Antara kanak-kanak kecil dan kanak-kanak dewasa

Salam,

1. Jika kita melihat gelagat kanak-kanak menonton TV siri kartun seperti Naruto, Hagemaru, Spongebob, Doraemon, Shin Chan, Upin Ipin dan lain-lain yang seangkatan dengannya, timbul rasa hairan apa sebenarnya yang begitu menarik dan lucu. Bukan main kusyuk dan tercengang berjam-jam tanpa rasa jemu di hadapan TV. Apabila tahap keletihan sudah mula meresap dalam diri mereka, maka mereka akan beralih bermain benda-benda lain tetapi siri kartun tetap dipasang dengan hanya menadah telinga semata-mata terus melayan kisah kartun-kartun yang ada. Mungkin itulah puncanya Astro menyediakan beberapa saluran kartun untuk menambah uncang stesen TV swasta itu. Watak-watak dalam siri kartun itu dihafal dan dipuja menjadi idola siang dan malam hingga terbawa-bawa dalam mimpi.

2. Kita tak boleh salahkan kanak-kanak kerana mereka dapat melihat kejenakaan dan kelucuan di dalam segala aksi watak-watak kartun dalam siri yang ditonton mereka. Kita meradang dan menyampah kerana kita tidak nampak apa yang mereka nampak. Agaknya begitu jugalah dengan kanak-kanak dewasa yang menonton kelucuan dan kejenakaan watak-watak kartun dan badut politik di persada politik negara. Bagi mereka, watak-watak Jibby & Rosemary, Hasan Al-Maliki, Ahmadi Al-Maslani, Shahdone CatchHim, Gedebung Al-Mokhtari, Detektif Conan dan Nasty Aziz berjaya menusuk ketaksuban dalam diri pemuja-pemuja watak-watak ini. Lawak-lawak yang bodoh, jijik dan menyakit hati bagi golongan dewasa yang dewasa sebaliknya amat menguja dan mengasyikkan golongan ini. Idola-idola mereka seperti sesumpah yang akan bertukar warna mengikut keadaan keliling. Idola mereka dipuja dan dipuji umpama putera dan puteri bunian sehingga menambah lagi kekeramatan, kesaktian dan kedewataan badut-badut ini.

3. Akhirnya remote control dan TV jadi milik kanak-kanak kecil dan kanak-kanak dewasa yang taksub dan tergila-gila dengan watak-watak lucu dan jenaka masing-masing. Orang dewasa yang dewasa terpaksa bersabar melihat kelucuan dan kejenakaan yang hanya mampu dilihat oleh mereka yang berada di dunia yang sama. Bagi kita, watak-watak Jibby & Rosemary, Hasan Al-Maliki, Ahmadi Al-Maslani, Shahdone CatchHim, Gedebung Al-Mokhtari Detektif Conan dan Nasty Aziz tidak lebih daripada watak-watak Pak Kadok, Mak Andih, Pak Pandir dan Lebai Malang yang hanya berguna untuk dipersendakan.

4. Kenapa orang gila atau disebut pesakit mental ketawa tanpa sebab? Kita yang mendakwa tidak bersebab kerana kita tidak mampu melihat apa yang mereka lihat. Begitu juga dengan jenaka watak-watak badut politik yang disebutkan itu buat mereka adalah terbaik di kalangan yang terbaik sedangkan yang tidak berupaya menyelinap masuk ke dunia para kanak-kanak dewasa ini, yang mampu dilakukan hanyalah mengeluh dan hairan. Mengeluh menahan sabar dan hairan dengan ketololan kanak-kanak dewasa mempertahankan keterujaan mereka kepada pemegang watak-watak Jibby & Rosemary, Hasan Al-Maliki, Ahmadi Al-Maslani, Shahdone CatchHim, Gedebung Al-Mokhtari Detektif Conan dan Nasty Aziz serta rakan-rakan mereka yang menambah koleksi badut negara. Benar seperti kata-kata Saidina Ali Abi Talib, “Teman manusia yang sebenar ialah akal dan musuhnya yang celaka ialah jahil”. Namun, buat kanak-kanak kecil kita menerima fitrah mereka sebagai dunia mereka yang harus dilalui oleh kebanyakan kanak-kanak untuk mencapai dewasa.Namun demikian, buat kanak-kanak dewasa yang terjebak dalam dunia khayalan mereka, tidaklah wajar dibiarkan mereka berada dalam dunia tersebut selama-lamanya yang bukan saja melanggar fitrah, bahkan mengheret keseluruhan rakyat ke lembah kehancuran angkara badut-badut politik dan pemuja-pemuja mereka. Orang bodoh adalah kecil meskipun dia orang tua, sedangkan orang berilmu adalah besar meskipun dia masih remaja.

Wallahualam

~: sani :~


Comments

Popular Posts