PEDRA BRANCA


Tidak semena-mena akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Februari 2017 tampil dengan berita berjudul “Pulau Batu Puteh bukan milik Singapura”. Mengikut apa yang disiarkan berita tersebut, wujud 'Fakta baharu' yang mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pedra Branca (Pulau Batu Puteh) dengan merujuk kepada tiga dokumen ditemui di National Archives of the United Kingdom.

Dalam siaran media melalui laman sesawangnya, ICJ berkata, dokumen itu termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.

Umum mengetahui tentang penghakiman yang dibuat oleh ICJ pada tahun 2008 memihak kepada Singapura apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam penghakimannya memutuskan Singapura mempunyai hak ke atas Pulau Batu Puteh dan Malaysia mempunyai hak ke atas Pulau Batuan Tengah. Manakala hak milik Pulau Tubir Selatan akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Dalam penghakiman tersebut juga, tuntutan Kesultanan Johor terhadap hak kedaulatan keatas Pulau Batu Puteh, Pulau Batuan Tengah dan Pulau Tubir Selatan diiktiraf tetapi hakim mengambil kira bahawa lebih daripada 100 tahun Malaysia tidak berbuat apa-apa untuk menunjukkan haknya keatas pulau itu.

Secara tersirat, Malaysia memperlihatkan sikap tidak acuh-tidak acuh serta tidak ada kesungguhan dalam usaha mendapatkan pulau tersebut dengan membiarkan 100 tahun tanpa sebarang aktiviti di sana.

Daripada kenyataan dibuat oleh ICJ, Malaysia menegaskan bahawa fakta itu tidak diketahui Malaysia atau mahkamah itu ketika penghakiman mengenai kes berkenaan diumumkan kerana ia hanya ditemukan ketika menyemak kembali fail arkib pentadbiran tanah jajahan setelah arkib itu mendedahkan kepada umum bahan itu selepas penghakiman diumumkan pada 2008.

Apa yang dapat disimpulkan daripada kenyataan tersebut? Pastinya ia memperlihatkan betapa ‘lekeh’ tahap kesiapsiagaan Malaysia berdepan kes besar yang melibatkan kedaulatan negara dan tanpa rasa malu menyatakan bahawa “...ia hanya ditemukan ketika menyemak kembali fail arkib pentadbiran tanah jajahan setelah arkib itu mendedahkan kepada umum bahan itu selepas penghakiman diumumkan pada 2008”.

Tidak ubah seperti pelajar yang datang ke dewan peperiksaan tanpa persediaan dan ulangkaji tetapi mengharapkan lulus cemerlang sebaik keputusan diumumkan nanti.

Pertikaian melibatkan Malaysia dan Singapura mengenai pemilikan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) muncul pertama kali pada tahun 1979 ketika pemerintah Malaysia menerbitkan sebuah peta berjudul “Wilayah Perairan dan Perbatasan Wilayah Malaysia” yang memasukkan Pedra Branca dalam wilayah kedaulatan Malaysia.
Singapura memprotes dakwaan Malaysia dan pada 15 Februari 1980 dengan menolak tuntutan Malaysia serta meminta supaya mengakui kedaulatan Singapura ke atas Pedra Branca. Singapura kemudian memperluas tuntutan dengan memasukkan Middle Rocks (Pulau Batuan Tengah) dan South Ledge (Pulau Tubir Selatan) dalam gugatannya pada bulan Februari 1993.

Setelah kedua-dua negara melihat rundingan secara diplomasi gagal dilaksanakan dan tidak ada kemajuan dalam setiap rundingan, kedua-dua negara menyerahkan pertikaian ini diselesaikan melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 24 Julai 2003 atas kepercayaan Mahkamah Keadilan Antarabangsa sebagai badan dibawah naungan PBB akan mengambil keputusan yang adil mengenai siapa yang berhak atas kedaulatan pulau tersebut berdasarkan bukti-bukti yang ada.

