SIAPA YANG MEMUNCULKAN DIKTATOR?


ROKETKINI.COM semalam melaporkan kenyataan Dr. Aziz Bari yang menyebut, "Tidak masuk akal Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi ‘kesilapan’ lalu kerana Pakatan Harapan (HARAPAN) memiliki budaya politik yang berbeza berbanding UMNO-BN.  Sekarang beliau dikelilingi oleh watak dan kerangka yang berbeza, yang tidak mengizinkan kesilapan dalam UMNO berulang dengan mudah. Saya rasa perubahan akan dilakukan oleh PH di bawah kepimpinan Tun Mahathir."

Saya bersetuju penuh kenyataan Dr. Aziz Bari ini kerana dari pengalaman saya sebelum ini pun, apa dilakukan oleh Tun Mahathir walaupun beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu banyak dipengaruhi oleh persekitaran yang menyebabkan keputusan beliau sedemikian.

Maksudnya jika Najib dan UMNO menyalahkan Tun Mahathir atas apa yang dilakukan dahulu padahal mereka juga berada dalam kapal yang sama membuktikan betapai 'naif'nya tuduhan dan justifikasi mereka itu. Malah sebahagian besar tindakan di zaman itu banyak dibuat oleh kementerian dan jabatan kerajaan sendiri tanpa pengetahuan Tun Mahathir. Takkan sampai lawatan beliau sendiri juga beliau yang atur? Begitu juga dalam kes Memali dan lain-lain yang dihalakan semua kesalahan kepada beliau.

Teringat saya ketika Tun Mahathir masih Perdana Menteri pulang dalam rangka lawatan kerja ke Kedah. Riuh rendah pelbagai arahan dan cadangan untuk persediaan pulang Tun Mahathir sedangkan rumah beliau juga di Titi Gajah dan kampung halaman sendiri. Nak menjilat punya pasal berbagai kerja-kerja bodoh dan membodohkan pemimpin termasuk Tun Mahathir dilakukan. 

Hal paling lucu mengingatkan saya adalah bila ada arahan menurunkan bendera gergasi lambang PAS di tengah bendang sebelah kiri laluan dari lapangan terbang Kepala Batas ke Stadium Darulaman dan lokasi bendera adalah di tengah bendang Titi Gajah. Tahu sajalah sekitar tahun 1998-1999 selepas Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat aktiviti parti pembangkang termasuk memasang bendera cukup hebat. 

Bila arahan diterima untuk turunkan bendera tersebut dari berbagai pihak bukan saja dari atasan tetapi juga dari UMNO, jawapan saya mudah, "bendera itu dalam bendang persendirian. Apa kuasa kita untuk turunkan bendera itu dan bendera tersebut juga adalah bendera digunakan parti yang berdaftar secara sah oleh ROS bukannya Parti Komunis Malaya atau pertubuhan haram. Jika bendera dipasang di tiang talipon hanya TM yang patut turunkan dan jika di tiang letrik biar saja TNB turunkan. Yang polis menyibuk apa pasal?" Marah pihak yang minta saya turunkan diberi jawapan begitu. Menurut mereka untuk mengelakkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri nampak bendera gergasi dan banyak bendera PAS sepanjang jalan menyakitkan mata memandang. 

Dengan bendera pun takut sangat? Saya beritahu secara baik bahawa biarkan saja Tun Mahathir tengok semua tu supaya beliau dapat baiki kelemahan UMNO jangan sampai beliau ingat UMNO masih kuat dan tak ada cabaran langsung dari pembangkang. Inilah masalah UMNO yang hanya mahu menunjukkan hal baik-baik saja kepada pemimpin sedang berkuasa padahal keadaan amat tenat. Sampai ke akhir saya tak teringin buat kerja bodoh dan membodohkan begitu.

Apabila Tun Mahathir sampai di Stadium Darulaman begitu ramai hadirin penuh sesak hingga selesai majlis baru hadirin semua pulang. Tentunya Tun Mahathir seronok melihat keadaan seperti itu. Padahal sebahagian besar hadirin termasuk kakitangan kerajaan dipaksa hadir. 

Yang diangkut dengan bas dari segenap ceruk kampung seluruh negeri Kedah belum lagi diambil kira berbekal wang saku serta nasi lemak bungkus dan minuman. Mana tidaknya hadirin penuh sesak dalam stadium tak berganjak bila drebar bas yang angkut hadirin diberitahu tunggu di luar sehingga selesai dan pintu stadium ditutup. Bagaimana mereka boleh pulang jika keadaan demikian dan masakan mahu jalan kaki pulang ke Sik, Yan, Kulim, Baling dan lain-lain tengah malam buta?

Apa sebenarnya yang cuba digambarkan oleh pemimpin UMNO, ketua jabatan kerajaan kepada Tun Mahathir? Ini bukan kemahuan Tun Mahathir tetapi kerja menjilat dan menipu pemimpin secara terang-terangan oleh penjilat-penjilat yang kemaruk pangkat dan jawatan. 

Ada masanya UMNO nak anjurkan program di surau atau masjid dan pastinya ketika itu perlukan permit polis disebabkan belum digunapakai Akta Perhimpunan Aman. Saya cadangkan supaya diubah kerana jika PAS tak dibenarkan lakukan program di masjid dan surau, UMNO juga perlu akur kerana jangan sampai PDRM dilihat menjadi pecacai kepada mana-mana parti politik. 

Begitu juga dahulu ketika di Perlis nak anjurkan program ceramah menjemput Puan Ummi Hafilda di tapak pasar malam dan saya maklumkan JASA sebagai penganjur jangan buat di situ kerana nanti jika parti pembangkang akan anjurkan program ceramah di tapak sama pastinya akan menyebabkan bantahan dari UMNO pula. 

Jangan 'set a precedent' sebegitu kerana hanya akan menyebabkan PDRM tersepit dalam situasi yang dicipta sendiri oleh UMNO. Ekoran langkah pandangan saya itu, JASA dan UMNO pulak menganggap saya anti kerajaan dan UMNO. Anti kerajaan yang sebenar adalah penjilat-penjilat dan kaki ponteng kerja dan tidak cekap laksanakan tugas hakiki masing-masinglah bodoh! Anti kerajaan adalah mereka yang menipu pemimpin atasan hanya untuk mengembangkan 'pungkoq' dan menggelikan telinga pemimpin. 

UMNO adalah kerajaan di Perlis dan mereka boleh saja gunakan bukan saja dewan-dewan milik kerajaan malah stadium juga boleh diminta untuk tujuan tersebut. Kenapa pilih tapak pasar malam atau rumah ibadat? 

Moralnya di sini, jangan salahkan Tun Mahathir atau pemimpin besar jika pemimpin kecil sendiri menjadi penjilat sehingga segala yang buruk dan kurang disembunyikan dan yang muncul hanya yang baik-baik. Akhirnya yang susah siapa? Siapa yang mencipta diktator kalau bukan kita sendiri? Tangan-tangan kitalah yang menyebabkan muncul diktator untuk menindas dan menzalimi kita. 

Tamatkan kisah raja yang bertelanjang menyangka memakai baju baru sehingga menjadi bahan ketawa rakyat itu gara-gara ditipu oleh penjilat-penjilat di sekeliling Raja. Iktibar itu adalah melakukan kesilapan dan belajar memperbaikinya bukan melakukan kesilapan sama berulang-ulang kerana itu bukan iktibar tetapi BODOH!

Comments

Popular Posts