Kelajuan itu membunuh

Salam,

1.   Lebih kurang sejam lalu, saya terbaca status yg dimuatnaik oleh 'admin' tokoh politik tersohor negara. Saya pasti itu bukan kerja tokoh tersebut, namun ia mencerminkan betapa simplistiknya pemikiran 'admin' tersebut dan mencalar nama baik tokoh itu. Sememangnya Pulau Pinang dikuasai kerajaan atas dokongan majoriti rakyat dalam PRU 12 dan 13. Walaubagaimanapun, apakah seluruh rakyat negeri itu menyokong dan mengundi Pakatan Rakyat (PR)? Jika benar sekalipun, cukai yang dikutip kerajaan BN tidak sahaja dipungut daripada pemimpin, ahli dan penyokong BN. 

2.  Rakyat kini sudah 'petah berfikir' dan jangan pula kita 'kelu'kan pemikiran mereka hanya sekadar untuk terus membentengi kuasa yang dimiliki. Janganlah kita amalkan pendekatan menghukum kerana ia hanya menjarakkan kasih sayang rakyat kepada kita sepertimana juga ibubapa dan anak-anak. Semakin keras tindakan maka semakin jauh mereka dari kita. Hati biar kukuh tetapi tidak sesekali keras. Apakah itu namanya keadilan buat mereka yang masih mengundi BN dalam pilihanraya-pilihanraya lalu walaupun kerusi tersebut BN tewas? Apakah BN berharap semua pengundi mengundi PR hingga hilang wang pertaruhan? Jika tidak mahu, kenapa menganaktirikan mereka yang mengundi BN di DUN atau parlimen tersebut? Apabila sepanduk dipasang oleh pengundi Melayu di situ mohon jasabaik BN dan DS Najib membantu mereka, 'admin' siap memerli dalam status mereka sekarang baru mencari DS Najib. Sikap apa yang mahu dibuktikan oleh 'admin' itu?

3.   Nampaknya kelajuan sentiasa membinasakan jika tidak dikawal dengan berhemah. Lidah dan jari lebih laju dari akal maka hasilnya adalah kecelakaan. Jangan dituruti kelajuan 'kebodohan' barisan menteri badut yang hanya memuntahkan 'lawak senget' dan menganggap rakyat akan ketawa berdekah-dekah kerana natijahnya adalah terkangkang di pembahagi jalan atau longkang. Rakyat menyampah dan meluat semeluat-meluatnya. Itu yang harus difahami oleh pihak kerajaan dan penasihat yang kurang sihat. Tidak terbayang bagaimana pola fikir Pak Menteri yang menggunakan alasan harga petrol dan diesel naik 20 sen dan harga cendol diturunkan 20 sen bagi mengabsahkan kata-katanya inflasi tidak berlaku dengan kenaikan harga bahanapi. Itu adalah gimik perniagaan wahai Pak Pandir dan Pak Kadok! Beginilah akibatnya jika bapa kencing berdiri dan anak-anak tidak ketinggalan kencing berlari. Bapa kata harga bahanapi naik dan harga kangkung turun kenapa tak puji, maka anak juga menggunakan alasan sama untuk cendol. Menteri cendol jangan lagi diangkat-angkat untuk kesekian kalinya nanti, buruk padahnya seburuk wajah meneran-neran sembelit. Apakah kamu berfikir bahawa cendol itu makanan ruji atau keperluan harian?

4.   Sampai bila barisan pimpinan dan politikus yang menikus akan berubah? Slogan 'jom berubah' dan 'transformasi' tidak akan berlaku secara realiti walaupun dipekik dan dijerit hingga pecah anak tekak jika minda masih bertaraf penghuni hospital mental kelas 3. Jangan sesekali diperlekehkan tahap intelektual rakyat jika kita sendiri masih terkial-kial melagukan dikir-barat 'anak tupai' yang tak faham-faham pepatah 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga'. Setinggi mana sekalipun kedudukan kamu, tetap kamu perlukan orang lain dan rakyat untuk mengusung kamu ke liang lahad. Tidak mungkin kamu akan bergolek-golek sendiri masuk ke liang lahad. Belum ada dalam sejarah manusia yang tidak menemui kematian sejak lahir kecuali Nabi Allah Isa ahs. Tambah Robert E. Lee, "Saya tidak boleh mempercayai seseorang yang tidak boleh mengawal dirinya sendiri untuk mengawal orang lain."

Wallahualam

~: Sani :~



Comments

Popular Posts