SOLIDARITI & INTEGRASI


Kita seringkali dimomokkan dengan ungkapan penuh retorik khususnya dari pemimpin dan orang-orang yang berlegar dalam lingkungan politik bahawa rakyat perlu bersatu bagi mengelakkan negara berada dalam bahaya. Hal seperti ini semakin nyaring apabila gendang pilihanraya semakin kuat dipalu. 

Apakah rakyat sebenarnya berpecah-belah? Atau berseteru tanpa mahu mengalah? Rasanya tidak ada rakyat yang mengharapkan negara akan terbelah kerana tahu itu memang salah dan sudah begitu lelah. Tetapi jangan kerana 'ulah' pihak yang takut kalah menjadi punca mereka bergantung pada 'Mullah-Mullah' yang cuba meyakin rakyat mereka adalah wakil Allah.

Sudah berapa banyak program atas nama 'solidariti' yang bermaksud perpaduan dan juga 'integrasi' yang maksudnya adalah gabungan dua atau beberapa kaum menjadi satu kesatuan yang utuh. Maknanya tidak jauh berbeza iaitu mencari kesatuan seluruh rakyat dan jangan dibezakan antara Melayu dan bukan Melayu, Islam dan bukan Islam kerana selagi wujudnya usaha membahagi-bahagikan rakyat mengikut warna kulit, jantina, agama dan bangsa matlamat menyatupadukan rakyat tidak akan berhasil.

Yang menjadi punca terbelah dan berpecahnya rakyat adalah pemimpin dan parti-parti politik sendiri bukannya rakyat. Apa yang berlaku hanyalah peralihan sokongan rakyat dari satu parti kepada parti yang lain akibat dari hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap pemerintah yang dilihat sudah tersasar dari kehendak rakyat. Dan itu dibenarkan oleh undang-undang termasuk undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan. 

Bagaikan terbelah langit dan bumi terpekik terlolong hingga berbuih-buih di tepi bibir pemimpin bahawa negara mengamalkan demokrasi tetapi hakikatnya menghalang rakyat memberi sokongan kepada parti politik selain  UMNO dan BN. Demokrasi apa sebenarnya yang cuba digambarkan oleh mereka? 

Seluruh rakyat mendambakan semua pihak tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang bersatu menjaga negara dan berada dalam suasana harmoni. Keadaan seperti ini bukan tidak pernah berlaku kerana ia dicatat dalam buku hasil karya M. Bakri Musa berjudul Merdeka Minda Melayu terbitan ZI Publications Sdn. Bhd pada tahun 2016. 

Menurut Bakri, "Pada tahun 1950-an dan 60-an pemimpin pembangkang, Melayu dan bukan Melayu, selalu menghadiri majlis sosial yang diadakan oleh Tunku Abdul Rahman yang dahulunya Perdana Menteri. Terdapat gambar pemimpin agama dan parti lampau konservatif Parti Islam Seluruh Malaya (PAS hari ini) dengan memakai sut moden dan tali leher di jamuan ronggeng (tarian) di Kediaman Rasmi Perdana Menteri, dan tiada siapa pun bersuara. Mereka tidak berasa bahawa temasya itu mencemarkan kewarakan mereka." (Halaman 247)

Apakah itu bukan solidariti atau integrasi?  Kenapa ia tidak berlaku selepas itu? Siapa di sebalik punca renggang dan terbelahnya kesatuan rakyat? Janganlah bertindak baling batu sembunyi tangan tetapi akhirnya rakyat yang dipersalahkan. Tidak cukupkah kuasa yang rakyat berikan untuk menghalang isu-isu perkauman dihentikan? 

Di mana peranan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri Malaysia? Apakah jabatan ini diwujudkan hanya untuk mengisi peluang pekerjaan tanpa mengutamakan misi dan visi utama jabatan? Jangan bazirkan wang rakyat hanya untuk menjemput seorang kroni atau suku-sakat untuk menjawat jawatan menteri dan diikuti pegawai-pegawai tinggi dan rangkaian jawatan hingga ke peon yang didanai rakyat.

Hentikan menuding jari sebaliknya mulakan usaha menjadikan negara bangkit dari kegelapan dan kemunduran yang mencengkam rakyat dan negara akibat tadbir urus yang lemah dan pemimpin berselindung di sebalik slogan atas nama rakyat. Hakikatnya harta rakyat dan negara milik aku, harta aku milik aku dan apa yang rakyat dan negara dapat? hasil bumi seperti minyak dan lain-lain bukan harta peribadi parti pemerintah dan pemimpinnya. Ia milik seluruh rakyat untuk dinikmati secara adil dan saksama.

Warren Bennis yang dapat dianggap sebagai mahaguru kepimpinan pernah berkata, "Mitos yang paling berbahaya tentang kepemimpinan adalah kepercayaan bahwa pemimpin itu dilahirkan, bahwa ada faktor keturunan dalam kepemimpinan. Mitos ini menekankan bahwa ada orang yang memang memiliki karisma untuk menjadi pemimpin, sedangkan orang lain tidak. Itu tidak masuk akal. Yang benar justeru sebaliknya. Pemimpin dibentuk, bukan dilahirkan."

Sama-sama kita renungkan...

Comments

Popular Posts