KRITIK
Salam,
2. Namun dalam kehidupan masyarakat khususnya alam politik, perkataan KRITIK seakan 'taboo' atau dosa besar kepada pemimpin. Apakah politik membenci akan KRITIK yang menjadi pengimbang kepada tindakan-tindakan pengamal politik? Jika alam akademik menggunakan kritik sebagai wadah mencari kebenaran dan percambahan ilmu, apakah pengamal politik berhajat menolak kebenaran dan menutup rongga-rongga berkembangnya ilmu pengetahuan?
3. Jika jawapannya adalah TIDAK, maka pengamal politik tidak wajar mengekang dan menabrak medan ilmu dengan ugutan atas nama undang-undang ataupun menjubahkan tindakan dengan wajah agama. Raikan perbezaan pandangan dan galakkan percambahan idea-idea yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Jauhi sindrom penafian serta benamkan sifat tidak mahu mengaku kesalahan yang menjadi racun kepada kejayaan sesuatu bangsa.
4. Apa yang berlaku ketika ini dengan kemunculan kenyataan atau respon pemimpin yang menjadi refleksi kepada akal dan pemikiran jumud serta tidak cerdik adalah angkara kebencian kepada KRITIK. Masih terngiang-ngiang kata-kata "jika tidak mahu ini, sila.....". Yang dihajati dan dimimpikan adalah puji-pujian kerana irama paling merdu dalam kehidupan pemimpin dan Sang Penguasa adalah puji-pujian. Tambah Buya Hamka, "yang tercela adalah kritik yang semata-mata ditujukan untuk menghancurkan, meruntuhkan dan menyinggung kehormatan dan perasaan si penciptanya. KRITIK semacam ini sangatlah merugikan masyarakat. Sebab masyarakat tidak diajar menghargai hasil kerja orang lain. Tiap-tiap bunga yang akan tumbuh dan berpucuk, sentiasa diregas, dipijak dan diruntuhkan ". Kritik seumpama ini yang perlu diterjah dan disanggah bukannya semua kritik itu membinasakan. Harus ada kemahuan dan kemampuan membezakan antara hasutan da juga kritikan. Ini amat penting bagi mengelakkan budaya ilmu semakin menguncup dan berkubur.
5. Saya cukup tertarik dengan pandangan Hamka bahawa "bangsa merdeka adalah sokong menyokong, naik menaikkan bukan runtuh meruntuhkan". Tetapi, sampai bila akan kita temui situasi seperti yang digambarkan oleh Hamka ini? Selagi pemimpin dan penguasa kemaruk pujian dan belaian, jangan bermimpi semua Itu akan berlaku lantaran usaha giat berjalan dengan lancar penuh sistematik untuk mewujudkan budaya memandang ilmu, buku, dan apa saja yang boleh memberi pencerahan kepada masyarakat sebagai musuh. Baka masyarakat BEBAL diimpot dari segenap penjuru dunia untuk mengembang-biak masyarakat cintakan BEBALISME.
Pisau sudah di tangan, buah sudah terhidang, pilih saja samada memotong buah atau menikam diri sendiri. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Hidup hanya sekali jika ingin menjadi pengkhianat, diktator, tirani, ilmuan, manusia jujur dan amanah semuanya terpulang pada diri sendiri dan bersedialah untuk berdepan dengan mahkamah Ilahi dengan alasan-alasan standard yang digunakan selama ini di dunia dan juga harus bersedia dengan KRITIKAN ILAHI.
Wallahualam
SANI
Comments
Post a Comment