Shahidan cuba berkias untuk menunjukkan rakyat sudah dijerut perut dan lidah?

5. Dari pendedahan tentang pendedahan di media sosial yang tidak dapat dipastikan keabsahannya, pendapatan barisan Menteri dan Timbalan Menteri termasuk gaji, berbagai elaun dan tuntutan mencecah puluhan ribu ringgit. Itu masih belum dicampur gaji Ahli Parlimen dan lain-lain sampingan yang semua orang tahu walaupun tidak diberitahu. Rakyat benci 'double standard' dalam apa jua tindakan kerana jika menteri dan politikus yang sentiasa buncit dan terkincit sanggup tanpa malu berkata ikat perut, apakah rakyat lebih kaya dan senang daripada mereka? Semua harga barang dan perkhidmatan 'NAIK' dan ini mengheret BP rakyat juga NAIK maka apa lagi jika tidak membawa kepada rakyat NAIK ambulan ke hospital menambah beban kesakitan dan kos sarahidup?

6. Apa juga yang ditelah kali ini, GST dan kenaikan harga barang tidak akan takut bergulat dengan kerajaan kerana bagi kedua-dua elemen ini sudah menganggap kerajaan seperti saudara mara yang tidak pernah membantah kemahuan mereka. Nampaknya Najib tidak sabar mendengar pujian rakyat terhadap pengumuman bajetnya kali ini. Untuk tidak mengecewakan beliau, saya beri laluan kepadanya mengikat sampin dan betulkan songkok sebelum melangkah ke dewan untuk BAJET 2015. Jangan lupa ikrar dan sumpah ketika melafazkannya di hadapan KDYMM Tuanku dulu serta, janji-janji sebelum ini. Lidah ibarat peti emas tersilap cakap akan buruk padahnya.

Wallahualam

SANI


Comments

Popular Posts