Pada 23 Mei 2008, akhirnya ICJ memutuskan bahawa Singapura berhak atas kedaulatan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) dan Malaysia mempunyai kedaulatan atas Pulau Batuan Tengah dan Pulau Tubir Selatan akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Persoalan sekarang, kenapa setelah gagal dalam perbicaraan sejak sembilan tahun lalu dan meletakkan kepercayaan terhadap kewibawaan ICJ tiba-tiba ia kembali digemakan untuk menyemak kembali keputusan tersebut? Jika soal kedaulatan negara diutamakan, apakah pemindahan hak milik tanah Kem TUDM Sungai Besi kepada konsortium yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China tidak menggugat kedaulatan dan pertahanan negara ? Bukankah ianya lebih membuktikan betapa tercabarnya kedaulatan negara?

Genderang perang Pilihanraya Umum ke 14 (PRU 14) yang sudah dipalu tidak akan dapat mengelakkan stigma yang melekat di minda rakyat bahawa usaha mengungkit kes Pulau Batu Puteh ini tidak lain dan tidak bukan hanya propaganda bahawa pemerintah begitu mengutamakan soal kedaulatan negara dan pemerintah perlu disokong dalam pilihanraya nanti.

Ada baiknya jika langkah propaganda ini digantikan dengan langkah memperkemaskan diri agar wilayah dan perairan yang sedang dalam genggaman tidak jatuh ke tangan pihak lain.

Kita seharusnya menjadikan iktibar dari pengalaman kehilangan wilayah negara kita Pulau Batu Puteh dengan menyenaraikan sernua pulau yang termasuk dalam perairan negara dan perlu melakukan aktiviti yang sesuai dan sewajamya di atas pulau itu untuk menunjukkan kedaulatan negara Malaysia ke atas pulau tersebut.

Sebarang tindakan kita perlu didokumenkan untuk menjadi bukti hak kita terhadap wilayah tersebut untuk kepentingan sekarang dan masa hadapan (sebagai contoh dokumen perjanjian pentadbiran rurnah api di Pulau Pisang, Johor kepada Singapura).

Sudah semestinya keperluan menyimpan semua dokumen penting tersebut di dalam arkib negara diberi keutamaan daripada mengharapkan semakan di arkib negara luar.

Kita juga perIu berhati-hati di masa hadapan dalam mengeluarkan kenyatan bertulis dan perIu mendapatkan nasihat dari pakar undang-undang di dalam sebarang isu penting melibatkan kedaulatan negara.

Malaysia sebagai sebuah negara perairan pantai yang mempunyai selat antarabangsa dengan kedudukan sempadan maritim yang bertindih dengan negara-negara jiran berdekatan serta memiliki laut yang kaya dengan sumber asli, ikan dan lain-lain pastinya mengundang niat pihak asing untuk menguasainya jika tidak berwaspada.

Sehubungan dengan itu Malaysia perlu mengumpul pakar-pakar tempatan undang-undang laut antarabangsa, pakar undang. undang antarabangsa, pakar sains marin, pakar sejarah dan pihak lain yang berkaitan untuk menjalankan penyelidikan dan menambahkan kepakaran mereka untuk bersiap-sedia dan setanding dengan negara luar demi mempertahankan maruah negara.

Sudah sampai masanya Malaysia mengemaskini semua sempadan maritim untuk melaksanakan aktiviti yang sewajarnya di perairan kita dan melaporkan kedudukan sempadan maritim itu kepada Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengelakkan peristiwa kehilangan Pulau Batu Puteh tidak berulang lagi.

Berkokok siang malam itu kerja ayam dan berpolitik tanpa henti demi tembolok pula tidak akan mampu mengubah sejarah yang sudah dilakar.

Jeneral Soedirman seorang Jeneral ketika Revolusi Nasional Indonesia tahun 1916-1950 berkata, “Tentara hanya mempunyai kewajiban satu, ialah mempertahankan kedaulatan negara dan menjaga keselamatannya. Sudah cukup kalau tentara teguh memegang kewajiban ini, lagi pula sebagai tentara, disiplin harus dipegang teguh. Tentara tidak boleh menjadi alat suatu golongan atau orang siapapun juga”.

Namun, apakah mempertahankan kedaulatan negara ini hanya perlu diletakkan di bahu tentera sedangkan kita sebagai rakyat dan pemimpin membiarkan kedaulatan negara diinjak-injak dan diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu? Malah lebih malang jika tentera mempertahankan kedaulatan negara tetapi kita dengan sembrono menggadaikan kedaulatan negara demi kepentingan sendiri.

Comments

Popular Posts